Khamis, Disember 31, 2015

AKHIRNYA SEBUAH IMPIAN

Malam tadi tepat 8.15 malam saya menerima panggilan dari isteri sahabat saya, Abdullah Ibrahim yang mengatakan Abdullah sudah meninggal dunia. Pada mulanya saya tidak percaya dengan panggilan Puan Suzana itu dan saya menelefonnya semula untuk mendapat pengesahan daripada Puan Suzana.

Ternyata sahabat baik saya sudah pergi dalam usia 62 tahun. Saya menangis kerana setiap hari biasanya dia akan call saya tetapi sudah tiga hari dia tidak call saya. Saya pun sibuk tak sempat callnya untuk bertanya khabar.

Saya mengenali Dollah sejak kembali semula ke Kemaman pada tahun 1992 selepas berhenti kerja dengan akhbar Watan di Kuala Lumpur. Ketika itu beliau bersama isterinya membuka farmasi di hadapan kedai kopi Hai Peng, Chukai, Kemaman.

Pada tahun 2000, beliau rapat dengan saya kerana ketika itu beliau memohon pinjaman untuk perniagaan kilang catnya sebanyak RM1 juta daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Saya ketika itu bekerja sebagai eksekutif di PNS yang berpejabat di PWTC.

Tetapi permohonan beliau tidak diluluskan kerana PNS tidak nampak cat beliau sebagai cat yang  berasaskan getah yang pertama di dunia sebagai peluang perniagaan yang baik bagi Bumiputera.  Dollah tidak berputus asa. Beliau memohon pinjaman PUNB tetapi PUNB meluluskan pinjaman sebanyak RM300,000 sahaja. Beliau tolak pinjaman itu kerana RM300,000 tidak cukup untuk membuka kilang.

Selepas saya berhenti kerja dengan Free Malaysia Today (FMT) pada Julai 2014, saya terjumpa semula dengan Dollah secara kebetulan selepas 13 tahun tidak bertemu. Saya tanya apa dia buat sekarang, dia kata dia tidak buat apa. Saya tanya bagaimana kilang cat dahulu. Dia kata tak ada modal untuk mulakan kilang tersebut. Sejak itu saya berikrar kepadanya untuk cari pelabur bagi meneruskan kilang cat tersebut. Cat Eptex itu dicipta oleh Dollah dan ia telah diluluskan oleh SIRIM. Malah pakar cat dari Jepun dan German yang datang ke Malaysia pada tahun 2000 kagum dengan formula Dollah itu.

Ramai pelabur yang kami temui termasuk pelabur dari Brunei, Kalimantan tetapi semua tinggal janji sahaja. Pada masa yang sama saya selaku broker jual bangunan dan tanah turut menunggu komisen saya untuk mulakan kilang cat bersama Dollah. Tiga LOI saya sudah dapat untuk jual bangunan dan tanah tetapi LOI itu lambat dicairkan maka cita-cita Dollah untuk melihat kilang cat eptex itu beroperasi tidak menjadi kenyataan.

Sementara menunggu komisen saya tiba,  kawan saya yang baru dapat komisen dari projek FELDA pada 4 Disember lalu bersetuju untuk melabur sebanyak RM1 juta dalam kilang cat dan kami bertiga bersetuju untuk miting pada 1 Januari 2016 untuk membincangkan ekuiti kami bertiga di mana saya mencadangkan supaya ekuiti Azlan 50 peratus, Dollah 40 peratus dan saya 10 peratus. Apabila saya terima komisen jual tanah dan bangunan nanti, saya akan beli balik ekuiti Azlan.

Kami sudah bersetuju untuk mulakan operasi kilang cat eptex mulai 4 Januari 2016 dengan pengurusan kanan melaporkan diri terlebih dahulu iaitu CEO, COO, Pengurus Sumber Manusia, Pengurus Kewangan, Pengurus Pengeluaran dan Pengurus Pemasaran.

Kami mengambil 25 orang kakitangan yang berpengalaman luas dalam empat bidang tersebut untuk menggerakkan kilang cat ini. Mereka dijangka melaporkan diri pada 15 Januari depan. Tetapi begitulah kehendak Tuhan, manusia yang merancang, Allah yang menentukannya. Berakhirnya impian Dollah selama 15 tahun untuk melihat kilang cat Eptex beroperasi. Pengedar tunggal di Indonesia sudah sedia mengedarkan cat Eptex ke seluruh Indonesia. Memang itulah hasrat Dollah untuk melihat cat Eptex kalis bunyi dan tahan karat ini memasuki pasaran global.


Jenazah beliau akan dikebumikan pada jam 10 pagi, 31 Disember menutup tirai 2015di tanah perkuburan di USJ. Alfatihah buat Dollah.