Ahad, Mac 11, 2012

JANGAN LETAK PAYUNG TERJUN DISOKONG


Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk cuba mengelak daripada mengemukakan calon yang disifatkan sebagai ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) agar pisang tidak berbuah dua kali.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau memandang serius soal tersebut kerana hasil penelitian yang dilakukan, BN gagal menang di empat kerusi pada pilihan raya umum sebelum ini adalah disebabkan calon payung terjun.

“Saya sudah tunjuk kepada Perdana Menteri sebab kita kalah pada PRU12 kerana calon luar yang tidak terlibat dalam pergerakan parti di peringkat bahagian. Seminggu sebelum pilihan raya baru cuba untuk memperkenalkan diri mereka, ia sukar.

“Oleh itu, kita akan cuba elakkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus di Pejabat Umno Kuala Nerus, di sini semalam.

Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, sehingga kini beliau masih belum menyenaraikan nama calon yang akan bertanding pada PRU-13 kerana tidak diminta berbuat demikian.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sedang meneropong individu berkelayakan dan dianggap ‘winnable candidate’ bagi mewakili BN bertanding di kerusi milik parti itu selepas parlimen dibubarkan kelak.

“Apa pun, keputusan sebenar di peringkat kepimpinan. Perkara penting dia akan tengok calon boleh menang (winnable candidate),” katanya.

Kuala Nerus merupakan bahagian keenam yang dilawati beliau selepas Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu manakala Setiu dan Kuala Terengganu pula akan dikunjungi dalam masa terdekat.

Mengulas pertemuan dengan enam bahagian tersebut, Ahmad menegaskan tidak ada istilah selesa baginya untuk menggambarkan kedudukan Umno sekarang tetapi mengakui ia bertambah baik berbanding sebelum ini.

Malah, beliau optimis untuk merampas kembali kawasan yang dimenangi pembangkang khususnya di Kuala Terengganu apatah lagi kerajaan telah menunaikan semua manifesto dijanjikan pada PRU12.

“Bukan setakat tunaikan semua, malah kita buat lebih daripada itu. Program e-Book, kelas maya itu tidak ada dalam manifesto tapi kita buat,” katanya.Hadir sama Ketua Penerangan Umno negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Ulasan saya, saya menyokong penuh cadangan MB supaya BN tidak meletakkan calon payung terjun. Buktinya BN kalah di Sura pada tahun 2008 kerana meletakkan orang baru yang tidak dikenali orang ramai. Apa yang berlaku pada tahun 2008 tidak seharusnya berulang lagi, Syabas Datuk Seri Ahmad Said!