Rabu, April 30, 2014

91 WARTAWAN TERKORBAN TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pemerhati daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mendapati 91 wartawan terkorban tahun lepas, manakala 24 kematian lagi direkodkan tahun ini, menurut Persatuan Wartawan Komanwel (CJA). Presidennya, Rita Payne berkata berpuluh-puluh lagi dipenjarakan atau diancam dan banyak antara mereka yang meninggal dunia dalam zon perang manakala ada juga yang terbunuh ekoran laporan mereka berkaitan jenayah atau politik. "Wartawan dipenjarakan tanpa sebab munasabah atau melalui proses sepatutnya, diserang atau dibunuh di banyak negara, malah sekalipun di negara yang mengisytihar komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar. "Usaha sah mereka untuk melaporkan perkara membabitkan kepentingan awam dan mendapatkan hak untuk memperoleh maklumat seringkali dihalang oleh kerajaan itu sendiri," kata Payne dalam satu kenyataan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia di sini hari ini. Payne berkata CJA bersuara lantang menentang keganasan dan tapisan yang dihadapi wartawan di seluruh dunia, dan menyokong kebebasan media yang dibenarkan melaksanakan tugas tanpa bimbang akan diapa-apakan atau mengalami keganasan fizikal.
"Kerajaan autoritarian terus menerus berusaha untuk menutup mulut atau memanipulasi media dengan mengancam, menakut-nakutkan atau cuba menyekat akses internet," kata Payne. Payne berkata memandangkan tapisan sendiri semakin bertambah lazim, persatuan seperti CJA boleh melaksanakan peranan penting dengan bersuara bagi pihak rakan setugas yang tidak berupaya melaksanakan hak mereka atau melindungi diri daripada gangguan. -- BERNAMA MAMA AZE ROS

Sabtu, April 26, 2014

KENAPA UNSPINNERS BABITKAN SAYA?

Konon nafi nak jawatan, tapi upah penulis hantu raya Posted by The Unspinners at 4/24/2014 Kenyataan Rakyat Malaysia "Kenyataan itu bersifat amaran terhadap Perdana Menteri dengan mengatakan, “ yang buat silap bukan Ahmad Said dan jangan pula Menteri Besar Terengganu dipersalahkan” di SINI betul-betul menjadi tandatanya. Selama ini The Unspinners mula mengenali dan memahami Dato Ahmad Said dari tulisan blognya. Seagai orang lama, susah nak baca maksud disebalik tulisan wartawan veteran tersebut. Namun tak perlu nak menegur dan mengajar blogger bagaimana nak blogging dalam media semulajadinya. Dunia blog bukan seperti dunia kewartawanan akhbar arus perdana yang banyak mengelak-ngelak dari berterus terang. Tentu apa yang kami katakan kepada Dato Najib adalah sesuatu yang lazim diperkatakan sana sini tapi wartawan takut nak sebut secara terbuka. Apabila wartawan nak tersurat dan tersirat sangat, mesej tak sampai dan pucuk kepimpinan tak dapat feedback yang sebenar. Itu antara sebab tak ramai wartawan yang efektif dalam dunia siber dan sosial media. Namun begitu jika dunia wartawan itu begitu hebat, kenapa tak ditegur Mingguan Malaysia yang melambung Mat Said? Kenapa pula Utusan nak mendahului Najib lebbih dahulu dari blogger? Ada apa-apa ke? Sementang Mingguan cekap melambung orang tanpa sebut nama, tak perlu naif dan buat tak faham apa yang dituju. Mana-mana orang cerdik seperti berikut boleh tangkap maksud salah satu yang dituju: Mana-mana orang juga boleh tangkap dan tak sebodoh untuk terima bulat-bulat penafian seorang ahli politik. Lagi pula bila ada ahli polittik dari keluarga politik yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai cita-cita dan cita rasa sendiri. Bagi yang ada akses dan rangkaian, tak susah untuk menyedari akan langkah pihak-pihak tertentu yang telah menganalisa dan mengatur gerak langkah dari selepas PRU13. UMNO memang lembab untuk bergerak menghadapi pembangkang tapi cekap dan halus untuk menerkam sesama sendiri. Walaupun ada pihak baling batu sorok tangan, tak susah untuk membaca modus operandi biasa yang menggunakan bekas wartawan akbar nyamuk dan penulis buku politik yang dah tak laku dan kini menyambung penghidupan sebagai hantu raya. Sepanjang penceburan sekejap di dunia siber yang tak membawa impak pun, isu yang sering ditimbulkan pun sering berupa cerita-cerita politik hantu raya dan kedai kopi. Dari situ kita dah pickup dia pernah jadi AJK sesuatu Bahagian di satu masa. Tentulah ada suka duka, sayang bencinya. Untuk menutup tapak dan gerak langkah, maka standard diguna portal berita pihak pembangkang yang mana salah seorang wartawan adalah bekas akhbar perdana dan dari terengganu.. Takkan pihak pembangkang boleh tulis bersiri-siri dengan pelbagai angle untuk lambung Mat Said. Malah kami tahu siapa yang tulis artikel untuk portal pembangkang bertajuk "xxx ganti Mat Said" dan di forward ke rakan FB untuk jadi tukang sebar. Bukan seorang operator FB mereka. Dengan disensasikan, cepat khabar angin menjadi viral. Lebih laju dari zaman tulis surat berantai yang perlu belanja duit fotostat dan stem.. Seperti kami kat aianya hantu raya, orang yang sama nak goyang pokok untuk ugut Mat Said mungkin juga orang sama yang menyerang Ahmad Shaberry Cheek menggunakan poster ini. Bunyi macam serangan pembangkang tapi sebenarnya kawan sendiri. Tak payahlah nak bermugkin. Memang pun. Oleh itu, jangan hairan dari Bahagian yang sama. Game ini senang dibaca kerana tujuannya adalah untuk dapatkan bayaran samada dari mangsa yang disasarkan atau tukang upah. Mungkin sekali ada tukang biayai supaya lebih berkesan. Sering kali juga, tukang biayai ditinggalkan jika mangsa lebih pemurah. Ini adalah game yang sama yang diguna pakai penulis politik. Begitulah rasminya penulis politik yang pemahaman polisi, ekonomi, sosial dan sains politik amat cetik sekali. Politik yang difahami hanya seni berpoliticking tanpa pengisian. Tak apa lah ... Kali ini kita berkias tapi lain kali kita balik jadi blogger dan berterus terang. Pendik kata, semua maklumat dah kami ketahui.... siapa YBnya, siapa ahli keluarga, siapa wartawan yang diguna, penyebar FBnya dan pemimpin tempatan yang terlibat. Tak ada kena mengena Dato Idris Jusoh kerana ada yang terlibat pun pernah kena drop oleh Idris... hanya hantu raya. Bila tulis bukan main hebat menggunakan perkataan perjuangan, hai ...ni bukan caranya nak pertahankan BN. Sepatutnya kurangkan tikam menikam dan lebih sepakat, muzakarah dan konsensus. INi nak ambil peluang menyalahkan seseorang padahal bukan salah dia. Sah ini serupa nak bantu PAS ambilalih Terengganu saja mereka ni.

Isnin, April 21, 2014

SYED ROSLI KATA UMNO YANG PATUT LAKSANAKAN HUDUD

Bekas calon Ketua Pemuda 2013, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail berkata kenapa ada umat Islam di Malaysia ini mahu salahkan dan mengeji mnediang Karpal Singh kerana waktu hidup beliau menolak Hudud dan negara Islam sedangkan yang berkuasa adalah sebuah parti UMNO yang ahli dan pemimpin - pemimpin nya beragama Islam sendiri gagal melaksanakan Hudud. Katanya, apa sahaja alasan yang cuba diberi oleh Umno memang tidak masuk akal. "Di dalam Pelembagaan Negara sendiri telah nyatakan secara terangan bahawa agama rasmi negara Malaysia adalah Islam.Didalam Perlembagaan parti UMNO sendiri juga ada nyatakan bahawa UMNO akan pertahankan dan laksanakan Islam," katanya, Beliau bertanya jadi kenapa UMNO perlu takut untuk melaksanakan Hudud?. "Hudud adalah sebahagian Islam dan kita sebagai umat Islam wajib terima Hudud sebagai sistem perundangan Islam di negara ini," katanya, Seperti juga PAS yang beliau lihat hanya lebih pada sandiwara gunakan Islam sebagai perjuangan parti tetapi masih gagal berjuang untuk laksanakan Hudud dan sering persalahkan Umno sedangkan mereka sendiri takut pada bayangan DAP. "Saya ingin tegaskan di sini bahawa kedua parti UMNO dan PAS perlu ikhlas berjuang dalam per laksanakan hukum Hudud kerana ini adalah hukum Allah SWT didalam Al Quran.Tiada alasan untuk tidak laksanakan," katanya lagi.

Isnin, April 14, 2014

WARTAWAN SUDAH DIBELI OLEH SETIAUSAHA AKHBAR KHALID?

Memang menarik apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk menentang ahli parlimen Gombak, Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, tiba-tiba timbul isu perempuan simpanan MB dalam Free Malaysia Today. Sila baca http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/04/08/bekas-perempuan-simpanan-mb-tuntut-rm3-juta/ Kononnya pihak Azmin Ali telah membocorkan kes ini kepada FMT. Malah banyak blog telah mengaitkan Khalid dengan bekas perempuan simpanan MB. Walaupun FMT tidak menyebut siapa MB berkenaan, tiba-tiba nama Khalid disebut-sebut orang. Jumaat lepas wartawan menyerbu Khalid untuk menjawab persoalan yang berlegar dalam Facebook dan blog mengenai isu tersebut. Khalid menjawab, “saya tidak tahu menahu”. Tiba-tiba setiausaha akhbar MB panggil semua wartawan supaya jangan siar berita itu jika tidak MB akan saman. Peliknya dia yang buat penafian, dia ugut nak saman wartawan pulak. Inilah setiausaha akhbar MB yang hebat buat kerja boleh ugut suratkhabar pula. Atau adakah Khalid sudah beli wartawan yang buat liputan tersebut? Saya berharap setiausaha akhbar MB dapat menjawab soalan ini, berapa banyak dia bayar wartawan supaya tidak menyiarkan berita penafian MB itu.

Khamis, April 03, 2014

TERENGGANU MASIH BERUNDING BELI DUA AMPHICOACH

KUALA TERENGGANU, 3 April (Bernama) -- Proses pembelian dua buah bas ‘amphicoach’ (bas amfibia) yang boleh bergerak di atas air masih dalam peringkat rundingan untuk menetapkan harga dan spesifikasi mengikut kehendak kerajaan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee. "Pada dasarnya, memang kita bersetuju dengan pembelian ini kerana kenderaan ini mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat. "Selain untuk tujuan pelancongan, ia juga akan digerakkan pada musim tengkujuh kerana biasanya pengangkutan darat yang lain mengalami kesukaran kerana laluan terputus hubungan akibat banjir besar seperti yang berlaku di Kemaman tahun lalu," katanya pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu di sini hari ini. Sehingga kini hanya terdapat 12 amphicoach di seluruh dunia kerana kilang kenderaan buatan Malta ini tidak bersifat komersil sebaliknya hanya menyiapkan amphicoach berdasarkan tempahan khas. Beliau berkata kenderaan yang berharga 650,000 euro atau kira-kira RM3 juta (harga kilang) setiap satu itu akan melonjakkan lagi sektor pelancongan Terengganu di mata dunia kerana ia menampilkan keunikan tersendiri buat pelancong terutama di Asia Tenggara. "Setakat ini, kita mahu amphicoach itu memuatkan 50 penumpang dengan kelajuan lapan knot di dalam air. Apabila kita sudah membuat pengesahan tempahan, ia dijangka siap dalam tempoh lapan bulan. "Ia dijangka boleh digunakan bermula musim tengkujuh tahun depan bagi kemudahan memindahkan mangsa banjir di negeri ini setiap kali bencana melanda," kata Mohd Jidin. Mengikut perancangan awal, amphicoach akan digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyelusuri Sungai Terengganu. -- BERNAMA KAK AZM HM