Isnin, Ogos 27, 2018

CALON PAS TERIMA SOKONGAN PARTI KAUM INDIA

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- PAS menerima kerjasama parti berasaskan kaum India seperti MIC dan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) yang berikrar memastikan calon diketengahkan parti Islam itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali menerima sokongan masyarakat India.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kedua-dua parti itu mula turun padang bersama-sama Dr Halimah ketika berkempen selain memujuk anggota dan penyokong MIC dan IPF yang merupakan pengundi di DUN Seri Setia untuk mengundi calon PAS itu.

"Selain UMNO, kita mula menerima sokongan daripada MIC dan IPF dan beberapa badan bukan kerajaan yang berikrar untuk membantu calon PAS (di Seri Setia).

"Cuma di pihak MCA, kami tak nampak kesan terus lagi (dari segi sokongan kepada calon PAS) sebab mungkin mereka sibuk bertumpu kempen PRK DUN Balakong yang diadakan serentak dengan PRK Seri Setia iaitu 8 Sept ini," katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di sini, hari ini. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah.

Dr Halimah berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar pada PRK berkenaan yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas akibat kanser usus.