Isnin, Julai 27, 2009

GUAN ENG GILAKAN WANG?


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa mereka hanya boleh bertemu bagi berbincang mengenai isu Kampung Buah Pala sekiranya sejumlah wang yang dijanjikan oleh Samy Vellu bagi menyelesaikan isu tersebut ditunaikan terlebih dahulu.


"Bagi wang dulu, baru kita jumpa dan berbincang. Kalau tak ada wang, nak jumpa buat apa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.


Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau sanggup menemui Lim dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah Kampung Buah Pala, di mana penduduknya tidak mahu berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dilakukan di situ.


Samy Vellu turut dilaporkan memberitahu pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan MIC Pulau Pinang ke-63 di Butterworth, bahawa MIC sanggup membayar sejumah premium yang sama dibayar Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan negeri sebelum ini iaitu sebanyak RM3.2 juta bagi memiliki tanah tersebut, sekiranya jumlah itu diperlukan bagi menyelesaikan isu tersebut.


Lim turut melahirkan rasa terkejut apabila perbualan telefonnya dengan Samy Vellu mengenai isu Kampung Buah Pala sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan itu, dijadikan bahan untuk Samy Vellu bercakap kepada perwakilan di konvensyen tersebut.

DUN TERENGGANU SAMBUT JUBLI EMAS


Terengganu akan mengadakan majlis sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mulai Isnin hingga Disember depan, sempena 50 tahun kewujudan dewan itu.


Yang Dipertua DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelbagai acara dan program telah diatur bagi menyambut ulang tahun DUN itu.


Beliau berkata, sambutan malam esok bermula dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan surah yasin, tahlil dan solat isyak bertempat di DUN, Wisma Darul Iman, di sini.


"Tujuan sambutan antara lain bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama Ahli-ahli Yang Berhormat tentang pentingnya kewujudan DUN dan mempertahankannya sebagai satu institusi yang mulia yang menjadi tempat perbahasan dan percambahan ilmu serta idea, semata-mata untuk kepentingan rakyat," katanya pada sidang media di sini Ahad.


"DUN Terengganu kali pertama bersidang ialah pada 27 Julai 1959, sebab itu dicadangkan tarikh untuk diadakan sambutan bermula Julai hingga Disember depan," katanya.


Tengku Putera berkata, antara acara menarik ialah pidato rakyat jubli emas dan persidangan mini Dewan Undangan Negeri yang dijayakan oleh pelajar sekolah, wacana ilmu jubli emas dan kuiz 'Ingat Sokmo Ganu Kita'.


Katanya, acara kemuncak ialah majlis makan malam yang akan disertai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong pada Disember.