Selasa, Julai 09, 2019

PH TAK BOLEH TERIMA UMNO SEBAGAI PARTI KOMPONEN

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menerima parti komponen baharu kerana ia akan membawa masalah ketika pemilihan calon pilihan raya, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ahli parti lain boleh menyertai mana-mana parti sedia dalam PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Semua orang nak jadi calon. Kita tak ada banyak kawasan pilihanraya, jadi jika mereka nak sertai kita dengan menyertai parti-parti sedia ada - okay,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini hari ini.

Selain itu, katanya keempat-empat parti komponen PH juga tidak mempunyai masalah dalam hubungan.

Dr Mahathir berkata pelawaannya kepada ahli-ahli parti Melayu untuk menyertai Bersatu bukanlah melibatkan sentimen rasis, sebaliknya beliau mahu orang Melayu bersatu di bawah parti sedia ada berbanding membentuk parti lain.

"Sebenarnya saya terangkan orang Melayu tak pandai politik, dia seronok nak jadi presiden sahaja. Bila seronok dia buka parti, semakin lama semakin banyak parti jadi lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsung, semua parti kecil-kecil sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berkata cukuplah sekadar empat parti Melayu yang ada ketika ini iaitu UMNO, PAS, Bersatu dan Amanah yang boleh disertai mereka.

"Kalau anda nak sertai UMNO, sertailah; nak sertai PAS, boleh, tapi tapi tak payah la buat parti baru lagi, dah banyak," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menolak pelawaannya supaya orang Melayu menyertai Bersatu, beliau berkata: "Presiden tolaklah, yang lain masuk. Presiden (UMNO) nak masuk pun kita tak bagi."

Dr Mahathir turut berseloroh apabila mengulas mengenai laporan bahawa beliau akan diserang oleh pemimpin PH pada mesyuarat hari ini berikutan pelawaannya: "Rakan-rakan saya tidak dapati saya bersalah dan tidak sebat saya tadi."

Dr Mahathir juga berkata tiada masalah dalam kerjasama antara empat parti komponen PH walaupun mungkin terdapat masalah dalam parti masing-masing.

Menurutnya, ahli Kabinet sekarang terdiri daripada semua parti komponen PH dan turut disertai Parti Warisan Sabah walaupun ia tidak menyertai PH.

"Setakat ini lima buah parti ini dapat membuat keputusan dalam Kabinet, kita tidaklah baling botol ke, pukul orang ke, itu berlaku di negara lain. Di Malaysia, kita amat bersopan. Secara umumnya kabinet boleh berfungsi, itu yang sebaiknya," katanya.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut serta pada sidang media itu, juga ditanya mengenai kebimbangan penganalisis terhadap kesinambungan polisi kerajaan setelah beliau mengambil alih jawatan perdana menteri.

Apabila Anwar secara ringkas berkata "Tun (Dr Mahathir) bertindak berdasarkan kepada dasar-dasar PH dan saya adalah ahli dalam PH”, ia mengundang reaksi Dr Mahathir yang berseloroh: "Ahli PH mesti ikut ketua. Tak ikut, kita belasah."

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat itu bersetuju supaya sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana kerajaan dapat melaksanakan janji-janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas yang masih belum tertunai.

"Kita sebenarnya dah laksanakan banyak janji-janji kita tapi kita tak pandai untuk promosi atau maklumkan kepada rakyat mengenai kejayaan-kejayaan kita bukan sahaja mengikut manifesto, tetapi juga yang tidak dijanjikan dalam manifesto," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat itu turut bersetuju supaya penglibatan penjawat awam dalam politik akan dikaji semula.

"Perkhidmatan awam ada perkhidmatan yang profesional, sekiranya ia dikaitkan dengan mana-mana parti politik, ia tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya dengan baik. Mereka (penjawat awam) perlu menjadi neutral, jadi faktor ini akan dikaji sama ada antara mereka ini ada yang boleh menyertai (parti politik),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata PH akan mengadakan karnival Harapan Rakyat di setiap negeri tanpa menyatakan butiran lanjut berkaitan karnival itu.

-- BERNAMA