Ahad, Ogos 14, 2011

PERKASA CABAR NIK AZIZ


Perkasa mencabar Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz mengeluarkan arahan kepada semua masjid di Kelantan supaya tidak menggunakan mikrofon ketika membaca alquran sebelum waktu subuh.

Presiden Perkasa, Datuk Haji Ibrahim Ali ketika membuat cabaran itu berkata oleh kerana Nik Aziz menyokong tindakan semua masjid di Pulau pinang tidak menggunakan mikrofon membaca alquran sebelum waktu subuh, maka beliau sepatutnya memberi arahan yang serupa kepada semua masjid di negeri itu.

"Saya kesal dengan sikap Nik Aziz. Oleh itu saya cabar beliau keluarkan arahan yang sama kepada semua masjid di Kelantan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang tadi.

Sidang akhbar itu diikuti pula dengan majlis berbuka puasa Perkasa yang turut dihadiri oleh beberapa bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Onn ismail, Datuk Aziz Shamsuddin, Datuk Khalid Yunus dan sebagainya.

Dalam sidang akhbar yang sama, beliau mengumumkan bahawa oleh kerana PAS sudah tidak mahu lagi memperjuangkan Islam maka Perkasa bersedia mengambilalih peranan PAS.

"Biar Perkasa perjuangkan Islam, " tegas beliau sambil disambut tepukan gemuruh ahli-ahli majlis tertinggi Perkasa yang turut menghadiri sidang akhbar itu.

Selepas sidang akhbar itu, Ketua Wira Perkasa telah membakar akhbar The Star sebagai bantahan Perkasa terhadap akhbar itu yang menyiarkan sisipan Ramadhan mengenai daging babi baru-baru ini.

"Perkasa juga mahu KDN menggantung akhbar The Star kerana menyiarkan isu yang sensitif ini. Saya kesal Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berdiam diri mengani tindakan akhbar tersebut," katanya lagi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya, lapor Bernama.

Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di Kota Bharu hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menggesa wanita negeri ini yang suka membeli atau menyimpan barang kemas supaya menjualnya untuk dilaburkan dalam KRKB yang baru dilancarkan itu.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi pulangan yang menguntungkan kesan kenaikan harga emas dunia yang menjadi bahan pelaburan urusniaga koperasi menerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Semasa ditanya sama ada kebimbangan sesetengah rakyat Kelantan yang ingin melabur dalam koperasi itu kesan kegagalan Koperasi Kohilal yang kebanyakannya dianggotai PAS, Nik Abdul Aziz berkata kegagalan koperasi itu ekoran kejatuhan saham dan keadaan ekonomi merudum pada 1998.