Jumaat, Jun 08, 2018

HISHAMUDDIN TAK YAKIN KALAHKAN ZAHID PUNCA BELIAU TIDAK BERTANDING SEBARANG JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

"Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

"Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain-lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, beliau telah menyuarakan keputusan tersebut kepada Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

Ulasan saya, nampaknya Hishamuddin tidak yakin dapat mengalahkan Datuk Seri Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden Umno yang menyebabkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan.

Dalam suasana ahli Umno mahu perubahan, beliau juga enggan bertanding jawatan timbalan presiden Umno malah mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Biarlah beliau berehat sepenggal kerana pemilihan 2021 lebih penting dari pemilihan 2018. Berundur setapak ke belakang bukan bermakna beliau pengecut tetapi beliau akan buat comeback pada pemilihan 2021 nanti.