Ahad, Oktober 25, 2009

EGM PAS ADA HIKMAH


Cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan kumpulan prokerajaan perpaduan mungkin ada hikmah, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid bagaimanapun menganggap bahawa cadangan itu menunjukkan wujudnya masalah dalam PAS.

"Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam parti PAS tetapi saya fikir doa mereka (PAS) telah dimakbulkan kerana sebelum ini mereka yang mendoakan agar Umno dan Barisan Nasional berpecah.

"Saya percaya doa yang tidak baik itu kembali kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di sini Sabtu.

Mursyidul Am PAS itu dalam blognya baru-baru ini mencadangkan agar parti itu mengadakan EGM bagi menentukan masa depan beberapa pemimpin parti berkenaan yang dikatakan bermasalah.

"Sebelum ini Nik Abdul Aziz mengalu-alukan EGM MCA berikutan masalah dalaman parti itu. Jadi kali ini apa yang beliau sebut itu terkena pada batang hidung sendiri," katanya.