Isnin, Mac 06, 2017

BN TIDAK BEROPERASI SEPERTI ALI BABA

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO tidak beroperasi seperti Ali Baba dan tidak menggunakan muslihat bagi menipu pengundi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini kerana UMNO dan BN bekerja secara telus serta saling menghormati antara satu sama lain dengan parti yang berada dalam gabungan itu.

"Kami juga tidak membuat pusingan U hanya untuk memenuhi kehendak individu tertentu dan mengorbankan parti atau gabungan seperti yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang.

"Persepsi yang cuba dibuat oleh pembangkang adalah untuk menunjukkan Pakatan adalah gabungan yang diterajui Melayu, bukannya dipimpin DAP," katanya dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Namun tegas Salleh, ia terbukti salah kerana adalah "jelas pemimpin DAP, Lim Kit Siang banyak menguasai Pakatan serta menentukan apa yang berlaku ".

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih sekadar menjadi alat.

Menurutnya, kebanyakan Melayu dalam DAP 'hanya digunakan sebagai maskot untuk memancing pengundi Melayu, sedangkan hakikatnya kedua-dua mereka tidak mempunyai suara dalam Pakatan kerana masing-masing bukan Anggota Parlimen.'

"Pada dasarnya, seperti apa yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melihat kepura-puraan ini, Mahathir dan Anwar menjadikan situasi Ali Baba yang sempurna untuk DAP berselindung di belakang.

"DAP tahu mereka tidak mampu bersendirian memancing pengundi Melayu, jadi mereka perlukan Mahathir dan Anwar untuk melakukannya," katanya.

Semalam, Najib menganggap pembangkang di Malaysia sebagai 'ali baba' kerana tidak ada kesepakatan di antara mereka terhadap siapa yang akan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA