Khamis, Januari 05, 2017

MEMALUKAN. ADAKAH SEMUA KSU MACAM INI?

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dan menyita wang tunai serta wafer emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata berikutan itu pihaknya turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 29 tahun.

Beliau berkata lelaki itu disyaki berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor bagi pihak KSU yang berumur 59 tahun dan bergelar 'Datuk' itu.

"Kedua-dua mereka ditahan di sekitar Subang Jaya pada 8 pagi tadi," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KSU itu ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Sementara itu, menurut sumber turut dirampas daripada mereka beberapa barangan mewah termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing.

Ulasan saya, malu kita baca akhbar setiap hari SPRM menangkap jerung di agensi kerajaan seolah-olah penjawat awam berbangsa Melayu semua rasuah.

Seolah olah ia sudah jadi satu persepsi bahawa apabila orang Melayu jadi KSU maka akan terlibat dalam rasuah. Adakah jika bukan Melayu jadi KSU, tiada rasuah di kementerian berkenaan?

Kenapa KSU berani berbuat demikian? Adakah KSU itu proksi menteri? Jika seorang KSU ditangkap, apakah semua KSU macam ini belaka kaki rasuah?

Amat memalukan apabila orang Melayu jadi KSU terlibat dengan rasuah. Rasuah sudah jadi satu budaya di jabatan kerajaan. Nak suruh fail naik segera kena hulur duit kepada budak pejabat. Sampai bila budaya ini akan berterusan? Sebab itu KSN kena tegas hapuskan rasuah yang berleluasa di jabatan kerajaan.