Jumaat, Mei 31, 2019

LEBIH BANYAK FILEM ANIMASI TEMPATAN PERLU DITERBITKAN

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Lebih banyak filem animasi tempatan perlu diterbitkan dalam usaha menembusi pasaran filem di peringkat antarabangsa, kata Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas) Datuk Gerald Hans Isaac.

Beliau menggesa syarikat-syarikat produksi filem tempatan memanfaatkan industri animasi kerana ia semakin menjadi pasport segera untuk menerobos ke pasaran antarabangsa.

“Filem-filem animasi boleh memasuki pasaran banyak negara dengan pelbagai bahasa, faktor bahasa bukan lagi menjadi isu, contohnya seperti filem “Upin dan Ipin”.

“Saya harap syarikat-syarikat produksi filem kita akan dapat mencipta laluan untuk menembusi pasaran negara-negara seperti China, Eropah, Amerika Syarikat dalam usaha mencapai pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu majlis pengumuman mengenai perkongsian pemain industri antara KRU Animation Studios dan KidZania Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Presiden dan CEO Kumpulan KRU Entertainment Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad.

KRU turut menjemput 30 kanak-kanak yang tidak bernasib baik dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad yang mendapat sumbangan 'duit raya' dan hadiah penghargaan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Menerusi perkongsian ini KRU akan memperkenalkan studio animasi mereka di KidZania dalam usaha meningkatkan pengetahuan berhubung industri animasi di kalangan generasi muda.

Golongan muda yang berkunjung ke KidZania akan dapat mempelajari proses membuat filem animasi, termasuk dari segi penyediaan jalan cerita, mencipta karekter dan melajar membuat ‘voice over’.

KRU turut menawarkan program yang dinamakan AfterClass bagi pelajar pr-sekolah dan pelajar sekolah rendah bagi meningkatkan minat mereka dalam seni dan produksianimasi,yang akan banyaka membantu semasa mereka menyertai industri itu di masa akan datang.

-- BERNAMA