Jumaat, Ogos 19, 2011

CIKGU HAJI YUSOF DALAM KENANGAN


Dalam posting sebelum ini, saya menulis bahawa datuk saya, Haji Abdullah Omar yang duduk di Pasir Gajah, Kemaman menikahi anak Cikgu Haji Yusof Kemasik iaitu Hajah Zaharah.Dalam posting kali ini saya mahu menulis tentang moyang saya ini, Cikgu Haji Yusof.Kisahnya pernah disiarkan dalam sebuah majalah (saya lupa tajuknya)pada tahun 8oan dahulu.

Beliau meninggal dunia di Kemasik pada tahun 1974 ketika saya berusia 15 tahun. Ketika itu saya belajar di MRSM, Seremban. Saya tak sempat balik ke Kemasik melihat pengkebumian beliau. Dikatakan jalanraya Kemasik terpaksa ditutup kerana ribuan anak muridnya menghantar jenazahnya ke kubur di tepi masjid Kemasik dari rumahnya di belakang Sekolah Kebangsaan Kemasik.

Beliau bukan sahaja seorang guru agama malah seorang guru silat. Sebab itu beliau mempunyai ramai anak muridnya di seluruh Terengganu. Cikgu Haji Yusof berasal dari Paloh, Kuala Terengganu dan beliau pernah berguru dengan Tok Ku Paloh.Tanah asalnya diberi kepada anaknya, aruah Mohd Nor (ayah kepada Pengerusi PEKIDA Terengganu, Cikgu Ghazali Mohd Nor yang kini menetap di Dungun).

Saya pernah menemui anak muridnya yang hebat, Tok Ki Ali di Kg Kemat, Kuala Berang. Beliau banyak belajar silat dari Cikgu Haji Yusof. Beliau pernah bercerita bahawa Cikgu Haji Yusof pernah bersilat dengan Kiai Saleh ketika beliau mengembara ke Batu Pahat, Johor. Beliau pernah menikahi orang Batu Pahat. Cucunya, seorang polis pernah berkhidmat di Balai Polis Air Puteh pada tahun 1980an.Kini dia balik bekeja di Johor (saya lupa namanya).

Beliau pernah bersilat dengan anak muridnya di atas bumbung rumah. Beliau juga mengamalkan tarikat naqsyabandiah.Dia suka bangun malam solat tahajud.Beliau selalu pesann kepada anak cucunya yang dalam kecemasan, sebut namanya, dia akan muncul. Cucunya, Nawawi yang duduk di Kajang sentiasa bertemu dengan Cikgu Haji Yusof.

Walaupun Cikgu Haji Yusof adalah guru agama, orang tak panggilnya Ustaz sebaliknya Cikgu Haji Yusof. Dia mengajar di balai polis Kemaman malah turut menerima jemputan mengajar di tempat lain.Saya diberitahu oleh Kisfi Zainal, kawan saya yang duduk di Air Putih bahawa dia sempat belajar dengan moyang saya di surau Teladas.

Bayangkan pada tahun 70an bukan mudah pergi ke Air Puteh dari Chukai. Bukannya ada kereta atau bas yang jarang-jarang ada. Tidak seperti hari ini setiap kampung banyak kereta orang kampung. Biasanya dia akan bermalam di Air Putih kalau gilirannya mengajar di surau Teladas.

Kisfi pernah bersama bapa saudaranya tengok kehebatan Cikgu Haji Yusof. Petang itu dia baru sampai di Teladas tiba-tiba selepas maghrib dia beritahu isterinya sakit. Orang ramai pelik macam mana beliau tahu isterinya jatuh sakit sedangkan ketika itu tiada handphone. Dia kata nak balik juga malam itu ke Kemasek. Mana orang kampung ada kereta nak hantarnya balik ke Kemasik.

Sampai di suatu tempat dia suruh bapa saudara Kisfi dan Kisfi berjalan di hadapan. Selepas itu dia ghaib. Bila bapa saudara Kisfi dan Kisfi berpaling ke belakang, Cikgu Haji Yusof sudah tiada.Mereka hairan Cikgu Haji Yusof balik ke Kemasik dengan apa.

Baru ini saya temui Che Wan Adnan Che Wan Idris, bekas Presiden Kelab UMNO London yang sempat berguru dengan Cikgu Haji Yusof. Dia ingat pesanan moyang saya sewaktu belajar di London supaya jangan berzina, minum arak dan berjudi.

Ramai anak muridnya menceritakan kehebatan Cikgu Haji Yusof. Pernah dia mahu menyeberang sungai tiada perahu. Dia panggil buaya dalam sungai, dan dia berjalan di atas buaya menyeberangi sungai itu.Pernah juga orang lihat dia tahan bas di Kemasik tetapi bas tidak berhenti. Bila sampai di Chukai orang nampak dia turun dari bas.

Cikgu Haji Yusof seorang yang sayangkan cucu-cicitnya. Bila setiap kali kami balik berhariraya di Kemasik sewaktu kami kecil, dia akan peluk kami stail orang Arab.Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1974, kami tidak berhari raya di Kemasik lagi.

Sebelum itu setiap tahun kami akan berhari raya di Kemasik. Maka ramailah cucu-cicitnya berkumpul. Beliau menikahi dengan 10 orang perempuan tetapi semuanya dia cerai kecuali Tok Nik (moyang kami) dengan isteri mudanya Tok Da Kembang yang masih sihat di Kemasik kini.