Sabtu, September 05, 2009

EXCO TIDAK HORMATI TPM


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melawat Terengganu Khamis lalu. Beliau menerima sambutan hangat di Kuala Berang dan Teluk Menara, Kuala Terengganu dan beliau diiringi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.


Yang sedihnya ramai ADUN yang tidak hadir termasuk empat orang Exco. Exco dari MCA, Toh Seng Chai boleh dimaafkan kerana beliau bukan ADUN UMNO tetapi ketidakhadiran tiga orang Exco dari UMNO iaitu Datuk Mohamed Awang Tera, Khazan Che Mat dan Ashaari Idris tidak boleh dimaafkan. Kenapa mereka bertiga tidak menghormati Timbalan Perdana Menteri?


Kalaulah benar mereka bertiga kurang menyenangi Ahmad Said, sepatutnya mereka hadirlah untuk menghormati kedatangan Timbalan Perdana Menteri. Mungkin mereka bertiga ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan yang sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar.


Jika mereka tidak hadir tanpa memaklumkan kepada Menteri Besar, wajarlah Ahmad Said mengambil tindakan kepada mereka. Sebagai Exco, ketua mereka adalah Menteri Besar. Jadi mereka kena patuh arahan Menteri Besar supaya mereka hadiri majlis Timbalan Perdana Menteri.


Khabarnya Khazan paling lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Said dalam pertemuan semua ADUN dengan Pengerusi baru Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Hishamuddin terkejut kerana beliau tidak sangka dalam pertemuan itu Khazan paling lantang mengutuk Ahmad Said.


Memang pelik Khazan menghentam Ahmad Said tetapi pada masa yang sama beliau masih jadi Exco. Kalau tak setuju dengan Ahmad Said, sepatutnya Khazan letak jawatan dan bolehlah Ahmad Said lantik orang lain sebagai Exco. Nampaknya Khazan tidak berani seperti Datuk Zaid Ibrahim yang rela letak jawatan sebagai menteri apabila tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menangkap beberapa orang di bawah ISA.