Selasa, Mei 12, 2009

KERAJAAN PERPADUAN JALAN PENYELESAIAN


Malam tadi saya turut hadiri majlis sambutan ulangtahun UMNO yang ke 63 di Dewan Merdeka, PWTC. Saya masuk pintu belakang dan meja dalam dewan yang besar itu dipenuhi dengan hadirin. Pak Hamid Satar mempelawa kami duduk di meja yang terdapat di hujung dewan itu. Saya hanya mahu berdiri saja mendengar ucapan Datuk Seri Najib, tetapi oleh kerana Pa Kahmid sudah pelawa saya dan rakan saya ke meja itu, maka kami terpaksa duduk sehingga majlis itu berakhir.

Semalam sempena harilahir yang ke 63, Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin adalah MB Perak yang sah. Sedih rasanya kerana majlis sambutan UMNO dicemari dengan keputusan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat. Tetapi sebagai ahli UMNO, kita kena hormati keputusan mahkamah.

Hari ini Mahkamah Rayuan membuat keputusan supaya keputusan mahkamah tinggi semalam ditangguhkan terlebih dahulu. Maka Dr. Zambri dapat kembali menjadi MB Perak sehingga BN menunggu keputusan akhir Mahkamah Rayuan.

Pening rakyat Perak dibuatnya. Jadi saya rasa jalan terbaik ialah mengadakan kerajaan perpaduan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN. Calon MB boleh diambil dari parti yang terbanyak, UMNO. Jika Nizar enggan menerima Dr. Zamri maka BN boleh mengemukakan calon baru.

Kerajaan perpaduan ini BN, PAS, DAP, PKR boleh dibuat sebagai perintis di Perak. PKR, PAS dan DAP tidak perlu masuk BN. Mereka cuma berpadu dalam kerajaan Perak sehingga pilihanraya umum akan datang. Bila tiba pilihan raya, maka BN akan berlawan dengan PKR, PAS dan DAP sekali lagi untuk mendapat mandat rakyat.

Sudah tiga bulan krisis kerajaan Perak tidak selesai. Yang rugi adalah rakyat. Maka jalan terbaik BN perlu berpakat dengan PAS, DAP dan PKR untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini.