Sabtu, Ogos 30, 2014

CADANGAN IDRIS HARON ADA WOW FAKTOR KATA AHMAD MASLAN

MELAKA, 30 Ogos (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Melaka akan mencadangkan penubuhan cawangan Umno Maya yang disasar kepada golongan muda dan kumpulan profesional bagi menarik mereka ke dalam perjuangan parti serta mengundi Barisan Nasional (BN). Ketua Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga Ketua Menteri, berkata penubuhan cawangan itu adalah bersyarat iaitu memiliki sekurang-kurangnya 100 ahli dan mereka dikehendaki memberi jaminan akan mengundi BN pada pilihan raya umum. "Kita menyasarkan keahlian cawangan itu terdiri daripada pelajar kolej dan universiti yang layak mengundi, yang tidak dapat memasuki satu-satu cawangan secara fizikal kerana sesuatu sebab tertentu. "Mereka dibenar menubuhkan cawangan maya itu kerana terdapat cawangan yang ada mempunyai 'pintu', ini tak boleh, esok nak lawan aku, jadi mereka ini akan kecewa. "Kita tidak mahu mereka yang kecewa tidak dapat menganggotai cawangan akan beralih menyokong parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di Dewan Kompleks Penjara Sungai Udang hari ini, yang dirasmikan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan. Turut hadir bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Sementara itu, Ahmad berkata cadangan penubuhan cawangan Umno Maya akan diperhalusi daripada aspek kebaikan dan keburukan selepas Umno Melaka menghantar permohonan bertulis. "Secara peribadi, (saya berpendapat) cadangan ini mempunyai faktor 'wow' untuk membantu parti dan kerajaan," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata anggota Umno berdiri teguh bersama-sama Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Najib. "Tugas saya sebagai Ketua Penerangan ialah menjelaskan perkara-perkara yang ditegur oleh Tun Dr Mahathir, dan penjelasan perlu dibuat tanpa kita memburukkan beliau yang kita amat-amat hormati sebagai negarawan negara," katanya. Antara isu yang dibangkit bekas perdana menteri itu ialah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). -- BERNAMA NO NO SBB