Selasa, Februari 25, 2014

GHAZALI CADANG KERAJAAN GUBAL AKTA BARU ELAK HINA ISLAM

AKTA-ISLAM HULU TERENGGANU, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu mewujudkan satu akta baharu bagi mengekang tindakan pihak tertentu menghina agama Islam melalui laman sosial. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata perkara itu perlu dibincangkan di Parlimen untuk menggubal akta berkenaan bagi membendung tindakan itu. "Kita berharap kepimpinan peringkat tertinggi negara dapat memikirkan kaedah bagi menangani perkara itu daripada terus berleluasa," katanya ketika mengulas tindakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara di sini yang mencabar dan menghina kesucian agama Islam melalui laman sosial. Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil kesal dengan apa yang berlaku sehingga ada yang sanggup menggunakan teknologi maklumat dan menyelitkannya dengan unsur negatif sedemikian. Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu kawasan tadahan air di Ajil bagi mengelak kejadian banjir yang sering melanda kawasan itu terutama di musim tengkujuh. "Ajil yang terletak di kawasan Hulu Terengganu memang menerima hujan yang banyak setiap tahun. Jadi saya cadangkan supaya satu kawasan tadahan air diwujudkan di situ kerana saya bimbang banjir akan terus berlaku sekiranya kawasan yang sedang dibangunkan itu tidak mempunyai sistem saliran air yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan bantuan banjir bagi kawasan itu. Di majlis itu, 355 keluarga yang terlibat dengan banjir masing-masing menerima bantuan RM500 setiap keluarga melibatkan peruntukan keseluruhan RM177,500. -- BERNAMA