Sabtu, April 02, 2011

TENDER RENDAH FAKTOR PROJEK TERBENGKALAI


Tender yang rendah semata-mata mahu mendapatkan kontrak tanpa memikirkan kesan jangka panjang, merupakan antara faktor projek kerajaan Persekutuan terbengkalai, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata pelaksanaan projek yang diperoleh melalui tender rendah akan berdepan masalah kewangan kerana pihak terbabit tidak lagi mampu meneruskannya.

"Akibatnya, projek itu, sama ada yang diperoleh menerusi tender secara terbuka atau diberi secara langsung, telah terbengkalai," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek skim insurans berkelompok kepada anggota Skim Rondaan Kawasan Rukun Tetangga di Kampung Pauh Lima pada Sabtu.

Mohd Hafizan Mohd Hambali, 26, yang lumpuh akibat nahas jalan raya pada pertengahan Mei tahun lepas, menerima pampasan sebanyak RM20,100 daripada Syarikat Takaful.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata antara projek terbengkalai atau sakit di Kelantan ialah pembinaan bangunan Kastam di Kota Baharu yang menelan kos antara RM12 hingga RM14 juta.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah projek terbengkalai, kerajaan tidak lagi memberi keutamaan kepada penender terendah, sebaliknya kontraktor yang membuat tawaran berpatutan dan munasabah.

Katanya, selain itu, syarat lebih ketat akan dikenakan terhadap setiap kontraktor yang ingin mendapatkan kontrak daripada kerajaan, iaitu mereka mesti memenuhi kriteria teknikal dan kewangan mencukupi bagi melaksanakan sesuatu projek.

Awang Adek berkata kerajaan juga membuat pengawasan lebih ketat dengan mewajibkan setiap menteri melawat projek yang diusahakan di bawah kementerian masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, manakala ketua setiausaha tiga kali sebulan.

"Jika berlaku sebarang masalah, mereka boleh menyelesaikannya dengan lebih cepat untuk mengelak sesuatu projek terbengkalai," katanya.