Ahad, September 04, 2016

UMNO KEMAMAN GUNA BUKU MESYUARAT SECARA PAPERLESS PERTAMA DI MALAYSIA

KEMAMAN, 3 Sept (Bernama) -- UMNO Kemaman menjadi Bahagian pertama dalam parti itu yang menggunakan kaedah 'paperless' atau menerusi pendekatan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam mengedar buku mesyuarat kepada perwakilannya bermula hari ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad berkata, pihaknya hanya mengambil masa sebulan untuk membangunkan sistem 'paperless' atau I-Book dengan kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Beliau berkata bagi mendapatkan I-Book itu, perwakilan boleh memperolehnya menerusi e-mel; memuat turun daripada aplikasi whatsApp, laman web dan Facebook UMNO Kemaman serta memuat turun melalui QR code yang diletakkan di belakang tag nama perwakilan atau di lokasi persidangan.