Khamis, Januari 12, 2012

KAYVEAS TIADA DALAM SENARAI CALON


Nama Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas tidak terdapat dalam senarai bakal calon parti itu untuk pilihan raya umum ke-13 nanti yang dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama Rabu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada bertanding atau tidak kepada Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

"PPP memang telah menghantar senarai nama calon yang berpotensi untuk bertanding dalam PRU ke-13 nanti dan nama saya tidak terdapat dalam senarai itu walaupun ahli parti mahukan saya bertanding semula. Biarlah Datuk Seri Najib putuskan sama ada saya bertanding atau tidak.

"Saya mengambil pendirian itu kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang telah berjasa lama. Mereka telah memberi sumbangan besar kepada parti dan masyarakat. Jadi pemimpin-pemimpin itu perlu diberi peluang. Mereka perlu menang dan menguatkan BN," katanya.

PPP telah mengemukakan hasrat bertanding di empat kawasan Parlimen dan 12 kawasan Dewan Undangan Negeri kepada Najib.

Pada pilihan raya umum lalu, PPP diperuntukkan dua kerusi di Perak iaitu kawasan Parlimen Taiping dan kawasan DUN Pasir Bedamar.

Di Taiping, Kayveas tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming dengan 11,298 undi manakala bagi kerusi Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada Seah Leong Peng daripada DAP dengan 7,914 undi.

Kayveas, yang menjadi Presiden PPP sejak 1993, juga berkata beliau akan melepaskan jawatan itu kepada Naib Presiden Kanan yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin D'Cruz sekiranya beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum nanti.

"Kalau saya tidak bertanding dalam PRU ke-13, selepas pilihan raya nanti saya akan melepaskan jawatan presiden. Biarlah pemimpin baru menerajui PPP. Saya boleh menjadi penasihat parti," katanya.

PPP yang ditubuhkan pada 1953 pada asalnya merupakan parti pembangkang sehingga ia menyertai BN pada 1974.

Parti itu kini mempunyai 500,000 orang ahli di 3,000 cawangan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada November 2006, Kayveas mencadangkan PPP dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bergabung tetapi ia tidak menjadi realiti.