Ahad, Julai 23, 2017

RISIKO TERLALU TINGGI JIKA UMNO KALAH DI SABAH

PAPAR, 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota UMNO dan seluruh rakyat Sabah agar tidak sesekali terpengaruh dengan cubaan pihak luar untuk 'memBrexit'kan' Sabah daripada gelanggang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata tindakan pihak 'luar' itu, termasuk bekas kepimpinan UMNO peringkat negeri dan nasional yang telah meninggalkan UMNO, merupakan langkah yang silap dan boleh memberi impak negatif kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Jika ada orang luar sama dari dalam kita (BN dan UMNO), tokoh yang asalnya daripada Barisan Nasional yang cuba membawa rakyat Sabah keluar daripada gelanggang UMNO dan BN, mereka salah perkiraan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Secara Berkelompok perwakilan UMNO Zon 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan dekat sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Kimanis yang juga Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Isnin Aliasni, masing-masing Ketua UMNO Bahagian Papar dan Beaufort.

Brexit adalah merujuk kepada langkah rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa dengan bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Britain begitu menyesal dengan langkah brexit berkenaan kerana akibat langkah itu bukan seperti yang diharapkan mereka.

"Sabah tidak mahu jadi brexit di Malaysia ini. Sabah tidak mahu BN dan UMNO kecundang. Oleh yang demikian, berpandu kepada pengalaman di depan mata kita, bagaimana menyesalnya rakyat Britain dan kita tahu bahawa jika ini dilakukan oleh pemimpin berkenaan (bekas pemimpin UMNO dan BN) untuk membawa sekali lagi rakyat Sabah keluar dari gelanggang 'water reservoir' yang sama dengan reservoir Putrajaya, maka bukan pemimpin yang menerima akibat tetapi rakyat menerima akibat tidak baik ," kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau jika Sabah meninggalkan gelanggang UMNO dan BN, risikonya terlalu tinggi seperti yang pernah dilalui oleh beberapa kerajaan negeri Sabah sebelum ini apabila mereka menubuhkan kerajaan hasil mainan sentimen yang tidak selari dengan kerajaan Pusat.

Justeru, katanya, situasi politik di Sabah kini di mana wujud perkongsian kuasa di kalangan parti-parti komponen BN perlu diteruskan demi kestabilan politik meskipun mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) ditambah daripada 60 kepada 73 kerusi kelak.

"Saya harap rakan-rakan kita dalam BN jangan beri tekanan kepada Ketua Menteri. Kita harap rakan-rakan kita dalam BN berunding dengan sebaik-baiknya. Yang penting bukan pembahagian kerusi tetapi yang penting UMNO dan BN boleh memerintah dengan selesa di Sabah.

Ahmad Zahid yakin kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak mustahil dapat dikekalkan meskipun dengan tambahan kerusi DUN berkenaan kerana dapatan kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2016 mendapati 76 peratus rakyat Sabah masih memerlukan BN untuk meneruskan agenda membangunkan Sabah.

Malah, kata Ahmad Zahid, kajian universiti berkenaan juga menunjukkan bahawa 71.2 peratus rakyat Sabah menganggap BN telah berjaya melakukan transformasi kepada Sabah sekali gus membuktikan rakyat Sabah mahukan UMNO dan BN mentadbir Sabah.

Beliau juga mengingatkan anggota UMNO dan rakyat di Sabah agar belajar daripada peristiwa Tanduo di Lahad Datu serta serangan militan di Marawi di selatan Filipina yang ingin memisahkan diri daripada negara Filipina agar peristiwa seumpama tidak lagi berlaku di negara ini.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Ahmad Zahid, beliau akan memperkuatkan Kawasan Keselamtan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di Sabah terus terpelihara.

Sabtu, Julai 22, 2017

PERKASA CADANGKAN REFERENDUM MENGENAI ISA

KUALA LUMPUR: PERKASA meminta kerajaan mengadakan referendum supaya melalui referendum itu dapat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, sejak akhir akhir ini rakyat Malaysia tanpa takut menggunakan isu sensitif seperti isu perkauman dan agama kerana mereka dapati ISA sudah tiada.

"Maka melalalu referendum ini jika majoriti rakyat Malaysia bersetuju wujudkan semula ISA, maka kerajaan perlu wujudkan semula ISA," katanya ketika ditemui di majlis sambutan hariraya Aidilfitri PERKASA.

Perdana Menteriu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghapuskan ISA pada tiga tahun lepas. Sejak penghapusan akta tersebut ramai rakyat Malaysia menulis isu sensitif dalam Facebook.

"Saya berpendapat ISA perlu diwujudkan semula untuyk membendung iusu isu sensitif dimainkan oleh rakyat secara terbuka," katanya.

Jumaat, Julai 21, 2017

SPR MENANG KES RAYUAN DENGAN KERAJAAN SELANGOR

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu memberi maklumat mengenai kod dan nama lokaliti bagi 136,272 pemilih di Selangor pada 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri Selangor untuk urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan SPR untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar ia memberi maklumat itu.

Kerajaan Selangor juga gagal dalam rayuannya untuk memeriksa balas Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah apabila panel hakim sama menolak permohonan itu.

Panel itu, yang dianggotai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Kamardin Hashim, bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 19 Okt tahun lepas, kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan kerana mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Kerajaan Selangor juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor meminta mahkamah mengetepikan notis berkenaan dan memerintahkan SPR menyiarkan notis baharu tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Selangor kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan enam jenis maklumat bagi prosiding semakan kehakimannya terhadap SPR dan untuk memeriksa balas pengerusi suruhanjaya itu.

Kerajaan negeri Selangor mendakwa SPR bertindak secara melanggar perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih.

Kecuali maklumat tentang kod dan nama lokaliti bagi 136, 272 pemilih di Selangor yang diperintah diberi kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac tahun ini, maklumat lain dan permohonan untuk memeriksa balas pengerusi SPR yang dikemukakan kerajaan negeri Selangor, telah ditolak.

Kerajaan Selangor bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan lima mklumat lain.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili SPR, dalam hujah beliau berkata maklumat mengenai alamat pemilih tidak diperlukan selepas pendaftaran kerana apa yang diperlukan ialah lokaliti bagi menentukan tempat pendaftaran pemilih dan lokaliti tidak akan berubah, melainkan pemilih memohon untuk menukarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh pula berkata maklumat mengenai rang daftar pemilih tidak lagi wujud dari segi undang-undang kerana ia sudah dimasukkan ke dalam rang daftar pemilih semasa.

Kata beliau perbuatan mempersoal kesahihan rang daftar pemilih adalah tidak dibenarkan mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.

Peguam S. Ambiga, yang mewakili kerajaan Selangor, dalam hujahnya berkata maklumat itu diperlukan bagi mengesahkan pendaftaran 136, 372 pemilih berkenaan.

"Kami bukan mencabar rang daftar pemilih. Kami terima, ia mengandungi lokaliti. Kami tidak memintanya diketepikan atau perubahan dibuat terhadap rang daftar pemilih. Tetapi, urusan persempadanan semula tidak boleh dibuat hanya berdasarkan lokaliti, tanpa alamat.

"Kami hadir di mahkamah. Kami bimbang mungkin sesetengah daripada mereka, tidak wujud," kata beliau.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan peguamnya tentang tindakan seterusnya yang akan diambil.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 19, 2017

5,000 ORANG HADIRI RUMAH TERBUKA KKMM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Lebih 5,000 tetamu memeriahkan majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Puspanitapuri di sini, hari ini.

Tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri KKMM Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Bertemakan 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian', majlis itu mencerminkan pelbagai jabatan dan agensi yang terdapat di bawah KKMM.

Pada majlis itu, Salleh turut memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau pada 10 Julai lepas.

Sharifah Zarah kemudian menyampaikan hadiah berupa lukisan potret Salleh.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan dan kuih muih, para tetamu dihiburkan dengan persembahan para penyanyi termasuk Datuk Nassier Wahab dan Khai Bahar sepanjang majlis itu yang berlangsung dari 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

-- BERNAMA

TERNYATA MRT MENJIMATKAN MASA DAN KOS



KAJANG: Genap tujuh bulan lalu, Fasa Pertama Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan dilancarkan di Stesen Kwasa Damansara.

Kelmarin 17 Julai, sejarah tercipta apabila projek infra-rakyat bertaraf dunia Fasa Kedua SBK iaitu dari Semantan ke Kajang yang melengkapkan laluan itu menjadi realiti.

Komitmen itu direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengungkapkan janji untuk membina jaringan sistem pengangkutan awam bersepadu tujuh tahun lalu selepas mengambil alih pentadbiran negara yang telah dikotakan kepada seluruh rakyat.

Lebih membanggakan, projek mega itu mampu disiapkan dua minggu lebih awal, malah lebih rendah daripada bajet yang telah dibentangkan kerajaan sebanyak RM2 bilion daripada sasaran kos asal berjumlah RM23 bilion.

Bermula Isnin lalu tepat pukul 4 petang, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaharu di dunia itu akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

Kira-kira 25,000 menjadi saksi pelancaran projek ‘dekat di hati’ Perdana Menteri itu iaitu satu lagi lonjakan berganda yang pas­tinya akan membawa perubahan kepada kehidupan warga kota dan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk pelancong.

Laluan MRT SBK sepanjang 51 kilometer itu merangkumi 31 stesen bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia melibatkan 19 stesen dalam Fasa Kedua yang mana tujuh terletak di bawah tanah.

Kesemua 19 stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Se­ni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman­ Midah, Taman Mutiara, Taman­ Connaught, Taman Suntex, Sri­ Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Setiap tren SBK mempunyai empat gerabak membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penum­pang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan seramai 400,000 orang.

Dianggarkan 160,000 ken­de­raan dijangka tidak lagi berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan 752,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun yang akan memberi impak positif kepada alam sekitar.

Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.

Tempoh perjalanan pastinya lebih menjimatkan berbanding penggunaan bas dari Sungai Buloh ke Kajang yang akan memakan masa dua jam setengah tanpa kesesakan lalu lintas.

Ini bererti pengguna terpaksa menghabiskan masa pergi-balik selama lima jam berbanding naik MRT yang hanya mengambil masa 88 minit.

Kos sara hidup rakyat pastinya dapat dikurangkan.

Penggunaan kereta contoh­nya, dengan kos minyak, tol, penyelenggaraannya sehala dari Sungai Buloh ke Kajang, kosnya lebih kurang RM54.

Jika menggunakan MRT, pengguna cuma membayar RM6.40. Rakyat boleh jimat terlalu banyak.

Fasa pertama projek MRT te­lah dapat memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat apabila 130,000 peluang pekerjaan ditawarkan termasuk 70,000 secara langsung.

Setakat ini di 31 stesen, 41 peluang perniagaan dibuka dan dijangka akan ditambah.

Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek 'infra-rakyat' di negara ini.

Perdana Menteri berkata pelbagai lagi projek akan dilaksanakan termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorail dan KTM.

"Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.

"Berdasarkan rekod prestasi, kita (kerajaan) akan dapat memenuhi objektif ini," katanya ketika merasmikan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen bawah tanah, Tun Razak Exchange di sini Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.




Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.


"Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.

"Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan," tambahnya.

Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.

Semalam, saya menaiki MRT dari Bandar Tun Hussein Onn ke Pasar Seni. Saya rasa kagum kerana menaiki MRT yang lebih cepat berbanding dengan menaiki kereta dari Semenyih ke Kuala Lumpur yang kadangkala makan masa hampir dua jam apabila jalan raya mengalami jem yang teruk,

Semoga dengan adanya MRT ini dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dari Kajang ke Kuala Lumpur. Ternyata menaiki pengangkutan awam seperti MRT ini menjimatkan kos.





Selasa, Julai 18, 2017

TINDAKAN MAHATHIR BERMOTIFKAN DENDAM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bermotifkan dendam kerana sering mengeluarkan pelbagai kenyataan berupa tohmahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mendakwa Dr Mahathir sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan menganggap tuduhan yang dilemparkan bekas perdana menteri itu tidak berprinsipkan moral.

"Dr Mahathir sebenarnya kecewa dengan kekalahan anaknya (Datuk Seri Mukhriz) sebanyak tiga kali iaitu tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, kalah jawatan Naib Presiden UMNO dan diturunkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Ini yang menyebabkan Dr Mahathir melupakan prinsip moral yang dipegang sebelum ini dan sanggup berpakat dengan pembangkang untuk membalas dendam dalam menjatuhkan Najib,"katanya dalam sidang media selepas melancarkan 'EzCab', aplikasi e-hailing pertama di Malaysia yang menyediakan butang SOS untuk keselamatan pengguna teksi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan semasa politik tanah air.

Mohamed Nazri berkata pihak pembangkang juga dilihat sudah tidak relevan jika parti itu masih dibarisi pemimpin-pemimpin lama dan terus mempunyai konflik dalaman yang berpanjangan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri turut menyatakan sokongannya terhadap Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekiranya Jamal mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.

"Sekiranya Khairy Jamaluddin mahu melepaskan jawatan itu, dia (Jamal) boleh sahaja bertanding. Jamal adalah calon yang baik dan selagi beliau adalah ahli Umno, kenapa tidak?, Saya sokong sekiranya Jamal mahu bertanding,"katanya.

-- BERNAMA
v

Ahad, Julai 16, 2017

WAJIB SOKONG CALON YANG DIPILIH PARTI

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Anggota UMNO perlu menyokong penuh calon parti yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan UMNO terus menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) dalam memegang tampuk pemerintahan negara sekaligus memperjuangkan dan membela nasib orang Melayu.

"Wajib untuk kita pastikan calon menang kerana kalau ada isu sabotaj sesama sendiri atau lompat parti, tentu saja tak boleh menang.

"Kita tak tahu siapa yang akan bertanding, itu pilihan pucuk pimpinan, kita pun dah berikrar akan setia pada parti dan patuh pada pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rasah, di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya berlaku sabotaj dalam kalangan anggota parti, ia bukan sahaja merugikan calon yang bertanding tetapi juga UMNO.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata anggota UMNO perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti.

"Sebaik sahaja parti dah umum calon, kita sudah tiada pilihan untuk merasa tidak berpuas hati.

"Saya harap kita bersatu untuk PRU akan datang kerana ini penting untuk perjuangan UMNO membela nasib orang Melayu dapat dipertahan," katanya.

-- BERNAMA

RUMAH TERBUKA TEMUKAN KAWAN YANG BERPISAH SELAMA 41 TAHUN

SEMENYIH: Semalam 21hb Syawal keluarga saya meneruskan tradisi mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara dan sahabat handai di rumah kami di Bandar Tasik Kesuma di sini. Saya jemput ramai kawan dari 10 grup whatsapp tetapi oleh kerana rumah kami jauh di sempadan Selangor-Negeri Sembilan maka saya sudah jangka ramai yang berada di Kuala Lumpur tidak sanggup datang sejauh ini.

Terima kasih kepada kawan kawan yang sudi datang ke rumah kami terutamanya kawan kawan satu MRSM Seremban. Kami adalah pelajar perintis MRSM pertama di Malaysia yang dibuka pada tahun 1972 dan kini ada 52 MRSM di seluruh negara.

41 tahun berpisah dengan mereka dan hanya bertemu dalam whatsapp maka majlis rumah terbuka seperti ini dapat menemukan semula saya dengan bekas jurutera Petronas, Ahmad Faiza yang berasal dari Rembau, Dr Halim pakar sakit puan di Hospital Damai Taman Melawati, Ismail Idris bekas CEO Yayasan Selangor dan Shamsul Baharuddin Abdullah, bekas Ketua Akademi PUSPAKOM yang berasal dari Batu Rakit, Kuala  Terengganu.

Ramai kawan dari grup MRSM  whatsapp saya minta maaf tak dapat datang kerana batch kami Nasaruddin mengadakan majlis perkahwinan anaknya di FRIM, Kepong dan semalam memang banyak jemputan rumah terbuka yang menyebabkan mereka pilih yang dekat rumah daripada pergi ke Semenyih.
 Ahmad Faiza dah 41 tahun tak jumpa cerita zaman kami hisap rokok di MRSM
 Itu bukan cucu Shamsul Baharuddin Abdullah (kiri) tapi anaknya dengan Haji Yusof, Dr Halim dan Ismail Idris
 Dengan Dato Zaharin Mohd Yassin dan bekas Pengarah SPRM, Dato Bahari
 Yusfa, anak Yusfa, Khairuddin Harun, Tengku Azman Tengku Hashim dan Dato Zaharin
 bersama Yusfa bekas jurugambar Karangkraf yang berusia 72 tahun
    Dua pasangan bahagia
 banyak cerita lama bila kawan lama berkumpul
 Kamry Kamaruddin, Haji Yusof dan Hidayat Fansuri
 Pegawai khas ahli parlimen Sik, Haji Ramli Yusof dan business partner KK Chia
Team Agro Malaysia Zurin, Mimi Nasa dan Shamsul Hazli Mamat


Pada tahun 1971 selepas kami dapat keputusan Ujian Penilaian (sekarang UPSR) kami masuki peperiksaan khas untuk masuk MRSM.  Selepas itu kami dipanggil temuduga. Dari Terengganu lebih 200 orang dipanggil temuduga tetapi yang berjaya masuki MRSM hanya tiga orang iaitu Shamsul Baharuddin Abdullah, Engku Azmi Engku Abdul Rahman (kini di PMINT Kuala Terengganu) dan saya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala Terengganu.

Seramai 150 orang menjadi perintis MRSM Seremban. 10 orang sudah meninggal dunia dan kini tinggal 140 orang yang masih hidup yang semuanya berusia 58 tahun. Kami bangga dengan pencapaian kami walaupun tiada yang berjaya dalam politik di kalangan batch kami. Hanya seorang dari kami yang pernah jadi Naib Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Dr Ismail Mokhtar.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas CEO Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan CEO PR1MA, Datuk Mutalib Alias adalah junior kami.

Batch kami yang terkenal adalah pakar ENT, Dato Dr Lokman Saim, bekas Pengarah HUKM, Dato Dr Raymond Azman, bekas CEO Bernas, Datuk Ibrahim Mohd Nor, bekas CEO PKNS, Datuk Othman Omar dan orang kuat PMO, Johari Ishak.

Terima kasih kepada semua kawan yang hadir seperti Datin Haslina KIST dengan suaminya bekas Pengarah SPRM, Dato Bahari; aktivis politik yang terkenal, Dato Zaharin Mohd Yassin; rakan rakan dari bekas Karangkraf, Rodly Fadly, Rahim Tahir, Yusfa serta Shamsul Hazli Mamat, Zurin dan Mimi Nasa dari Agro Malaysia, Tengku Azman Tengku Hashim seorang ahli perniagaan, Khairuddin Harun Amanah Raya Berhad, Hidayat Fansuri dari MH Online, Haji Yusof Forensik, KK Chia dan Haji Ramli Yusof serta semua ahli jawatankuasa surau Al Uzma.

Maaf kepada rakan rakan yang tak sempat makan nasi dagang kerana nasi dagang habis awal. Ramai yang terkilan tak dapat datang makan nasi dagang dan mereka cadangkan lain kali buat rumah terbuka di rumah anak kami di Wangsa Melawati yang lebih dekat untuk mereka datang.

 ahli jawatankuasa surau Al Uzma turut hadiri majlis rumah terbuka
Presiden Kelab Alumni Karangkraf, Rodly Fadly dan Rahim Tahir

Jumaat, Julai 14, 2017

DR MAHATHIR TIDAK RISAU ROSAKKAN UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak risau usahanya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri akan merosakkan parti UMNO.


Beliau yang mengaku memang berusaha untuk menurunkan Najib sejak tahun 2014, berkata tindakkannya itu bukan merosakkan UMNO tetapi merosakkan Najib yang telah memburukkan UMNO.

Dr Mahathir, 92, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). berkata demikian ketika ditanya peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan anaknya Datuk Seri Mukhriz selaku plaintif terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad selaku defendan.

Dr Mahathir, yang merupakan saksi kedua plaintif juga mengaku PPBM berlawan dengan parti UMNO.

Bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu berkata pada kebiasaannya individu yang memegang jawatan sebagai naib presiden UMNO boleh dipilih sebagai timbalan perdana menteri, bagaimanapun beliau menegaskan perkara itu terpulang kepada budi bicara presiden parti.

"Kebiasaannya...walaupun tidak terhad, kita (UMNO) pilih daripada naib presiden yang tiga orang yang ada, ikut budi bicara presiden," katanya yang pernah memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu memegang jawatan naib presiden UMNO sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipecat.

Di awal prosiding, Mukhriz ketika ditanya mengenai isu beliau bertanding jawatan naib presiden UMNO dan tafsiran anggota UMNO bahawa beliau mempunyai niat atau bakal menjadi perdana menteri, berkata "Walaupun ia adalah stepping stone (batu loncatan) tetapi ia bukan jaminan untuk dipilih menjadi perdana menteri.

"Saya fikir anggota UMNO sedia maklum bahawa bertanding jawatan naib presiden bukan jaminan jadi perdana menteri," katanya.

Mukhriz turut memberitahu mahkamah bahawa bapanya tidak mengalakkan beliau bergiat di dalam politik namun beliau mempunyai hujah-hujah sendiri untuk bergiat.

Mukhriz yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa bahawa Tengku Sarifuddin telah mengeluarkan dua kenyataan yang berbaur fitnah terhadap beliau pada April, tahun lepas.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 19 dan 20 Okt.

-- BERNAMA

Khamis, Julai 13, 2017

SEBAT DI KHALAYAK RAMAI DI KELANTAN TIDAK JEJASKAN PELANCONG

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Kelantan pada masa ini bukan tergolong dalam negeri-negeri yang kerap dilawati oleh pelancong di negara ini.

Malah jelasnya pindaan itu yang antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai hanya melibatkan orang Islam sahaja.

"Kalau pelancong takut ke Kelantan, mereka boleh melawat ke tempat lain, banyak lagi tempat menarik boleh dilawati seperti Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Nasional Malaysia Rumah Keduaku, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud antara lain membabitkan hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan zina, silap menuduh zina, liwat dan meminum minuman keras dalam kalangan umat Islam.

-- BERNAMA

HASIL SENI YANG HEBAT DI TUJUH STESEN MRT



KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Tujuh buah stesen bawah tanah Aliran Transit Massa (MRT) bagi fasa kedua meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal dibuka Isnin depan kelihatan begitu unik dengan hiasan hasil seni yang hebat.

Ia dibuat sebegitu rupa untuk mengujakan para pengguna beserta reka bentuk arkitektur yang mengagumkan.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah, pengguna MRT akan dapat menikmati keindahan tujuh buah stesen daripada 19 buah stesen fasa kedua itu, yang reka bentuk setiap stesen adalah berbeza dengan stesen yang lain yang kesemuanya menggambarkan unsur kehidupan rakyat Malaysia.

Bermula dengan stesen Muzium Negara, diperlihatkan evolusi mode pengangkutan awam Malaysia daripada bas, teksi hingga keretapi selain nostalgia orang ramai menggunakan pengangkutan tersebut.






"Di stesen Muzium Negara berdekatan stesen KL Sentral, kita boleh melihat pada setiap tiang gambar teksi, bas dan keretapi dari generasi lama hingga sekarang," kata Najmuddin kepada Bernama.

Beliau berkata di stesen Pasar Seni pula yang menghubungkan laluan LRT Kelana Jaya, ia mempamerkan aspek kebudayaan, seni dan kraf bagi mempromosikan warisan budaya negara melalui visual.

Aspek patriotisme juga tidak dilupakan apabila elemennya diperlihatkan pada Stesen Merdeka yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.






Najmuddin berkata di situ terdapat mural yang mempelihatkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangannya ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

"Kita tahu dinding itu akan menjadi popular dengan pengguna apabila stesennya dibuka. Setiap rakyat Malaysia pasti akan berselfie dan berwefi pada dinding itu," katanya.

Beliau berkata di Stesen Bukit Bintang, suasananya menggambarkan kedinamikan dan keceriaan kawasan persekitaran Bukit Bintang sebagai hab perniagaan utama.

Stesen itu direka bentuk dengan hasil seni berwarna merah bagi menggambarkan kedinamikan, katanya.

"Sebelum ini ia seolah-olah mimpi negeri untuk kita memasuki Bukit Bitang dari segenap arah, tapi kini MRT berada di tengah-tengahnya," tambahnya.

Najmuddin berkata konsep Perbadanan Islam pula diperlihatkan di Stesen Tun Razak Exchange yang menggambarkan suasana kontemporari, formal serta korporat selari dengan usaha kerajaan untuk mempromosi negara sebagai dunia korporat Islam.

Dua stesen terakhir iaitu Cochrane dan Maluri mewakili pula kehidupan bandar dan generasi baharu dengan nukilan seni kontemporari yang vibran, urban dan berisfat remaja, ujar beliau.

Namun setelah dihasi dengan karya-karya yang mengagumkan, MRT Corp tidak melupakan aspek keselamatan penumpang di stesen-stesen bawah tanah tersebut.

"Ia berada dalam kelas terbaik dan berteknologi paling canggih," kata Najmuddin.

Beliau berkata sistem keselamatannya membolehkan sebarang kecemasan ditangani dengan segera dan efisien yang kesemua stesen dilengkapi sistem memadam kebakaran automatik selain sistem siaraya untuk memudahkan penyuraian penumpang secara beramai-ramai.

Menurut Najmuddin, stesen bawah tanah bagi Laluan SBK mengutamakan peralatan teknologi hijau bagi menjana kecekapan tenaga di samping tidak melupai keselesaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

"Pintu tiketnya cukup luas hingga membolehkan penumpang berkerusi roda mudah melaluinya, terdapat juga elevator dari paras bawah hingga tingkat konkos dan platform, tanda huruf braille pada butang lif serta laluan tanpa bertangga," katanya.

Beliau berkata setiap stesen turut disediakan pembantu yang mencukupi, sistem kawalan keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon khas untuk mendapatkan bantuan.

Fasa pertama meliputi 21 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Semantan yang merangkumi 12 buah stesen telah beroperasi Disember tahun lalu.

Laluan SBK yang bernilai 23 juta ringgit meliputi jajaran sejauh 51 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Kajang bagi kegunaan 1.2 juta penduduk untuk menghubungi rumah mereka dengan destinasi di pusat bandar raya.

Setiap trennya mempunyai emat gerabak yang boleh membawa 1,200 penumpang bagi setiap perjalanan dengan anggaran kira-kira 400,000 penumpang sehari menerusi kekerapan tren setiap 3.5 minit.

Betapa bangga rakyat Malaysia terutama di ibu kota yang memiliki sistem MRT canggih dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 12, 2017

MRT SUNGAI BULOH-KAJANG BEROPERASI SEPENUHNYA MULAI 17 JULAI

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Laluan Pertama Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT-1), Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara tiga jaringan laluan rel bandar, akan beroperasi sepenuhnya dengan pembukaan fasa kedua laluan Semantan-Kajang minggu depan.

Laluan Semantan-Kajang akan melengkapkan Laluan SBK sepanjang 51km dengan melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Fasa pertama laluan Sungai Buloh-Semantan, yang mempunyai 12 stesen mula beroperasi pada 16 Dis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan Laluan Semantan-Kajang, 17 Julai ini.




Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah, fasa kedua Laluan SBK sejauh 30km itu, mempunyai 19 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah dengan majoriti stesen dibina di kawasan strategik yang tidak ada perkhidmatan rel bandar.

Daripada jumlah stesen itu, 14 stesen terletak di kawasan strategik dan berpopulasi tinggi bagi memudahkan orang awam berulang-alik ke pusat bandar, katanya kepada Bernama di sini.

Stesen berkenaan ialah Muzium Negara, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught, Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih dan Merdeka.

Beliau berkata stesen MRT juga dibina bagi mengintegrasikan dengan stesen Komunter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Monorel bagi meningkatkan kemudahan kesalinghubungan perjalanan untuk pengguna.

Misalnya, kata Najmuddin, pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen MRT Muzium Negara dengan KL Sentral adalah bagi tujuan mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan di pusat bandar.

"Kesalinghubungan dengan perkhidmatan pengangkutan lain adalah amat penting bagi pengguna dan setiap stesen MRT memainkan peranan penting antara satu sama lain," katanya.

Projek Laluan Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, dengan kos RM23 bilion, mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan 3.5 minit di antara setiap tren dan dianggarkan bilangan penumpang harian kira-kira 430,000 orang.

Laluan MRT Kedua (MRT-2) melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP), sepanjang 52.5km, dijangka siap pada suku kedua 2022 manakala laluan terakhir, MRT-3, melibatkan kawasan pusat bandar masih di peringkat perancangan dan pembangunan.

-- BERNAMA

Isnin, Julai 10, 2017

SAMBUTAN HARI RAYA FELCRA PELUANG BERTEMU KAWAN KAWAN LAMA

KUALA LUMPUR:  Selepas meninggalkan FELCRA pada tahun 1986, ini adalah kali pertama saya menyambut majlis hari raya FELCRA di ibu pejabatnya di Wangsa Maju Seksyen 10. 31 tahun saya tidak menemui kawan kawan lama seperti Haji Jahare Abu Bakar, Noor Azmi Mohd Desa, Adnan, Haji Mohd Nor Talib.

Malah saya turut bersalam dengan bekas Ketua Pengarah (DG) FELCRA, Datuk Mustafa Juman yang kini berusia 71 tahun.  DG terkejut saya bersalam dengannya kerana saya selalu kutuk dia dalam grup wasap bekas pegawai FELCRA. Saya meletakkan jawatan sebagai pegawai tadbir FELCRA pada 1 Mei 1986 kerana "bergaduh" dengan beliau.

Pada 2 Mei 1985 saya ambil cuti kerana bapa saudara saya akad nikah di kampung. Pada hari yang sama Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Datuk Seri Adib Adam melawat ibu pejabat FELCRA. Cuti saya diluluskan oleh Ketua Penolong Pengarah  (KPP)Tugas Tugas Khas, Haji Mohd Nor Ibrahim. Sebagai PRO saya sepatutnya ada di majlis tersebut tetapi oleh kerana bapa saudara saya kahwin maka saya terpaksa ambil cuti.

Mustafa yang dipanggil DG mengamuk kerana saya tiada di pejabat ketika menteri melawat pejabat. Terus dia tukarkan saya ke unit audit dalam masa 24 jam. Sepatutnya dia marahi KPP saya yang luluskan cuti. KPP saya senyap tidak membela saya.

Saya pun baru 26 tahun panas baran juga terus hantar surat letak jawatan dengan notis satu bulan kerana enggan ditukar ke unit audit. Tapi bekas boss saya, Pengarah Pembangunan Peneroka, Haji Mokhtar Harun pujuk saya tarik balik notis letak jawatan.

Apabila saya tarik balik, saya diberi pilihan oleh DG kekal di unit audit atau pindah ke pejabat Pengawal Wilayah Utara FELCRA di  Ipoh di bawah Haji Dahlan Abdul Ghani. Saya pilih bekerja di Ipoh jauh dari DG yang panas baran. Kalau pegawai buat silap, terus dia maki pegawai depan semua staf bawahan termasuk kerani dan jurutaip. Tapi orang panas baran seperti ini sekejap sahaja marah. Lepas itu dia cool.


Pada 31 Disember 1985, pejabat pengawal wilayah FELCRA dihapuskan. Maka saya bertugas di pejabat FELCRA Negeri Perak pula di bawah Haji Nordin Zainuddin. Di bawah Haji Nordin saya kurang seronok kerana dia serius tidak seperti Haji Dahlan yang garang tetapi kelakar. Pada masa yang sama saya sudah lulus peperiksaan am kerajaan dan boleh disahkan jawatan tetapi rupanya DG berdendam. DG tak sahkan jawatan saya sedangkan semua badge saya yang lapor diri pada 1 November 1983 disahkan jawatan seperti Haji Ahmad Shaari, Haji Jahare Abu Bakar, Misran Tamam dan Noor Azmi Mohd Desa.

Nampaknya saya sudah tiada masa depan dalam FELCRA. Maka saya buat keputusan untuk letak jawatan pada 1 Mei 1986 dan balik Kemaman mengganggur. Setahun kemudian baru saya diterima menjadi wartawan akhbar Watan di Kuala Lumpur selepas menjadi guru sementara selama tiga bulan di Sekolah kebangsaan Kg Baru Neram yang mana ketika itu Norzilam pegawai kanan di BTN masih dalam darjah empat.

Sambutan hari raya FELCRA kali ini merapatkan semula saya dengan rakan rakan lama yang terpisah selama 31 tahun. Sudah tentu yang paling terkejut ialah DG yang saya sudah maafkannya. Terima kasih Misrom Matleham kawan lama di Watan yang mengundang saya ke majlis tersebut. kebetulan Pengerusi FELCRA, Datuk Bung Mokhtar pula kawan baik ketika saya bertugas dengan akhbar watan di Sabah. Saya sudah mengenalinya selama 28 tahun dan beliau tidak pernah berubah tetap ramah seperti dahulu.







Ahad, Julai 09, 2017

SAMBUTAN HARI RAYA ALUMNI KARANGKRAF MERIAH DI JANDA BAIK

JANDA BAIK: Kalau pada tahun lepas Kelab Alumni Karangkraf (KAK) mengadakan sambutan hari raya Aidilfitri di rumah bekas wartawan Karangkraf, Sharifah Abu Salem di Batu 18, Hulu Langat tetapi semalam mereka menyambut hari raya di Janda Baik, Pahang.

Kira kira 200 ahli KAK telah berkumpul di Janda Baik dari pagi Sabtu. Ada yang balik ke Kuala Lumpur sebelah petang manakala ada yang bermalam di chalet yang disediakan.

Sesungguhnya usaha KAK wajar dipuji kerana mengumpulkan bekas wartawan Kumpulan Karangkraf. Turut hadiri majlis tersebut ialah Pengerusi Media Karangkraf, Datuk Hushamuddin Yaacob dan timbalannya Datuk Nasir Hamzah.

Saya yang telah mengesahkan kehadiran tidak dapat pergi kerana di saat saat akhir ada hal yang tidak dapat dielakkan. Namun demikian saya share gambar gambar kiriman Rahim Tahir dan Shamsul Hazli Mamat dalam Facebook saya. Syabas kepada ahli jawatankuasa KAK terutamanya kepada Presidennya, Rodly Fadly. Agaknya di mana KAK akan adakan majlis sambutan hari raya pada tahun hadapan? Adakah di Tok Bali, Kelantan? Sama samalah kita tunggu Syawal tahun hadapan.