Selasa, Oktober 17, 2017

CEUPACS MAHU BONUS SATU SETENGAH BULAN GAJI

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bonus satu setengah bulan gaji, elaun bandar raya dan kad diskaun pengangkutan awam merupakan antara tuntutan Cuepacs untuk Bajet 2018 yang bakal dibentangkan 27 Okt ini.


Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata selain bonus, cadangan dua inisiatif baharu itu penting untuk dipertimbangkan selaras dengan kenaikan pelbagai kos yang dihadapi penjawat awam yang tinggal di bandar raya.

"Tentang bonus, kami tidak mahu lagi bantuan kewangan RM500, telah sampai masanya kerajaan bayar bonus satu setengah bulan gaji kepada penjawat awam.

"Bagi pemberian rebat penggunaan pengangkutan awam, Cuepacs mencadangkan kad diskaun kepada penjawat awam dan pesara kerajaan apabila menggunakan pengangkutan awam mulai Januari 2018," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini hari ini.

Azih berkata bagi pengenalan elaun bandar raya terutama kepada penjawat awam yang tinggal di kawasan berstatus bandar raya, Cuepacs mencadangkan bayaran RM300 sebulan bagi golongan ini menghadapi kos hidup di bandar raya.

Selain itu Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula Elaun Tetap Khidmat Awam untuk gred terendah sebanyak RM95 sekarang kepada kadar minimum RM180 sebulan.

"Untuk gred lebih tinggi pula boleh diselaraskan mengikut kelayakan. Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu elaun ini tidak pernah disemak walaupun penjawat awam terpaksa berhadapan dengan beban sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Cuepacs turut meminta pertimbangan kerajaan menganugerahkan dua kenaikan gaji tahunan kepada semua penjawat awam.

Azih berkata ini bagi menghargai sumbangan yang diberikan anggota perkhidmatan awam dan mengambil kira kerugian yang dialami mereka semasa pelaksanaan Sistem Saraan Baharu (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) serta menampung kenaikan kos sara hidup.

Selain itu Cuepacs turut mencadangkan kenaikan pangkat secara time based (berdasarkan tempoh berkhidmat) kali kedua untuk penjawat awam gred kanan.

Azih berkata kenaikan time based kali pertama juga perlu dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun manakala kenaikan time based kali dua selepas lapan tahun.

Bagi memastikan penjawat awam menikmati kemudahan daripada pelbagai jenis cukai yang dibayar, Cuepacs mencadangkan kadar pelepasan cukai pendapatan lebih tinggi kepada golongan ini.

Antara cadangan berkenaan ialah kenaikan kadar pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM18,000, isteri dan anak daripada RM4,000 kepada RM9,000, kadar pelepasan cukai untuk anak bawah 18 tahun dinaikkan kepada 21 tahun dengan kadar pelepasan RM2,000 dinaikkan kepada RM4,000.

Selain itu, bagi tanggungan ibu bapa, diberi pelepasan sehingga RM5,000 dan untuk pelepasan kos perubatan ibu bapa diberi kenaikan daripada RM5,000 kepada RM9,000 selain cadangan pembelian insurans nyawa diberi kenaikan daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Sementara itu, Azih berkata perumahan tetap menjadi isu utama apabila masih ramai penjawat awam belum mampu memiliki rumah sendiri walaupun kerajaan memperkenalkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

"Oleh itu Cuepacs mencadangkan agar kadar faedah pinjaman daripada Lembaga Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dikurangkan daripada empat peratus kepada hanya satu peratus.

"Cuepacs juga memohon pertimbangan kerajaan supaya memperuntukkan pembinaan rumah kepada penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan membina rumah pada harga RM90,000 hingga RM150,000," katanya.

Azih berkata Cuepacs turut mencadangkan semua penjawat awam diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggantikan skim ex-gratia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata memorandum tuntutan kali ini telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal Ogos lalu.

"Kami difahamkan ia sedang dipertimbangkan dan amat berharap semua tuntutan ini dapat dipenuhi dalam Bajet kali ini demi kesejahteraan penjawat awam negara ini.

"Cuepacs percaya kerajaan tidak akan sekali-kali melupakan golongan penjawat awam dan sentiasa memastikan keperluan golongan ini dipenuhi," katanya.

-- BERNAMA