Isnin, Mac 15, 2010

JANGAN LAYAN SMS KARUT


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi melalui SMS berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said yang tersebar dengan meluas sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu melaga-lagakan Umno Perhubungan Terengganu dan menggugat keharmonian badan itu.

"Sejak saya turun ke Terengganu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendengar cerita dari kedua-dua pihak (dalam UMNO) dan pembangkang mengenai kedudukan Menteri Besar.

"Ia bukan datang dari puak-puak dalam Umno negeri, tetapi saya tidak tolak kemungkinan ia dilakukan oleh individu tertentu. Namun ia tidak akan menentukan jatuh bangunnya Umno Negeri Terengganu," katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kemaman di Chukai semalam.

Hishammuddin berkata sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, beliau hanya mengiktiraf mereka yang diterima rakyat, menjalankan kerja bersunggguh-sungguh dan menolak politik sempit seperti politik peribadi dan bahagian.

Beliau turut meminta supaya media tidak mudah terpengaruh dengan khabar-khabar angin dan SMS yang tersebar berhubung perkara itu.

"Kenapa nak percaya SMS sedangkan media berdepan dengan MB hari-hari, kalau MB meletakkan jawatan, beliau tidak akan berada bersama kita hari ini.

"Jangan terikut-ikut dengan mereka yang sengaja nak memperalatkan media dan media jangan benarkan mereka memperkudakan (media) supaya kita berlaga," katanya.

Terdahulu, Hishamuddin mengetuai kira-kira 30,000 orang daripada 405 kontinjen yang terdiri daripada badan kerajaan, swasta, NGO serta pelajar sekolah berarak sejauh tujuh kilometer itu mengelilingi Bandar Chukai.

Turut serta dalam perarakan tersebut ialah Ahmad Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Anggota Parlimen Kemaman.