Isnin, Disember 18, 2017

TAJUDDIN TIDAK PUAS HATI DENGAN AGROBANK



PENSIANGAN17 Dis. – Agrobank diingat­kan tidak lupa tentang objektif penubuhannya untuk membangunkan golongan petani bumiputera.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peringatan itu dibuat untuk memastikan institusi berke­naan tidak terlalu mengutamakan pemberian pinjaman kepada tauke-tauke besar demi meraih keuntungan sedangkan petani di luar bandar dibiarkan kekeringan modal.


“Agrobank perlu dinasihatkan, diberi peringatan, kadang-kadang mereka terlupa tujuan Agrobank ditubuhkan untuk membantu petani kecil di luar bandar yang tertinggal seperti golongan pribumi kerana tiada modal biaya.

“Institusi kewangan ini perlu melihat perkara menyeluruh, kadang-kadang kita perlu peringat­kan mereka, tauke besar ini ada 1,000 atau 2,000 hektar tanah, sudah kaya tidak perlu bantu lagi, kena tolong orang kampunglah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Pertanian Bersama Warga Peladang Daerah Nabawan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Bobbey Ah Fang Suan dan Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan, Senator Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin.

Berucap dalam majlis itu, Tajuddin berkata, baru-baru ini beliau telah memanggil pengurusan tertinggi Agrobank selepas melihat trend bank tersebut yang seolah-olah terlalu mengutamakan keuntungan daripada membantu petani kecil.

“Agrobank bukan sahaja buat duit tetapi yang penting matla­matnya membantu petani berjaya, itu tujuannya, kita tidak mahu golongan petani hanya menjadi penonton dalam sebuah negara maju tetapi mereka mesti dibantu supaya menjadi penyumbang dan dapat menikmati kemajuan itu,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan memberikan sebanyak 1,000 anak pokok durian Musang King kepada ahli PPK Nabawan sebagai langkah membantu petani di situ meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang berikutan harga­nya yang tinggi dan mempunyai permintaan meluas.

Sementara itu katanya, di PPK Nabawan lebih 4,000 petani menerima manfaat bantuan kerajaan melalui tiga skim sepanjang tahun 2016 iaitu Skim Baja Padi Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi dan Skim Baca dan Racun Padi Bukit yang bernilai RM5.421 juta.

“Bermula Januari Sehingga November 2017 pula, sebanyak 4,575 petani sawah dan padi bukit te­lah mendapat bantuan sebanyak RM5.78 juta di bawah skim-skim tersebut,” katanya.