Sabtu, Julai 21, 2018

AHLI PARLIMEN JENIS APA NI, TONY PUA

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen jenis apa ni, tanya ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman kepada ahli parlimen Damansara, Tony Pua.

Katanya, ahli parlimen DAP itu ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat Khamis lalu menuduh Umno menerima wang 1MDB.

"Saya bangun mencelah tanya apa buktinya Umno terima wang 1MDB. Beliau jawab rujuk kepada Malaysiakini," jelas bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani kepada MH Online di luar Dewan Rakyat.

Tajuddin menambah takkan laporan Malaysiakini boleh dijadikan bukti.

Beliau juga mencelah apabila Tony Pua mengatakan kos LRT3 meningkat RM16 billion sedangkan bekas ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengatakan kos sebenar RM9 billion dan belum ditender.

"Saya bertanya siapa yang cakap bohong. Kalau Najib cakap bohong buatlah usul di parlimen bahawa ahli parlimen Pekan telah mengelirukan ahli Dewan Rakyat tetapi Tony Pua tak berani bawa usul," jelas beliau lagi.

Tajuddin berkata ahli parlimen DAP membuat tuduhan  tanpa bukti dan menggunakan Dewan Rakyat untuk bercakap kerana apa yang dicakap di Dewan Rakyat tak boleh disaman kecuali beliau ungkitkan perkara tersebut di luar Dewan Rakyat.

BANGSA MELAYU AKAN JADI DINOSAUR JIKA TAK BERANI BERUBAH MINDA

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Bangsa Melayu perlu berani melakukan perubahan minda secara radikal dalam mengharungi cabaran landskap negara yang kini telah berubah secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru dalam negara, dibimbangi akan menghadapi nasib kepupusan seperti dinosaur.

"Dinosaur mempunyai tubuh yang besar tetapi minda yang kecil, minda yang tidak berupaya melakukan pengubahsuaian selaras dengan perubahan persekitaran, memilih kekal hidup dengan habitat lama.

"Lalu populasinya mengecil dan akhirnya pupus, yang tinggal hanyalah bahan-bahan fosil dan dipamerkan di muzium dan dijadikan bahan kajian," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, malam tadi.