Jumaat, Julai 27, 2012

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT TAKKAN KEKAL LAMA

Pas tetap berkeras akan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun tidak dipersetujui oleh rakan sekutunya, DAP. Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kaum Cina terutama yang kaya-raya akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan hukum tersebut kerana ia dapat menjaga keselamatan dan harta benda mereka. Menurutnya, kebanyakan kes kecurian yang berlaku di negara ini melibatkan orang kaya dan jika dilihat taraf sosial masyarakat, lebih ramai individu kaya datang daripada kaum Cina berbanding Melayu. "Seperti saya sebut di Ipoh mula-mula dulu, kalau pencuri, dia curi rumah orang miskin ke orang kaya? Sudah tentu curi rumah orang kaya. "Melayu dengan Cina ini, kaya Cina lagi, jadi mereka lebih mustahak untuk hukum hudud ini kerana mereka ramai orang kaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu hukum hudud yang timbul sekali lagi antara pemimpin pembangkang terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan. Karpal baru-baru ini menafikan dakwaan Nasrudin kononnya beliau sedia berkompromi dalam soal hudud. Ia berikutan kenyataan Nasrudin ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya minggu lalu yang mendakwa Karpal bersedia melaksanakan hukum berkenaan bersama Pas. Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan Nasrudin bahawa Karpal menyokong hukum hudud merupakan satu sindrom keyakinan palsu. Jelas Mohd. Puad, ia bukan sekadar sindrom keyakinan palsu sebaliknya satu pembohongan yang menyebabkan Pas kelihatan selalu dibuli oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata, isu tersebut tidak akan selesai selagi DAP tidak memberi persetujuan, namun ia bukan halangan untuk Pas melaksanakannya. ''Saya tegaskan sekali lagi hukum gantung lagi kejam daripada hukum kerat tangan tetapi tiada siapa bantah. Jadi kalau hukum gantung orang boleh terima, kerat tangan apa salahnya (hudud dilaksanakan). ''Karpal tidak setuju apa boleh buat, tetapi kami nak laksanakan hudud kami untuk orang Islam. Bukan Islam, kalau dia mahu guna hudud tidak mengapa," katanya. Ulasan saya, jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya umum ke 13, kerajaan Pakatan Rakyat tak akan kekal lama kerana mereka akan bergaduh sesama sendiri. PAS kata tetap nak buat hukum hudud sedangkan DAP tentang. Jadi DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat maka tumbanglah kerajaan Pakaran Rakyat. Pada masa itu kerajaan BN akan memerintah semula negara kecuali BN tidak cukup untuk bentuk kerajaan maka perlu adakan kerajaan campuran dengan PAS. MCA mungkin tidak setuju jika PAS masuk dalam BN kerana bimbang PAS desak buat hukum hudud. Atau adakah ini gimik PAS semata-mata untuk menang pilihanraya sedangkan mereka tahu mereka tak mapu laksanakan hukum hudud.