Apabila Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno, ahli ahli Umno simpati kepada beliau. Begitu juga apabila Muhyiddin Yasin digantung jawatan Timbalan Presiden Umno, rakyat Malaysia simpati kepada beliau.
Seolah-olah pemimpin Umno pantang ditegur. Bila tegur, kena gantung dan kena pecat. Tetapi apabila Dr Mahathir bersama para pemimpin pembangkang seperti DAP, simpati ahli Umno kepada Dr Mahathir terus hilang. Selama ini Lim Kit Siang yang mahu menjatuhkan kerajaan Melayu pimpinan Umno tapi akhirnya Dr Mahathir sanggup duduk semeja dengan Lim Kit Siang untuk menjatuhkan Najib Razak.
Ahli ahli Umno mula bersatu apabila mereka lihat Lim Kit Siang bersama Dr Mahathir kerana mereka amat sensitif dengan Lim Kit Siang. Mereka tidak boleh lupa apa yang Lim Kit Siang buat di hadapan rumah MB Selangor, Harun Idris ketika berlaku rusuhan 13 Mei. Lim Kit Siang yang melaung Melayu balik kampung apabila DAP menang banyak kerusi di Selangor pada PRU 1969.
Apabila Muhyiddin digantung jawatannya, ahli ahli Umno Pagoh berdiri teguh di belakang Muhyiddin tetapi apabila beliau turut berada dengan Dr Mahathir di majlis deklarasi Dr Mahathir maka simpati ahli ahli Umno Paguh terhadap Muhyiddin turut hilang. Mereka kecewa dengan sikap Muhyiddin. Dahulu Muhyiddin yang menyerang Mat Sabu apabila Mat Sabu kata Bintang Tiga yang menyerang balai polis Bukit Kepong bukan komunis. Kini Muhyiddin sanggup pula bersekongkol dengan Mat Sabu. Kawan saya, Dato Zaaba orang kuat Muhyiddin turut melahirkan kesal terhadap sikap Muhyiddin.
Rupa-rupanya tindakan Dr Mahathir dan Muhyiddin di majis tersebut memberi satu hikmah kepada ahli ahli Umno supaya bersatu menentang musuh utama Umno iaitu DAP. Lim Kit Siang memaafkan Dr Mahathir yang menangkapnya di bawah ISA. Dia kata dia pergi jumpa Dr Mahathir selepas keluar dari ISA bertanya kenapa Najib selaku Ketua Pemuda Umno ketika itu tidak ditangkap di bawah ISA bersama Ketua Pemuda MCA, Lim Kim Sai.
Sebaliknya tiga Exco Pemuda Umno yang ditahan di bawah ISA iaitu Ibrahim Ali, Tajuddin Rahman dan Fahmi Ibrahim. Jika momentum Dr Mahathir bersama DAP berterusan, ia memberi kekuatan baru kepada Umno untuk menyerang DAP. Justru itu Umno sepatutnya berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana memudahkan Umno menghadapi musuh yang nyata dalam PRU akan datang.