Sabtu, Disember 27, 2008

PENGUNDI CINA KT KENA BERSYUKUR


Untungnya orang Cina Kuala Terengganu apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6.1 juta bagi pembinaan Dewan Perhimpunan Masyarakat Tionghua dan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen di sini.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, RM3.3 juta adalah bagi pembinaan dewan perhimpunan manakala sebanyak RM2.8 juta lagi untuk dewan sivik sekolah tersebut.


Katanya, kelulusan itu sebagai bukti kerajaan negeri sentiasa prihatin dan membela nasib masyarakat keturunan Cina yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN).


'' Kerajaan juga memberi kelulusan kerana masyarakat Cina amat memerlukannya bagi memastikan mereka menikmati kemudahan serupa dengan tempat lain," katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Masyarakat Cina di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin di sini semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga calon BN dalam pilihan kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng dan lebih 5,000 masyarakat Cina.


Mengenai cadangan pembinaan Dewan Perhimpunan Cina, Ahmad berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu akan dilakukan di Bukit Kecil di sini, apabila pelan dan reka bentuk bangunan diluluskan.


Katanya, pembinaan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen pula amat dinanti-nantikan kerana bakal menyediakan kemudahan kepada masyarakat tersebut bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw ketika bercakap kepada pemberita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan besar untuk faedah masyarakat Cina.


Katanya, pengumuman itu amat dinanti-nantikan kerana ia telah sekian lama diperjuangkan dan baru sekarang menjadi kenyataan.


Kalau 8,000 lebih pengundi Cina tak sokong BN nampak sangat mereka tidak berterima kasih kepada kerajaan. Apatah lagi dalam suasana DAP marah kepada PAS kerana tetap mahu melaksanakan hukum hudud, maka para pengundi Cina sewajarlah memilih BN pada 17 Januari ini. Malah janji calon BN, Wan Farid jika beliau menang beliau akan lantik wakil khas orang Cina, maka sudah tentu pengumuman ini melegakan para pengundi Cina kerana ada orang yang sekulit dengannya jadi pegawai khas Wan Farid.