Rabu, Oktober 27, 2010

DATIN LINDA TAK TAHU CAKAP DALAM BAHASA MELAYU?


Pengarah pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi BN, Datuk Seri Musa Aman menafikan calon BN tidak pandai bercakap bahasa Melayu.

Katanya, kebetulan Datin Linda Tsen ditemuramah dalam Bahasa Inggeris, maka beliau jawab dalam Bahasa Inggeris kepada wartawan.

"Oleh itu tidak benar bahawa beliau tidak tahu bercakap bahasa Melayu," katanya mengulas rungutan para pengundi bahawa mereka lebih menyenangi calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang fasih bercakap dalam bahasa Melayu.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berharap isu ini tidak menjejaskan undi para penyokong BN kerana sudah tentu PBS memilih calon yang dapat bercakap dalam banyak bahasa.

"Apatah lagi majoriti pengundi Batu sapi adalah orang Melayu, maka Dartin Tsen akan banyak berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Melayu," katanya lagi.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan PKR.

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berdepan dengan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah dan PKR diwakili peguam terkenal, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.


Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

KU LI NAFI TIDAK SOKONG AZIZ



Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau tidak merestui calon BN, Abdul Aziz Yusof yang juga setiausaha UMNO Bahagian bertanding dalam pilihanraya kecil Galas.

Beliau membuktikan bahawa calon yang dipilih BN bagi pilihan raya kecil Galas menerima sokongan daripada beliau sendiri.


Lewat malam tadi, beliau hadir menemui sekumpulan penduduk di Kampung Baru, salah sebuah daripada dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina dalam DUN Galas.

Tindakannya juga memadamkan desas-desus bahawa beliau berkecil hati dengan tindakan BN mencalonkan Abdul Aziz Yusof.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Galas, turut mengambil peluang untuk menjelaskan ketidakhadiran beliau ke pusat penamaan calon hari ini, selepas berbual-bual selama kira-kira 40 minit dengan penduduk setempat di sebuah restoran.

“Sebenarnya saya tak biasa ke pejabat DO tempat menyerah kertas penamaan calon. Ramai kawan-kawan saya yang akan bersama-sama calon untuk menyerahkan kertas penamaan calon.


“Jadi saya kata elok saya berada di luar untuk bersama-sama penyokong untuk kerja kita di merata tempat ke seluruh negara berhimpun di situ. Jadi tak semestinya semua orang ke sana. Tak jadi masalah. Itu saja," jelasnya.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diajukan pertanyaan oleh wartawan sama ada beliau berkecil hati sehingga tidak memasuki pusat penamaan calon semalam.

Turut hadir di pusat penamaan calon semalam ialah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin lain yang pernah bersamanya ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Itu perkara biasalah nak cari sebab supaya nak laga-lagakan kita tapi takkan berhasil kerana calon ini calon yang saya sokong seratus peratus.


“Dia telah dipilih oleh jawatankuasa Umno bahagian semasa kita mengadakan rundingan dengan undi yang banyak sekali. Dan itulah nama yang saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib supaya dia menentukan pilihan yang sebenar.

“Jadi dia membuat pilihan daripada apa yang diputuskan semua orang. Orang lain semua tak dapat undi seperti dia. Dia dapat undi terbanyak," kata Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang.

“Kita rasa kempen kali ini seolah-olah satu pertandingan 'friendly contest' (pertandingan persahabatan). Iyalah apabila berlaku pertandingan tidak berlaku 'friendly contest' lagi barangkali tetapi bagaimanapun saya ingin anjurkan 'friendly contest' sesama kita,” katanya.

“Satu hari anda bersahabat, satu hari anda jadi seteru, tapi tidak ada rugipun (kepada saya),” katanya lagi yang mesra dengan panggilan Ku Li.


Mengulas mengenai sokongannya kepada tuntutan royalti minyak oleh Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini dalam isu tersebut.

“Penjelasan saya sudah cakap, saya rasa apa yang terpakai dalam undang-undang yang terpakai kita akan teruskan. Itulah pendapat saya,” katanya lagi.

SMS UNTUK KEMPEN IDRIS JUSOH


Dalam pembicaraan “Ugutan bunuh melalui SMS’ yang bersambung pada hari ini (26 Oktober), mahkamah diberitahu bahawa penggunaan aplikasi SMS atas nama Mohd.Irwan Zainal Abidin (seorang pegawai kerani di Pejabat Umno pada 2009) adalah digunakan untuk tujuan kempen calon pertandingan Majlis Tertinggi bagi pihak calon bernama Dato’ Seri Haji Idris Jusoh.

Mohd Irwan yang tinggal di Seri Kembangan ketika disoal pihak pendakwa pada sesi perbicaraan pagi ini memberitahu pada masa itu beliau adalah setiausaha kerja kepada sekretariat Pemulihan UMNO.

Dinyatakan kepada mahkamah, tugas beliau adalah menyediakan minit mesyuarat, tempahan bilik mesyuarat, makluman kepada ahli mesyuarat dan persiapan mesyuarat berkaitan sekretariat pemulihan UMNO itu.

Ditanya pihak pendakwa, Mohd.Irwan memberitahu beliau bertanggungjawab kepada tiga orang pegawai atasan iaitu Setiausaha Kerja UMNO Malaysia ketika itu, Datuk Husaini Hashim, Pengerusi Sekretariat Pemulihan UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd.Zubir selaku Pegawai Khas Dato’ Seri Idris.

Prosiding pagi ini berlangsung di hadapan Hakim, M.Bakri Abd. Majid. Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami manakala Dr.Ahmad Ramzi diwakili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Ditanya penglibatan beliau dalam kes ini, Mohd.Irwan berkata Dr.Ramzi meminta beliau membantu kempen pemilihan Majlis Tertinggi UMNO 2008-2011 yang mana Dato’ Seri Idris Jusoh merupakan salah seorang calon bagi mengganggotai pemilihan itu.

“Dalam kaedah berkempen Dr.Ramzi telah berikan saya satu SMS, nama dan nombor handphone untuk saya hubungi yang mana kandungan kaedah kempen menggunakan `SMS blast’” beritahunya kepada mahkamah.

Pendakwa: Apa yang diarahkan oleh Dr.Ramzi

Mohd.Irwan: Minta saya hubungi penama tersebut kepada nombor-nombor telefon yang telah diberikan . Minta saya hubungi Encik Hazwan untuk mendapat keterangan lanjut mengenai kaedah SMS. Selepas faham saya hubungi semula Dr.Ramzi bagi perbincangan dan Dr.Ramzi setuju untuk membeli aplikasi tersebut.

Pendakwa: Apa lagi arahan Dr.Ramzi

Mohd.Irwan: Bagi tujuan pembelian aplikasi, Dr.Ramzi salurkan wang RM1,000 kepada akaun saya dan saya pindahkan ke akaun yang diberikan oleh Encik Hazwan (pemilik syarikat aplikasi SMS), akaun tersebut namnya seorang wanita. RM450 untuk bayaran pendaftaran dan RM550 untuk pembelian kredit.

Pendakwa: Apakah tujuan pembelian itu?

Mohd.Irwan: Tujuan pembelian tersebut adalah bagi membantu kempen pemilihan MT bagi pihak Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pendakwa: Akaun SMS blast itu didaftarkan atas nama siapa?

Mohd.Irwan: Didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Bagaimana SMS blast digunakan?

Mohd.Irwan: Bagi menggunakan SMS blast kita perlukan sebuah komputer, sambungan internet, ID dan password. Kita bolehlah menghantar SMS kepada seberapa ramai yang kita mahukan. Kita juga boleh mengubah kolum penghantar. Biasa `sender’ adalah nombor handphone kita sendiri, SMS blast ini boleh diubah nama sender kepada sesiapa sahaja.

Pendakwa: Kemudian selepas itu apa yang awak lakukan?

Mohd.Irwan: Saya ada hantar SMS memo percubaan kepada handphone Dr.Ramzi dan handphone saya sendiri sebanyak dua kali. Kali pertama tidak berjaya kerana tidak dimasukkan kod antarabangsa bagi Malaysia iaitu nombor 6. Kali kedua berjaya setelah dimasukkan nombor 6 pada pangkal nombor telefon itu.

Pendakwa: Bila dihantar memo SMS percubaan itu?

Mohd.Irwan: 6 Mac 2009.

Pendakwa: Apakah kandungan memo SMS itu?

Mohd.Irwan: Memo itu berbunyi “percubaan, Dato’ Seri Idris Jusoh’. Selepas itu saya lupa password dan hubungi semula Encik Hawzan untuk bantuan password baru.

Pendakwa: Apa password baru?

Mohd.Irwan: DSIJ 151155. DSIJ merujuk pada Dato’ Seri Idris Jusoh, 151155 adalah tarikh lahir beliau.

Pendakwa: Kenapa letak password sebegitu?

Mohd.Irwan: Sebab saya risau jika terlupa lagi dan bagi memudahkan.

Pendakwa: Siapa yang arah bukan akaun itu dan tujuan apa?

Mohd.Irwan: Akaun ini diminta dibuka oleh Dr.Ramzi bagi membantu kempen Dato’ Seri Idris sebagai calon MT.

Pendakwa: Adakah awak maklum pada sesiapa password itu (DSIJ 151155)?

Mohd.Irwan: Tak maklum pada sesiapa kecuali Dr.Ramzi atas permintaan beliau sendiri.

Pendakwa: Bila diberitahu password itu kepada Dr.Ramzi?

Mohd.Irwan: Minggu pertama April 2009 selepas habis kempen MT. Hantar melalui SMS dan tidak maklumkan kepada orang lain selain Dr.Ramzi.

Pendakwa: Bagaimana awak dapat tahu mengenai isu ugutan melalui SMS ini?

Mohd.Irwan: Saya dapat tahu melalui akhbar dan siaran berita TV. Seterusnya saya mengesyaki isu ini terbabit dengan akaun yang didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Tentang password DSIJ 151155 ada beritahu pada sesiapa dan tulis di mana-mana.

Mohd.Irwan: Tidak ada,kecuali kepada Dr.Ramzi.

Pendakwa: Ada diterangkan kepada Dr.Ramzi cara penggunaan blast SMS .

Mohd.Irwan: Ada. Bertempat di pejabat Dr.Ramzi pada awal April 2009.

Pendakwa: Selepas syak isu SMS itu ada hubungan dengan akaun atas nama awak apa awak buat?

Mohd.Irwan: Saya hubungi Encik Hazwan untuk bertemu dan bincang masalah akaun tersebut. Dr.Ramzi pun ada hubungi saya bagi tujuan agar tutup akaun tersebut dan jika ada dipulangkan baki kredit dan kalau tak ada, tak mengapa.

Pendakwa: Di mana jumpa Encik Hazwan

Mohd.Irwan: Di Bangi Golf Resort pada malam saya ditahan polis pada 20 April 2009.

Pendakwa: Ada terima apa-apa arahan Dr.Ramzi?

Mohd.Irwan: Dr.Ramzi pesan supaya lindungi beliau dan ‘big boss’

Pendakwa: Siapa ‘big boss’ ikut fahaman awak

Mohd.Irwan: Kata-kata tersebut ikut fahaman saya merujuk kepada Dato’ Seri Idris Jusoh.

Perbicaraan seterusnya bersambung di sebelah petang.

Apabila prosiding bersambung di sebelah petang saksi (Mohd Irwa) memberitahu beliau mempunyai kelulusan Diploma Penilaian Harta Tanah lulusan Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur yang menjalankan bertugas sebagai Pegawai Kerani, Bahagian Teknologi Maklumat di Pejabat UMNO Malaysia.

Beliau menjalankan tugas membaik pulih komputer rosak dan mengenalpasti masalah komputer dengan merujuk kepada mereka yang lebih senior kerana dia hanya seorang pekerja separa mahir.

Saksi memberitahu dia bertugas secara sukarela membantu kempen MT kepada Idris dengan mendapatkan maklumat mengenai data-data keahlian UMNO dan turut bersetuju dengan pendakwa bahawa dia terlibat dalam politik UMNO.

Pendakwa kemudiannya meminta barang rampasan berkaitan kes seperti dua laptop, satu computer, satu set alatan permaian video, satu moderm digi, satu destop dan satu alat pembesar suara ditunjukkan kepada mahkamah.

Hakim Tuan M.Bakri Abd Majid kemudiannya menangguhkan perbicaraan kes semalam dan akan disambung hari ini ( 27 Oktober 2010) jam 10.00 pagi.

(dipetik dari hambali1.blogspot.com)