Rabu, November 21, 2018

SULTANAH TERENGGANU SAMAN CLARE REWCASTLE BROWN RM300 JUTA



PETALING JAYA - Sultanah Terengganu memfailkan saman fitnah RM300 juta terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi kerana mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan skandal 1MDB serta ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dalam bukunya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Mohd Haaziq Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Rewcastle-Brown menerusi bukunya bertajuk ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ mendakwa Sultanah Nur Zahirah terbabit dalam penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) yang menjadi pelopor 1MDB.

“Selepas melalui beberapa perbincangan hampir dua bulan, tiada persetujuan dicapai untuk penyelesaian. Kami ada mendapat tawaran penyelesaian bagaimanapun tidak mengikut terma yang dikemukakan.


“Kami kemudiannya mendapat titah daripada Istana malam tadi untuk meneruskan saman fitnah terhadap ketiga-tiga pihak. Oleh itu kami memfailkan saman fitnah itu melalui sistem e-pemfailan pada 2 petang sebentar tadi,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Haaziq berkata, butiran berhubung saman itu tidak dapat didedahkan kepada umum.

“Semua butiran akan didedahkan apabila disebut di mahkamah kelak,” katanya.

Pengurusan kes ditetapkan pada 19 Disember ini di hadapan Timbalan Pendaftar K Pavani.

Sultanah Nur Zahirah sebagai plaintif menamakan Clare, penerbit tempatan Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan.

Mohd Haaziq berkata, saman itu difailkan untuk membersihkan nama dan reputasi Sultanah Nur Zahirah dan saman tersebut akan diserahkan oleh pihaknya kepada pihak defendan secepat mungkin.

Peguam itu turut menyentuh tentang kandungan pada muka surat tiga buku tersebut di mana kandungan buku The Sarawak Report edisi pertama dan kedua didapati berbeza.

“Kami hanya memberi tumpuan kepada muka surat tiga buku itu yang mempunyai kenyataan bersifat fitnah.

“Buku edisi pertama menyatakan ia membabitkan Sultanah Nur Zahirah manakala edisi kedua pula menyatakan ia membabitkan adinda Sultan Terengganu. Pihak kami akan mengemukakan perkara ini di mahkamah nanti,” katanya.

Pada 29 September lalu, surat tuntutan sudah dikemukakan terhadap ketiga-tiga pihak itu.

Ia bagi tuntutan ganti rugi RM100 juta daripada setiap pihak, permohonan maaf, penarikan balik yang jelas secara bertulis dan didedahkan kepada awam perlu dibuat.

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.

Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang dilancarkan pada 8 September lalu.

Pada 14 September lalu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu berkata kenyataan dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose” yang mengaitkan Sultanah Terengganu dalam isu berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position.”

Susulan itu, Rewcastle-Brown sebelum ini membuat permohonan maaf pada 28 September sambil menyebut tulisan buku itu dibuat berdasarkan kenyataan Jho Low yang selalu bermegah kerana sering bersosial dengan keluarga diraja termasuk dalam mendapatkan jawatan dalam TIA.

PERLANTIKAN DATO ZULKIFLI SEBAGAI PENGERUSI KETENGAH AMAT TEPAT

KUALA TERENGGANU: Semua pihak mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kerana membuat pilihan yang tepat melantik bekas calon PKR, Datuk Zulkifli Mohamad sebagai Pengerusi KETENGAH yang baharu.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Bahagian Kuala Terengganu kalah dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU lalu di tangan calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar di DUN Ladang.

Kekalahan itu adalah kerana rakyat Terengganu belum dapat menerima Parti Bersatu yang masih baru bertapak di negeri Terengganu.  Namun demikian kedudukan beliau sebagai Pengerusi KETENGAH jika beliau pandai menggunakan kuasa untuk menolong rakyat Terengganu insya Allah beliau dapat merampas kerusi DUN Ladang pada PRU ke 15.

Zulkifli seorang bekas TCS  memulakan tugasnya sebagai Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1980 dan berpengalaman luas dalam pentadbiranselama 30 tahun pernah menjadi Pegawai Daerah Dungun dan Pengarah UPEN mampu membuat transformasi terhadap KETENGAH.

Blog ini difahamkan bahawa ramai yang melobi Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun untuk menjadi Pengerusi KETENGAH tetapi Zulkifli dilihat sebagai calon paling mampu untuk menggalas jawatan tersebut.

Semoga perlantikan beliau sebagai Pengerusi KETENGAH dapat mampu membangunkan ekonomi wilayah KETENGAH dengan idea idea baru serta KETENGAH muncul sebagai agensi pembangunan wilayah yang terunggul di negara  ini.