Rabu, Disember 21, 2016

DAP, PKR DAN PAN TIDAK DIBENARKAN BERTANDING DI SABAH



KOTA KINABALU 20 Dis. - Belum pun selesai isu pembahagian kerusi antara pakatan pembangkang diketuai DAP de­ngan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Semenanjung, krisis dalam kalangan pembangkang menular ke Sabah apabila parti pembangkang tempatan ‘tidak membenarkan’ DAP, PKR dan PAN meletakkan calon di negeri itu pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).



Lajim Ukin


Perkara itu yang diumumkan Ketua Pembangkang nege­ri, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) di Dewan Hakka di sini semalam, disifatkan satu tamparan kepada pakatan harapan.

Lajim yang merupakan Pre­siden Harapan berkata, keputusan itu bagi membolehkan parti pembangkang tempatan bergabung dan menang besar pada PRU-14 sekali gus mentadbir negeri ini.

“Setakat ini kita meminta supaya parti-parti berpusat di Semenanjung memberi ruang secukupnya kepada par­ti pembangkang tempatan un­tuk menggalas tanggungjawab bagi memastikan kita berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita bimbang jika PKR dan DAP yang mempunyai kekuatan di negeri ini turut bertanding, perkara itu hanya akan menguntungkan BN kera­na memecahkan undi kepada pembangkang,” katanya.

Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias menambah, apa yang pen­ting DAP dan PKR memberi fokus kepada kemenangan di Semenanjung serta menye­rahkan tanggungjawab pilihan raya umum di negeri ini kepada parti pembangkang tem­patan.

Beliau berkata, bagi kerusi yang dimenangi PKR dan DAP boleh diserahkan kepada parti pembangkang tempatan untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Sebagai contoh, jika PKR kuat di Penampang, lebih baik perundingan dapat dilakukan agar mereka (PKR) tidak perlu bertanding dan meletakkan calon di sana. Biar kami menggalas tanggungjawab itu dan penyokong-penyokong mereka sokong parti pembangkang tempatan,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini empat parti pembangkang tempatan iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Reformasi Negeri (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Harapan telah membuat perjumpaan tertutup untuk membincangkan tindakan berdepan pilihan raya umum kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Walau bagaimanapun katanya, satu mesyuarat meja bulat akan diadakan bersama kesemua parti pembangkang tempatan termasuk Warisan yang dijangka diadakan pada pertengahan Januari tahun depan bagi memperhalusi manifesto, pembahagian kerusi dan sebagainya.

Lajim menjelaskan bersedia untuk bekerjasama dengan pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan, tetapi mereka perlu mematuhi tuntutan dan hak rakyat negeri ini.