Ahad, Ogos 13, 2017

UMNO KENA LETAK CALON YANG DIRESTUI PARTI KOMPONEN BN

CHUKAI: Parti MyPPP Terengganu berpendapat BN kena letak calon UMNO yang direstui oleh parti komponen BN jika BN mahu tawan semula kerusi DUN Chukai.

Menurut Pengerusi MyPPP Terengganu, Datuk Kamarulzaman Idrus, MyPPP tidak berminat untuk bertanding di mana mana kerusi DUN di Terengganu.

"Tetapi kami akan sokong calon BN yang dapat bekerjasama dengan MyPPP," katanya kepada catatanzabidi.

Beliau berpendapat untuk menawan semula kerusi DUN Chukai, Umno kena letak calon yang direstui oleh semua parti komponen BN termasuk MCA,MIC dan MyPPP.


"Ahli MyPPP tidak ramai di Kemaman tetapi kami akan menjadi penggerak untuk membantu calon Umno yang tidak sombong dengan kami," tegas beliau.

Katanya, MyPPP tidak berniat untuk mengugut BN tetapi sekurang-kurangnya undi para penyokong MyPPP di Kemaman khasnya dan di DUN Chukai khususnya akan menjadi undi penentu kepada kemenangan calon Umno.

Pada PRU13, BN kalah satu kerusi daripada empat DUN di mana calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di DUN Chukai kalah di tangan calon PAS, Hanafiah Mat
dengan majoriti 2,446 undi.

KAWASAN KETENGAH DIPERLUASKAN



HULU TERENGGANU 12 Ogos - Seluruh kawasan di daerah ini bakal diwartakan sebagai wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang akan memesatkan pembangunan di kawasan pedalaman.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah ini dengan pelbagai potensi yang boleh dimajukan untuk memacu ekonomi merupakan daerah pertama diletakkan di bawah operasi penuh agensi itu.


Katanya, perluasan kawasan operasi melibatkan sembilan mukim iaitu Tanggul, Hulu Berang, Hulu Telemung, Jenagur, Kuala Berang , Kuala Telemung, Penghulu Diman, Tersat dan kawasan pembangunan Tasik Kenyir.

Katanya, ia akan meliputi kawasan seluas 387,462.60 hektar melibatkan 122 kampung dan 77,582 penduduk dan perkembangan itu bakal mengubah pembangunan fizikal dan sosioekonomi di daerah tersebut.

“Ketengah sudah bersetuju dengan cadangan perluasan operasi ini cuma dari segi prosedur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membawa perkara ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Terengganu.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2017 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian, Datuk Jailani Johari.

Katanya, selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri kelak, pihaknya akan membawa ke Kabinet pula untuk urusan seterusnya dengan pertimbangan tentang kos dan implikasinya.

“Saya percaya tidak timbul masalah besar di peringkat negeri sebab Pengerusi Ketengah adalah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman,” katanya.