Isnin, Februari 15, 2016

OMAR AZIZ DALAM KENANGAN

Pagi semalam sedang melayan  grupwasap  Setia Bersahabat tiba tiba bekas Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Zahari Said menulis pada pukul 10.30 pagi bahawa bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Omar Aziz bin Mohd Noh meninggal dunia di Bangi. Saya terus hubungi warisnya Mat Amin bertanya di mana beliau akan dikebumikan.

Mat Amin beritahu minggu lepas arwah hubunginya beritahu beliau akan menjalani pembedahan otak di Hospital Serdang buat kali kedua. Mat Amin mahu pergi menziarahinya tetapi arwah kata tak payah. Beliau meninggal dunia dalam usia 60 tahun kerana ketumbuhan dalam otak.

Pada tahun 2010 arwah menjalani pembedahan ketumbuhan otak kali pertama. Saya ziarahinya dengan Mat Amin dan Halim Janggut di rumahnya di Bangi. Arwah kenali Mat Amin dan Halim tetapi beliau tidak kenali saya. Dia tanya Zabidi mana, saya jawab Zabidi Pasir Gajah. Langsung dia tidak ingat saya. Selepas pembedahan itu beliau berhijrah dari Kemaman ke Bangi kerana mudah berurusan dengan Hospital Serdang.

Apabila disahkan beliau akan dikebumikan di Bangi selepas solat asar, saya terus ke rumahnya di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi bersama Pengurus Amanah Raya Berhad Bangi, Khairudin Datuk Harun dan Kamri Kamaruddin. Tengku Azman Tengku Hashim yang mendapat berita itu ketika sedang fisioterapi di Hospital Tawakal sampai kemudian menziarahi arwah.

 Kebetulan Khairuddin dan Tengku Azman mengenali arwah. Khairuddin duduk tidak jauh dari rumahnya tetapi tidak pernah bertemu dengan arwah dan Khairuddin beritahu arwah selaku kontraktor yang membina rumah Datuk Harun Hassan di Kg Besut dahulu.

Khairudin mewakili ahli jawatankuasa Persatuan Anak Kemaman di Perantauan Malaysia (PAKAR). Kebetulan Presiden PAKAR, Haji Mustafa Abdul Rahman berada di Kemaman. Jika PAKAR dimaklumkan bahawa arwah masuk Hospital Serdang, sudah tentu PAKAR turut menziarahi arwah.

 Tengku Azman yang baru berpindah dari Kemaman ke Sri Rampai awal tahun lepas selalu teringat nak jumpa dengan arwah tetapi tidak pernah sempat menemuinya kecuali menemui jenazahnya semalam.

Arwah meninggal di Hospital Serdang pada jam 9.30 pagi. Jenazahnya tiba di surau Abdul Rahman Auf di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi tepat jam 1.50 petang. Oleh kerana tiada perkhidmatan mandi jenazah di Hospital Serdang maka jenazahnya dimandikan di surau tersebut.

Selepas solat asar baharulah solat jenazah diadakan dan tepat jam 5.20 petang jenazahnya dibawa ke tanah perkuburan berhampiran stesen komuter UKM. Omar Aziz berasal dari  Gong Pauh, Kemaman dan bersekolah di Sekolah Menengah Cukai sehingga tingkatan lima. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di tingkatan enam di Sekolah Menengah Padang Midin pada tahun 1975 hingga 1976.

Arwah sekelas dengan bekas Pegawai Daerah Kemaman, Datuk Mustaffa Khalid ketika di Sekolah Menengah Padang Midin. Arwah tingkatan enam atas manakala Zahari Said, Cikgu Jusoh Embong, Datuk Kamil (Datuk Bandar Kuala Terengganu) dan Datuk Wan Nawawi (Pegawai Kewangan) tingkatan enam rendah.

Selepas itu arwah bekerja sebagai kerani di Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman. Ketika ini beliau bergiat dalam MAYC dan bertanding ahli jawatan kuasa pemuda Umno di zaman arwah Nazri Salleh menjadi ketua pemuda pada tahun 1987. Kemudian arwah berhenti bekerja sebagai kerani dan menjadi seorang kontraktor.

Pada tahun 1993, beliau menentang Yahya Mamat dan Haji Yahya Mohamad dalam pertandingan naib ketua pemuda Umno Kemaman. Arwah beregu dengan Ahmad Said manakala Haji Yahya beregu dengan Nazri Salleh. Dalam pertandingan tiga penjuru itu,  Ahmad Said mengalahkan Nazri Salleh dan Rahim Hussin manakala Omar Aziz menang naib ketua dalam pertandingan tiga penjuru juga.

Pada tahun 1995, ahli jawatankuasa pemuda, Yusof Jaafar menaja bekas Bendahari pemuda, Haji Mustafa Abdul Rahman untuk menentang Omar Aziz.  Ahmad Said menyokong Omar Aziz manakala Zahari Said selaku setiausaha pemuda menyokong Haji Pa. Haji Pa menang dalam pertandingan dua penjuru itu yang mana saya turut menang ahli jawatankuasa pemuda sama undi 62 undi di tempat ketujuh dengan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Saya masih ingat pesanan ahli jawatankuasa pemuda, Suhaimi Hassan yang menasihati saya jika saya dapat pencalonan yang sedikit saya tak payah tandinglah tetapi saya yang dapat sedikit pencalonan daripada Suhaimi tetap bertanding tetapi Suhaimi dapat undi yang lebih rendah dari saya. Masa itu Setiausaha Umno Bahagian sekarang, Rosli Ahmad kalah bertanding ahli jawatankuasa pemuda.

Selepas kalah pada tahun 1995, arwah kurang aktif dalam politik dan kalau tidak silap saya beliau menang ahli jawatankuasa bahagian pada tahun tersebut. Apabila perniagannya tidak menjadi, beliau bekerja dengan SMNY yang mana arwah Datuk Mohd Nor Teja adalah waris sebelah emaknya. Kali terakhir arwah balik


ke Chukai pada 24 Januari lalu menziarahi jenazah Datuk Mohd Nor.

  Semasa bekerja dengan SMNY, beliau jatuh sakit dan akhirnya beliau berhijrah ke Bangi pada tahun 2010 dan semalam jenazahnya disemadikan di Bangi. Alfatihah buat beliau.