Selasa, Julai 27, 2010

SPR YANG BOLEH TENTUKAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pilihan raya umum diadakan serentak di seluruh negara atau berasingan bagi negeri-negeri yang di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, terpulanglah kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut berdasarkan keadaan kewangannya.

"Sama ada SPR beranggapan untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan lebih baik atau tidak sesuai dengan keadaan kewangannya, terpulang kepada mereka.
"Bukan kita (kerajaan) yang tentukan perkara ini secara mutlak. Soal berkaitan pilihan raya terserah kepada SPR," katanya pada sidang media selepas bersarapan dengan wartawan Malaysia di sini, yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Korea Selatan bermula semalam hingga Khamis ini.

Mengulas laporan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, selaku Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa parti pembangkang itu tidak akan bertanding jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, walaupun kerajaan boleh membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum, namun SPR, sebagai sebuah badan yang bebas, mempunyai kuasa untuk menetapkan hari pengundian.

Katanya, sekiranya negeri-negeri pakatan pembangkang berpendapat pilihan raya berasingan perlu dilakukan, jika ia diadakan dalam tempoh terdekat ini, itu adalah pandangan mereka.
"Jika negeri-negeri berkenaan enggan mengadakan pilihan raya secara serentak di seluruh negara berikutan masalah dalaman yang melanda parti-parti pembangkang, itu adalah masalah mereka.

"Bagi Barisan Nasional (BN), kita mempunyai pengalaman yang lebih lama dalam menghadapi pilihan raya dan faham mengenai perjalanannya," katanya

GURU DG41 HINGGA DG48 BOLEH BERPOLITIK


Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

APA JASA SAMSUDIN KEPADA UMT?


Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang pertama berkuatkuasa 1 Februari tahun ini.

Pelantikan beliau telah diperkenankan Canselor UMT, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, pada majlis Konvokesyen Kali Kelapan yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT semalam.

Shamsuddin, 63, yang juga presiden Perbadanan Putrajaya, akan memegang jawatan tersebut sehingga 31 Januari 2013.

Pelik juga kenapa UMT lantik bekas KSN sebagai Pro Chanselor UMT? Apa jasa beliau kepada UMT? Lebih baik lantik bekas SUK Terengganu, Datuk Mokhtar Nong sebagai Pro chanselor sedangkan dia anak terengganu sedangkan Samsudin orang luar.

UMT atau nama lamanya KUSTEM sekurang-kurangnya ada juga berurusan dengan kerajaan negeri. Jadi apa salahnya lantik bekas SUK sebagai pro chanselor? saya sendiri tak tahu apa kriteria yang dibuat oleh Kementerian pengajian Tinggi dalam perlantikan Pro chenselor sesebuah universiti. kalau samsuddin jadi pro chenselor Universiti Malaysia sabah UMS) lojiklah, kerana beliau pernah jadi Pegawai Pembangunan Persekutuan di Sabah pada tahun 1990 dahulu.