Khamis, Oktober 12, 2017

PESTA ARAK BUKAN BUDAYA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Penganjuran pesta arak tidak pernah menjadi budaya Malaysia dan tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada budaya kebangsaan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata dasar Kebudayaan kebangsaan yang digubal pada 1971 menggariskan antara lain bahawa kebudayaan kebangsaan mestilah berasaskan kepada budaya penduduk pribumi rantau ini dan Islam sebagai komponen penting dalam penggubalan dasar itu.

"Tolong faham, jangan fikir kami mengharamkan semua ini kerana kami adalah negara Islam tetapi ia bukan budaya kami, sama ada kami orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban untuk mengadakan pesta arak besar-besaran," kata beliau pada Siri Kuliah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata keadaan berbeza, misalnya di Jerman atau Bavaria kerana kedua-dua negara tersebut adalah negara yang penduduknya minum arak dan juga negara negara pengeluar arak.

"Mereka boleh mengadakan 'Octoberfest' kerana mahu mempromosikan arak keluaran mereka, mereka adalah negara yang penduduknya minum arak dan negara pengeluar arak tetapi di negara ini, kita tidak mengeluarkan arak," kata beliau

MAHU MURAH MAKA LEBIH RAMAI MUNCUL DOKTOR GIGI PALSU

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Sikap masyarakat yang mahukan caj rawatan pergigian yang murah dan perkhidmatan yang cepat sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan akan mendorong kewujudan lebih ramai doktor gigi palsu, kata Persatuan Pengamal Pergigian Swasta (MPDPA).

Presidennya Dr V. Nedunchelian berkata penawaran perkhidmatan yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja turut memikat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu sekali gus menyumbang kepada percambahan mereka.

Masyarakat tidak perlu membuat temu janji dan tunggu giliran sedangkan hakikatnya tindakan mereka menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu ini hanya mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya perkhidmatan yang lazim menjadi pilihan masyarakat daripada doktor gigi palsu terbabit ialah pemasangan pendakap gigi dan gigi palsu.

Menurut Dr Nedunchelian terdapat pesakit yang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami komplikasi akibat memilih perkhidmatan memasang gigi palsu daripada doktor palsu.