Khamis, Januari 01, 2009

SELAMAT TAHUN BARU


Selamat Tahun Baru 2009. Tanpa disedari terlalu cepat 2008 berlalu. Mengimbas kembali kejayaan tahun 2008, saya rasa kejayaan manis ialah apabila dapat kembali ke akhbar WATAN yang menaikkan nama saya pada tahun 1987 dahulu.
Apabila Baha Azuwan memanggil saya untuk bekerja dengan WATAN mulai 1 April 2008, saya terlibat secara langsung memohon semula permit penerbitan yang sudah lama mati.
Pada mulanya kami menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Syed Hamid suruh jumpa timbalannya, Datuk Wan Farid Wan Salleh. Permohonan kami ditolak pada 13 Jun lalu.Banyak kali saya follow up rayuan semula kami dengan Wan Farid. Akhirnya Wan Farid merekomen rayuan kami kepada Syed Hamid. Secara rasmi Syed Hamid meluluskan permit akhbar WATAN pada 1 Ogos 2008 yang mana WATAN lahir semula menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 15 Ogos.
Pada tahun 2007, saya terjumpa kawan lama Pak Lah atau nama sebenarnya, Abdullah Ali yang merupakan bekas jurugambar di ibu pejabat UMNO di pejabat Datuk Abdul Rahman Bakar yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu.

Sejak itu Pak Lah selalu datang ke pejabat lama saya, Warta Parlimen Kepala Batas di Setiawangsa. Pak Lah bukanlah seorang bomoh tetapi dia boleh tengok nasib orang. Dia turut tengok tapak tangan saya dan dia nasihati saya supaya sedekah pisang ke masjid sebanyak 12 kali setiap kali mahu pergi solat jumaat.

Katanya, selepas amalkannya, insya Allah dapat rezeki baru. Saya amalkan nasihat Pak Lah itu. Selepas hantar pisang ke masjid genap 12 kali, saya dapat tawaran bekerja dengan akhbar WATAN dengan gaji yang hampir sekali ganda dari gaji di Warta Parlimen Kepala Batas.

Saya teringat kepada pesanan Pak Lah itu.Terima kasih Pak Lah. Satu lagi kenangan manis amat terlalu peribadi untuk dikongsi dengan para pembaca blog ini. Biarlah saya simpan dulu kenangan manis itu. Saya akan ceritakan kemudian bila tiba waktunya.

Juga 2008 telah melahirkan blog saya, MEMO BELAKANG yang kini berusia tiga bulan. Saya tak sangka ramai kawan lama di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu membaca blog saya ini yang telah menimbulkan kontroversi di kalangan kakitangan YPK. Saya menulis benda yang benar dan saya bukannya buat fitnah kepada sesiapa. Oleh itu janganlah marahi saya.

Tahun 2008 juga menyaksikan kemunculan orang baru dalam keluarga kami apabila saya menerima menantu sulung, Hairul Faizal bin Haji Ahmad pada 15 November lalu dan satu lagi kejayaan anak saya, Muhammad Zahir Amir dapat 9A dalam keputusan peperiksaan PMRnya.

Semoga kedatangan tahun 2009 akan membawa rezeki yang lebih murah lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengunjung blog ini yang banyak memberi nasihat, dorongan kepada saya dengan ulasan-ulasan yang pelbagai ragam. Ada yang puji, ada yang maki. Malah ada yang menyerang peribadi saya pun ada. Tapi biasalah bukan semua manusia itu sempurna. Yang sempurna hanyalah Allah.

Saya ingin akhiri tulisan ini dengan memetik sms yang dikirim oleh Raja Hamdan Raja Abdullah dari Muar, Johor yang berbunyi: "I wish you a fantastic January, lovable February, marvelous March, luckiest April, enjoyable May, succesful June, wonderful July, independent August, mesmerizing September, tastiest October, beautiful November and happiest December. Have a victorious year, wishing you happy new year 2009".