Selasa, Mei 31, 2016

MASTURA BUKAN NAK PERGI KUTIP BUAH KURMA



Ketua Exco Agama Pemuda PKR (AMK), Wan Ji Wan Hussin berpendapat calon BN di Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid masih boleh keluar berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), meskipun dalam tempoh idah.

Wan Ji berkata pendapat ulama yang melarang wanita yang baru kematian suami keluar rumah selama empat bulan 10 hari adalah pendapat pertama berdasarkan satu hadis nabi.

Bagaimanapun katanya, larangan itu tidak mutlak dan hadis berkenaan dibaca dalam konteks ia dibimbangi boleh membawa kepada pernikahan.

"Jika tidak membawa kepada pernikahan, ia tidak termasuk di bawah larangan tersebut," katanya

Memetik satu hadis lain, Wan Ji berkata terdapat satu kisah di zaman Nabi apabila seorang wanita yang kematian suami, dilarang keluarganya daripada keluar rumah bagi memetik buah kurma.

Namun apabila perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad, baginda membenarkan wanita itu memetik kurma walaupun masih dalam tempoh idah.

"Perbuatannya itu dimarahi oleh ahli keluarganya. Perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad dan nabi membenarkan perempuan itu keluar untuk memetik buah kurma tersebut.

“Jadi, Mastura boleh keluar berkempen tapi dengan pandangan kedua,” katanya.



Sebelum ini ulama Umno yang juga exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam Idah selepas baru kematian suami.

Oleh itu Fathul mencadangkan agar anak Mastura menjadi pengganti untuk berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini.

Menurut Fathul hukum bagi wanita yang sedang idah telah disepakati oleh ulama tentang larangan "keluar" dari rumah selama empat bulan 10 hari.

Beliau memberikan dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah yang digunakan sebagai hujah oleh para ulama dalam menetapkan hukum hakam asas bagi idah.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan sekiranya Mastura keluar berkempen, ia menuju ke arah perkahwinan.

“Saya tak setuju dengan pandangan yang ke arah perkahwinan.


“Bukan tidak boleh pakai baju warna warni sebab itu konteks zaman nabi.

"Zaman sekarang pakai baju warna-warni tak ada orang nak mengurat pun.

"Jadi kalau berkempen itu boleh sebab ikut pandangan kedua,” katanya.

Ulasan saya, Mastura bukannya mahu pergi kutip buah kurma. Maka pandangan ustaz PKR tidak perlu diberi perhatian. Bila Mastura keluar berkempen ia akan menimbulkan fitnah kerana kempen mengempen melibatkan kata mengata kepada calon lawan. Justru itu ia tidak manis bagi orang perempuan yang dalam edah. Oleh itu pendapat ulama supaya Mastura tidak keluar berkempen lebih afdal. 

Apa yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad bahawa wanita boleh pergi kutip buah kurma dalam edah maknanya wanita boleh pergi bekerja dalam edah tetapi dia hendaklah patuhi batas pergaulan sepanjang edah itu.