Sabtu, Julai 16, 2016

MUDA DALAM KENANGAN

Semalam bekas sub editor Free Malaysia Today (FMT), Narinder Singh call saya pada jam 4.51 petang beritahu editor BM Berita Daily, Muda Mohd. Noor, 55 tahun,  meninggal dunia. Saya terkejut menerima berita itu kerana saya tidak tahu beliau dimasukkan ke Hospital KL (HKL) sejak Isnin lalu kerana koma akibat stroke.

Setelah empat hari koma beliau meninggal dunia di HKL pada jam 4 petang semalam. Saya mengenali Muda sejak lima tahun lalu ketika beliau bekerja dengan Malaysiakini. Apabila bekas editor Malaysiakini, Kabilan menyertai portal baru, FMT, Kabilan membawa masuk Muda sekali.

Pada tahun 2013, Muda call saya tanya saya nak kerja tak dengan FMT? Kabilan menawarkan jawatan Editor BM kepada Muda tetapi beliau menolaknya dan memperkenalkan saya kepada Kabilan dan orang kanannya Retna. Dengan rekomendasi Muda, saya join FMT pada 3 Julai 2013 sehingga 1 Julai 2014 apabila Kabilan, Muda, Narinder Singh, saya dan satu team ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat FMT.

Kabilan membuka portal baru, Berita Daily membawa Narinder Singh. Muda sekali dengan rakan rakan lain dalam FMT tetapi saya tidak dipelawa. Maka menganggurlah saya sehingga hari ini. Sejak berpisah dengan Muda pada Julai 2014, sudah dua tahun kami tidak berjumpa.

Banyak kali kami janji nak jumpa tapi asyik tak jadi sehinggalah semalam baru saya jumpa jenazahnya buat kali terakhir. Muda yang berasal dari Kg Gelugor Raja, Kuala Terengganu sekampung dengan kampung bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Tiga bulan lepas saya pelawa Muda menyertai grup wasap kami Semut Api setelah dicadangkan oleh Shamsul Hazli Mamat. Seperti kata abang Muda di HKL semalam, Muda suka cakap mengarut. Dalam wasap grup kami pun, Muda tulis mengarut. Sekali ada di Jitra, sekali ada di Danok dan sekali ada di Padang besar sedangkan dia berada di rumahnya di Seri Rampai, KL.

Muda seorang yang perahsia. Saya tak pernah kenal isterinya yang kononnya orang Pasir Mas, Kelantan. Sedangkan semalam abangnya beritahu Muda yang tak pernah nikah baru nikah tahun lepas dengan orang Palembang, Sumatra.

Dalam wasap grup kami Muda rapat dengan Kak Zah (KZ) orang Jitra. Seminggu sebelum koma,Muda call KZ suruh jaga diri baik baik. KZ pun dah left grup kami.Muda banyak berubah sebelum meninggal dunia. Setiap hari kerjanya cakap mengarut. Pada bulan puasa tiba tiba dia left grup kami bila saya bergurau dengannya makanan dalam gambar itu makanan Muda yang tidak puasa. Dia amat tersimggung dengan gurauan itu dan terus left grup. Rupanya itu semua adalah tanda orang mati yang buang tabiat yang mahu pergi meninggalkan kawan kawannya.

Saya terhutang budi kepada Muda kerana dengan bantuan Muda saya dapat bekerja dengan FMT selama satu tahun. Muda bukannya seorang yang pentingkan pangkat dan sanggup menawarkan jawatan Editor BM yang ditawarkan kepadanya kepada kawannya yang sedang menganggur. Itulah Muda yang suka berahsia. Alfatihah buat Muda.