Selasa, Mac 14, 2017

KEUNTUNGAN BERSIH PETRONAS MENINGKAT RM23.5 BILION

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Perbadanan minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berada dalam kedudukan kukuh memasuki 2017 selepas transformasi yang dilaksanakan tahun lepas bagi memastikan kemampanan dan daya tahan kumpulan pada masa depan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata dengan prasyarat utama yang dilaksanakan bagi mentransformasikan syarikat itu dan dengan jangkaan pemulihan pasaran, Petronas berkedudukan kukuh untuk berdepan dengan cabaran semasa.

"Usaha berturutan dan penuh teliti kami bagi menyusun semula Petronas, mengurangkan kos dan menambah baik prestasi mula membuahkan hasil dalam menambah baik prestasi kami, seperti yang ditunjukkan menerusi keputusan yang kami catatkan.

"Kami yakin transformasi itu akan memastikan kemampanan dan daya tahan Petronas pada masa depan," katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Petronas bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2016 (tahun kewangan 2016), di sini, semalam.

Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan 2016 turun lapan peratus kepada RM33.7 bilion daripada RM36.7 bilion dalam tahun kewangan 2015 susulan penurunan 17 peratus perolehan kepada RM204.9 bilion daripada RM247.7 bilion sebelumnya, sejajar dengan purata harga minyak mentah yang rendah pada tahun lepas.

Keuntungan bersih, bagaimanapun, meningkat 12 peratus kepada RM23.5 bilion daripada RM20.9 bilion pada tahun kewangan 2015, berikutan terutamanya perbelanjaan operasi dan perbelanjaan cukai rendah diimbangi sebahagiannya oleh purata harga rendah.

Kumpulan itu mengakhiri tahun kewangan 2016 dengan penarafan kredit kukuh, tahap kadar hutang rendah pada 17 peratus dan baki tunai kukuh yang direalisasikan daripada disiplin kewangan dan inisiatif kawalan kos.

Wan Zulkiflee berkata meskipun pasaran minyak mencatatkan pengimbangan semula, prospeknya masih kekal tidak menentu, justeru kumpulan akan terus berusaha mencatatkan produktiviti tinggi dan kecemerlangan operasi bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017 (tahun kewangan 2017).

Dalam tahun kewangan 2016, kumpulan itu berjaya mengurangkan kos boleh dikawal sebanyak lapan peratus, atau RM4.1 bilion, berbanding tahun kewangan 2015.

Pengoptimuman operasi menerusi program seluruh organisasi Petronas dan Perikatan Pengurangan Kos 2.0, atau lebih dikenali sebagai Coral 2.0, dijangka terus menghasilkan penjimatan kos, kata Wan Zulkiflee.

Meskipun Petronas terpaksa mengurangkan kakitangannya seramai 2,300 orang tahun lepas dalam usaha untuk mengukuhkan akauntabiliti dan mengurangkan pertindihan tugas, Wan Zulkiflee berkata beliau tidak menjangkakan penstrukturan semula besar-besaran tenaga kerjanya dalam tahun kewangan 2017.

"Pada 2017, kami menyasar untuk meneruskan momentum mengekang kos dan meningkatkan kecekapan dan memastikan perubahan minda yang menumpukan kepada 'menjadi lebih produktif dengan sumber yang kurang' akan terus menjadi sebahagian penting daripada 'budaya kerja' Petronas," katanya.

Sementara itu, bagi projek Gas Asli Cecair Pacific Northwest, Wan Zulkiflee berkata kumpulan itu masih sedang mengkaji syarat-syarat yang digariskan oleh

Canadian Environmental Assessment Agency dalam kelulusan bersyaratnya yang diperoleh tahun lepas sebelum mengumumkan rancangan Petronas pada masa hadapan.

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, beliau berkata, kemajuan projek itu mendahului jadual pada 54 peratus pada akhir tahun kewangan 2016 dan kemajuannya hampir 60 peratus pada Feb 2017.

Petronas memiliki perbelanjaan modal sehingga RM60 bilion bagi tahun kewangan 2017 berbanding RM50.4 bilion pada tahun kewangan 2016

-- BERNAMA

KASTAM PENYELAMAT EKONOMI NEGARA?

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi
mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan keputusan untuk mengkorporatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak lama lagi dengan skim perkhidmatan yang lebih baik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah pengkorporatan JKDM telah tertangguh berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

"Memandangkan kecemerlangan anggota Jabatan Kastam menjalankan tugas dengan cemerlang maka kerajaan akan korporatkan jabatan ini dengan skim perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Berucap pada Majlis Penghargaan Kastam Bersama Perdana Menteri di sini malam ini, Najib berkata ia merupakan hadiah terbaik kepada anggota JKDM dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad yang akan bersara beberapa hari lagi.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Pada majlis itu, Najib turut memuji Jabatan Kastam sebagai wira yang telah menyelamatkan ekonomi negara serta mengulangi bahawa pelaksanaan GST adalah terbukti berjaya menyelamatkan ekonomi negara.

Katanya walaupun pelaksanaan GST dikritik dan dibantah dengan kata-kata kesat, kerajaan tetap mengambil langkah berani dan tegas itu demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata Malaysia memerlukan satu sistem percukaian yang moden, progresif, telus dan berkesan untuk mentransformasi menjadi sebuah negara maju.

"Ini soal fundamental. Kalau mengimpikan Malaysia dilonjak sebagai sebuah negara maju, kita mesti melaksanakan GST kerana ia terbukti sistem percukaian paling baik di dunia.

"Niat kerajaan tidak lain dan tidak bukan ialah supaya kita melakukan perubahan untuk kita buat pembaharuan struktur cukai dalam negara," katanya.

Kerajaan mula melaksanakan GST dengan kadar enam peratus pada 1 April 2015, dengan jumlah kutipan hasil untuk tempoh sembilan bulan pada 2015 ialah RM21.9 bilion manakala RM41.2 bilion pada tahun lepas.

Sebelum pelaksanaan GST, keseluruhan kutipan hasil Kastam adalah RM35.1 bilion pada 2014.

Najib berkata dalam satu majlis taklimat hari ini, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim memaklumkan bahawa pelaksanaan GST dapat mengelakkan Malaysia dari senario buruk.

Menurutnya, Gabenor Bank Negara memaklumkan sekiranya tanpa GST, defisit yang kini 3.1 peratus mungkin melonjak kepada enam atau tujuh peratus, selain nilai mata wang akan merudum kepada RM6 atau RM7 kepada dolar Amerika berbanding RM4.45 sekarang.

"Rating kita akan menjadi lebih buruk lagi oleh penarafan antarabangsa kerana hasil kita tidak cukup untuk menampung keperluan pentadbiran dan pembangunan negara. Kita mungkin terpaksa menambah pinjaman dalam dan luar negara," katanya.

-- BERNAMA