Sabtu, Disember 05, 2009

ABU KASSIM KETUAI SPRM PADA 1 JANUARI INI


Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya yang baru mulai 1 Jan ini menggantikan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan hari ini berkata Ahmad Said, 57, telah mengemukakan notis bertulis supaya kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya, yang sepatutnya tamat pada 25 Mei 2010, dipendekkan pada 31 Dis ini.

"Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Abu Kassim, 48, sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baru berdasarkan peruntukan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," kata Sidek dalam satu kenyataan.

Abu Kassim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, dan Sarjana Sains dalam bidang Criminal Justice dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Abu Kassim dilahirkan di Kuala Lumpur pada 5 Dis 1960 menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Sept 1984 sebagai pegawai siasatan.

Beliau pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti, Amanah Raya Berhad.

Abu Kassim dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 1 Jan 2007, dan dengan berkuatkuasanya akta baru pada 1 Jan 2009, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sidek berkata kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahmad Said kerana sumbangannya.