Ahad, November 29, 2009

PIALA MONSUN CAPAI MATLAMAT?


Kejohanan Piala Monsun yang kini menjadi ciri utama Pulau Duyong, di sini, dilihat berjaya mencapai matlamatnya terutama dalam memperkenalkan Terengganu sebagai lokasi sukan pelayaran antara yang berprestij di dunia.

Walaupun 'kejayaan' yang dimaksudkan sukar diterjemah dalam bentuk data atau statistik, tidak dinafikan sejak ia dimulakan pada 2004, pelbagai sektor di negeri pantai timur itu menerima manfaatnya sama ada secara langsung atau tidak.

Paling ketara, industri pelancongan Terengganu semakin pesat dan pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri, berkunjung ke negeri itu hampir sepanjang masa.

Pengarah Piala Monsun, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata matlamat tersirat telah dicapai, antaranya memecahkan halangan psikologi yang menganggap Terengganu hanya sesuai dikunjungi pada musim-musim tertentu sahaja.

"Rekod penginapan di hotel umpamanya menunjukkan sebelum penganjuran sukan ini, kedatangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negeri pada musim monsun sangat berkurangan. Tiada siapa berminat datang melancong ke Terengganu pada musim tengkujuh.

"Namun, sejak Piala Monsun diperkenalkan, hotel-hotel turut menerima tempahan memberangsangkan. Untuk tahun ini, saya diberitahu kebanyakan hotel di bandar telah pun menerima tempahan penuh," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Begitu juga daripada segi ekonomi, Wan Hisham berkata memang ada petunjuk menandakan peningkatan dalam sektor itu sekalipun pernah dikatakan penganjuran Piala Monsun merugikan kerajaan negeri selain tidak memberi sebarang manfaat kepada penduduk tempatan.

Katanya Menteri Besar Datuk Ahmad Said pernah mengakui kerajaan negeri mendapat keuntungan daripada segi nilai pengiklanan apabila kejohanan disaksikan lebih 1.2 bilion penonton di seluruh dunia.

Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan penganjuran kejohanan itu turut menjana pelaburan jangka panjang bagi membantu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut Idris, beberapa tahun lalu, sebuah syarikat dari Belanda, Conoship International B.V melabur RM1 bilion bagi membina 20 unit kapal persiaran mewah bagi pasaran Eropah di Terengganu.

Mengulas lanjut, Wan Hisham berkata bazar yang diwujudkan setiap kali acara itu diadakan juga memberi pulangan lumayan kepada peniaga tempatan.

"Ada penjual menjual kuih tradisional, buah rotan berperisa coklat dan strawberi meraih jualan RM1,000 sehari sepanjang kejohanan ini. Dua tahun lalu, ada seorang pelanggan yang datang untuk menonton kejohanan ini di Pulau Duyong.

"Ketika dibawa ke sebuah kedai songket, beliau membelanjakan RM200,000 untuk membeli songket Terengganu, ini benar-benar berlaku. Jika ingin dilihat dalam bentuk statistik, sukar kita beri, tapi itulah antara manfaat yang turut diterima rakyat negeri ini," katanya.

Selain itu, produk tradisional Terengganu seperti keropok sira, baulu rangup, apit-apit, rempeyek, dodol daun palas, putu kacang, coklat manisan serta air dan aiskrim nira nipah semakin mendapat perhatian di kalangan pengunjung termasuk di peringkat antarabangsa.

"Sepanjang musim tengkujuh yang menyaksikan rezeki segelintir penduduk seperti nelayan sedikit terjejas, peluang kembali terbuka jika mereka tahu memanfaatkan kelebihan yang dibawa sukan ini, selagi ia masih ada di sini," katanya.

Mengikut perjanjian yang dicapai antara penganjur kejohanan itu, T-Best Events, dengan Kejohanan Kapal Layar Jelajah WMRT, Piala Monsun yang menjadi acara tahunan sejak lima tahun lalu perlu diadakan sehingga 2012.

"Sebab itu kita benar-benar berharap kontrak dilanjutkan selepas 2012 nanti dan acara ini akan terus dilangsungkan di Pulau Duyong untuk kepentingan penduduk di negeri ini," katanya.

Jika sebelum ini sukan layar agak asing kepada penduduk negara ini, apatah lagi kepada penduduk di kawasan pantai timur, ia kini semakin mendapat perhatian dan digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya pada peringkat awal pengenalannya, hanya ada empat pasukan tempatan menyertai kejohanan itu, namun kini jumlahnya semakin meningkat dan untuk tahun ini ada 13 pasukan tempatan bertanding dalam Malaysian Match Racing Championship (MMRC).

MMRC diperkenalkan sebagai kejohanan kelayakan bagi kejohanan Piala Monsun bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai perlumbaan kapal layar di peringkat tertinggi. Satu lagi kejohanan kelayakan ialah Asian Match Racing Challenge (AMRC).

"Hasrat untuk melihat penyertaan lebih ramai anak tempatan dalam sukan layar juga semakin menjadi kenyataan dengan penyertaan banyak pasukan baru tempatan saban tahun.

"Diberi sedikit masa, tidak mustahil sukan ini akan jadi sukan yang akan mengharumkan nama negara setanding sukan-sukan lain dan memiliki pengikut dan peminat sendiri," katanya.

Katanya perkembangan sukan itu jelas kelihatan dengan mutu yang ditunjukkan semakin meningkat, malah jumlah hadiah yang ditawarkan bertambah dari tahun ke tahun.

Penasihat lumba Piala Monsoon Datuk Peter Gilmour berkata Piala Monsun 2009 yang bakal berlangsung dari 1 hingga 6 Dis ini akan menawarkan hadiah paling lumayan dalam mana-mana acara sukan layar dunia, menjangkau jumlah USD454,000 (RM1.57 juta).

Katanya peningkatan jumlah hadiah itu adalah hasil sokongan penaja utama Piala Monsun, yang merupakan peringkat perlumbaan pusingan akhir World Match Racing Tour (WMRT).

Namun apa yang lebih penting, katanya Piala Monsun menandakan peringkat akhir WMRT dengan pemenang dinobat takhta gelaran juara dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

WMRT adalah siri pelayaran profesional berprestij yang menampilkan sembilan acara kejohanan di seluruh dunia dan ia diiktiraf oleh Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF)dengan status "Acara Istimewa", di samping perlumbaan seumpamanya yang termasuk America's Cup dan Volvo Ocean Race.

Kejohanan kali ini sekali lagi akan menampilkan pelayar antarabangsa, antaranya Adam Minoprio dari New Zealand, Ian Williams (Britain) dan Torvar Mirsky (Australia).