Khamis, Julai 18, 2013

BN BATAL TANAH TOL DIBERI PAS

Jertih: “Segala prosedur pemberian tanah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) ketika pemerintahan PAS di Terengganu dilakukan mengikut tatacara dalam Kanun Tanah Negara (KTN).
“Malangnya, tanah yang diberi milik secara Lesen Menduduki Sementara (TOL) dibatalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa sebab munasabah,” dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar. Bekas Pengarah Tanah dan Galian Terengganu itu turut mendakwa BN merampas lot tapak rumah dan pertanian yang telah diukur di Kampung Tok Saboh, di sini, selepas BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada 2004. Dakwanya lagi, ketika PAS memerintah, mereka sudah mengukur hampir 60,000 lot tanah tapak rumah dan pertanian yang sebahagiannya sudah pun diluluskan kepada rakyat, tetapi diberikan tempoh tiga tahun dalam bentuk TOL. “Malangnya, apabila PAS kalah dan saya ketika itu masih lagi Pengarah PTG, tanah yang sudah diluluskan dalam bentuk TOL itu dibatalkan kerajaan baru (BN). “Permohonan tanah sudah bayar tetapi belum sempat mendapat geran, wang itu dikembalikan semula untuk menafikan haknya mendapatkan tanah itu, ini suatu tindakan yang zalim,” katanya pada sidang media harian di Markas PAS di Kampung Baharu di sini semalam. Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan tapak pembinaan pangsapuri di Kampung Tok Saboh adalah milik kerajaan dan bukannya dirampas daripada penduduk miskin. Ahmad dalam laporan itu menjelaskan, pada 1999 Kerajaan PAS Terengganu sudah memberi tanah kepada masyarakat tanpa menyertakan dokumen pemberian tanah yang jelas menyalahi undang-undang berkaitan pentadbiran tanah. Sementara itu, calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, semalam meneruskan siri kempennya bertemu dengan pengundi selepas solat Zuhur di Masjid Kampung Lampu dan Kampung Nangka. Selepas itu, beliau turut meluangkan masa dengan penduduk di Seberang Barat selepas menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Seberang Kastam.