Rabu, Jun 22, 2016

ANAK TERENGGANU DILANTIK SEBAGAI PANGLIMA ANGKATAN TENTERA



Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkuat kuasa 16 Disember ini.

Raja Mohamed Affandi

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan pelantikan itu ber­kata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-548 yang bersidang pada 23 Mei lalu dan telah diper­kenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Jelas beliau, peralihan tampuk kepemimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berikutan Zulkefli yang akan bercuti dan mengambil Latihan Peralihan bermula tarikh tersebut sebelum bersara wajib pada 13 Jun 2017.

Hishammuddin turut meng­umumkan Panglima Tentera Uda­ra, Jeneral Tan Sri Roslan Saad akan mula bercuti dan mengikuti Latihan Peralihan pada 21 Disem­ber ini sebelum bersara wajib pada 27 Mei 2017.

“Jadi pada penghujung Disem­ber ini kita akan menyaksikan pelantikan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Da­rat baharu.

“Pengumuman enam bulan lebih awal ini dilakukan demi memastikan peralihan pucuk pimpinan ATM berjalan lancar manakala pemimpin yang terlibat boleh membuat persiapan rapi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini semalam.
Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor telah dilahirkan di Kg. Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kg Raja, Besut Terengganu. Setelah menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, beliau telah mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungei Besi sebagai Pegawai Kadet. Beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Norlida binti Hj Abdul Mubin dan dikurniakan 3 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, di sepanjang karier beliau telah memegang pelbagai jawatan sebagai Pemerintah dan Pegawai Staf di dalam ATM. Beliau juga telah terlibat secara langsung di dalam menentang pengganas komunis sewaktu menjawat jawatan sebagai Ketua Platun dan Ketua Kompeni. Selain daripada penugasan operasi, beliau juga telah terlibat dengan berbagai latihan ketenteraan samada di dalam mahupun di luar negara. Di sepanjang karier sebagai pegawai tentera, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting dan di antaranya adalah Pembantu Ketenteraan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Ketua Jurulatih di PUSASDA, Pegawai Memerintah 18 RAMD, Pegawai Staf 1 Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Pegawai Staf 1 Tadbir di Cawangan Sumber Manusia, Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Assisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan serta Panglima 2 Divisyen. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat mulai 2 Jun 2008 serta menjawat jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia mulai 31 Okt 2009. Beliau seterusnya dinaikkan ke pangkat Jeneral dan memegang jawatan Panglima Tentera Darat mulai 15 Jun 2013.

Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor juga telah mengikuti pengajian/kursus profesional di dalam dan di luar negara dan berkelulusan Master In Defense Studies (Australia) dan Master of Science in Defense and Strategic Studies (Pakistan).
Walaupun beliau dilahirkan di Besut tetapi beliau dibesarkan di Kemasik, Kemaman dan tahniah kepada beliau yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu. Saya masih teringat kata kata bekas pegawai kanan polis yang juga orang terengganu yang mengatakan kalau orang Terengganu masuk polis, tak payah bercita cita menjadi Ketua Polis Negara.
Dengan perlantikan orang Terengganu sebagai Panglima Angkatan Tentera membuktikan kata kata bekas pegawai kanan polis itu tidak berasas kerana perlantikan Ketua Polis Negara atau Panglima Angkatan Tentera berdasarkan merit.