Isnin, November 30, 2015

KEMBALIKAN UMNO KEPADA RAKYAT

Shahbudin Haji Embun

Kembalikan UMNO kepada rakyat kerana rakyat yang akan menentukan masa depan UMNO. Dan sejarah lampau tentang kehebatan UMNO hanya akan  tinggal catatan sejarah jika ahli-ahli UMNO masih terus berkhayal dan berbangga dengan kehebatan UMNO.

Hakikatnya sekarang ialah UMNO kini berhadapan dengan ujian kepercayaan di kalangan rakyat Malaysia.Ahli-ahli UMNO perlu diingatkan bahawa hakikat ini merupakan sesuatu yang membimbangkan jika  isu ini tidak dikendalikan dengan baik dan bijaksana.

Memang mudah untuk menafikan kenyataan ini, namun pada masa yang sama, ahli-ahli UMNO perlu juga berdepan dengan realiti dan tidak boleh selama-lamanya bergantung pada sindrom penafian. Perhatikan sahaja  keberanian generasi muda hari ini yang begitu selesa mencerca dan mengeji UMNO melalui media sosial yang merupakan saluran utama generasi hari ini memperolehi maklumat.

Apa yang pasti ,sebahagian besar generasi hari ini tidak faham dengan sejarah dan sentimen perjuangan UMNO. Perlukah kita menyalahkan mereka 100 peratus? Atau perlukah kita terus menafikan hakikat ini dan menyatakan dengan yakinnya bahawa  generasi hari ini telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO.

Apa yang ingin dinyatakan dalam rencana ini  adalah berkait dengan  kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn semasa berucap dalam Konvensyen Pemerkasaan Ummah yang diadakan baru-baru ini, bahawa ahli-ahli UMNO semestinya tidak boleh berterusan dengan sindrom penafian.

“Realitinya biar sekental mana pun ikrar dan sokongan kita kepada pemimpin parti, kepada Majlis Tertinggi atau Perwakilan tetapi jika rakyat tolak kita maka UMNO tetap akan tewas”.Itulah yang dijelaskan Hishammuddin yang begitu prihatin dan bimbang dengan survival perjuangan UMNO.

Apa yang dijelaskan oleh Hishammuddin menggambarkan betapa pentingnya sokongan yang padu daripada rakyat kepada UMNO.Dengan kata-kata yang lebih mudah, UMNO akan terpinggir, bahkan tersungkur jika rakyat menolak UMNO. Dan ini adalah realiti yang harus difahami oleh seluruh ahli UMNO.

Menurut Hishammuddin lagi , semua krisis yang sedang dihadapi oleh Umno mesti diselesaikan dengan penyelesaian Selain itu, seluruh pemimpin dan ahli UMNO perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab yang lebih berat untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara.

Sememangnya UMNO sedang berdepan dengan ujian yang amat getir dan itu sebabnya Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi sering mengingatkan tentang betapa pentingnya perpaduan dan solidariti dalam UMNO.

Najib sendiri pernah menegaskan betapa pentingnya isu ini  semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014 ,bahawa setiap pihak perlu memastikan kelangsungan solidariti kerana ia merupakan aset terpenting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.

"Ini satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival UMNO, BN dan negara tercinta,"Jelas Najib  lagi.

Pendapat  Presiden UMNO ini juga sering diulangi oleh Zahid Hamidi yang pernah menegaskan dan mengingatkan ahli –ahli UMNO tentang betapa pentingnya perpaduan dalam UMNO kerana perpecahan di dalam parti itu lebih mudah dilakukan dari dalam berbanding dari luar.


Itu sebabnya juga Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2015 yang dianjurkan UMNO baru-baru ini merupakan satu usaha yang akan mencetuskan kembali semangat serta gerakan kesedaran ahli-ahli UMNO khasnya.

Konvensyen yang merupakan hasil cetusan idea Hishammuddin Hussein diharapkan dapat membuka ruang kepada kumpulan berkepentingan untuk membahaskan pelbagai isu serta akan menjadi platform terbaik untuk ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia sendiri menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang perlu diberi perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Daripada konvensyen itu, sebanyak empat kluster dipecahkan iaitu agama, ekonomi, pendidikan dan wanita. Inilah isu-isu yang akan sentiasa  menjadi perhatian dan dibahaskan semasa perhimpunan Agung UMNO nanti . Dalam hal ini, Hishammuddin
juga memberi jaminan bahawa usul-usul yang penting akan diangkat semasa Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan diadakan pada bulan Disember ini.

Peluang untuk membahaskan isu-isu ini perlu digunakan sepenuhnya oleh para perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO nanti.Inilah masanya untuk mereka menegur dan menyatakan pandangan dengan  serius dan membuktikan segala hujahan yang diberikan begitu relevan dengan isu yang dibincangkan. Tidak usahlah menjadi sang penglipurlara atau hendak berseloka untuk mencuit hati para pemimpin dan perwakilan dengan lawak jenaka yang tidak memberi sebarang pengajaran.

Adalah difahamkan juga konvensyen seperti ini akan  dijadikan sebagai acara tahunan. Ini merupakan langkah yang tepat kerana menerusi program seperti ini,  pihak pucuk kepimpinan UMNO boleh mendapatkan laporan serta maklum balas daripada peringkat akar umbi. Dan daripada maklumat yang diperolehi akan membolehkan pucuk pimpinan membuat dan melaksanakan pelbagai strategi dan  perancangan untuk mengatasi pelbagai isu atau masalah yang timbul dalam UMNO.

Hishammuddin juga menjelaskan lagi bahawa "Konvenyen itu merupakan suatu gerakan yang boleh menginsafkan dan menyedarkan bukan sahaja ahli parti tetapi pemimpin parti dan setiap lapisan masyarakat di luar betapa pentingnya kita mengembleng untuk melihat masa depan umat Melayu khususnya,"

Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan diadakan pada 8 Disember hingga 12 Disember 2015.Inilah masanya untuk para pemimpin UMNO serta ahli-ahli Umno membuktikan yang mereka bukan sahaja hebat dalam perdebatan isu, tetapi yang lebih penting ialah melakukan sesuatu yang lebih positif ,agar perhimpunan atau program –program yang diatur tidak dilihat secara retorik semata-mata tetapi dibuktikan dengan usaha yang positif dan meyakinkan.




Selasa, November 24, 2015

DR RAIS MAHU ADENAN SATEM PERTIMBANG SEMULA

Saya dikecam oleh rakyat Sarawak melalui Facebook mereka apabila saya kata tindakan kerajaan Sarawak mahu menggunakan bahasa Inggeris di sekolah sebagai tindakan yang kembali ke zaman silam. dalam blog ini pada 6 November lalu baca http://catatanzabidi.blogspot.my/2015/11/nak-tarik-undi-cina-pun-jangan-kata-kl.html


Dalam soal ini saya sependapat dengan pendapat Dr Rais Yatim yang meminta Ketua menteri Sarawak, Adenan Satem mempertimbang kembali keputusan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri, demi perpaduan negara.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri
Dr Rais Yatim berkata langkah kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Bukankah ini disintergrasi ataupun mencetuskan keadaan kita akan berpecah. Jadi dari segi kenegaraan saya sangat musykil pendirian kerajaan negeri (Sarawak) sekiranya nak diteruskan perkara ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Album Simfoni Daerah Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Kelantan Zulkipli Salleh di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini, Isnin.

Rais mengulas isu penggunaan Bahasa Inggeris, selain Bahasa Malaysia, sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan Negeri Sarawak seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata perkara itu seharusnya dibahaskan oleh sebuah konsensus dengan teliti sebelum diumumkan oleh Adenan kerana ia turut melibatkan Perlembagaan Malaysia.

"Dalam keadaan negara sekarang mencari jalan lebih utuh dan lebih kuat, (takkanlah) kita nak lari dan tinggalkan perkara ini yang akan menyebabkan kita jatuh kepada perangkap yang nanti kita tidak boleh keluar daripadanya.

"Malaysia tidak akan kuat dengan langkah ini (menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi di Sarawak)," katanya.

Album Simfoni Daerah Kelantan memuatkan 10 lagu yang dinyanyikan oleh dua penyanyi tempatan iaitu Megat Nordin dan Irahayu Ibrahim akan berada di pasaran dalam masa terdekat.

Ia diterbitkan hasil kerjasama Yayasan Warisan Negara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Penyiaran Kelantan bagi menegakkan program budi di kalangan masyarakat dan membimbing masyarakat ke arah budaya bangsa.

-- BERNAMA

Isnin, November 16, 2015

PENJELASAN ARUL KANDA MEYAKINKAN

 Tidak sia sia mendengar taklimat Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda di PWTC Sabtu lalu. Dewan Tun Hussein Onn penuh dengan 800 hadirin yang mahu melihat kehebatan Arul Kanda yang berani menyahut cabaran Tony Pua untuk berdebat.


 Bukan semua CEO yang berani berdebat dengan orang politik tetapi melihat kefasihan beliau berucap memang beliau yang paling layak berdebat dengan Tony Pua yang hanya fasih berdebat dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya Arul Kanda fasih berdebat dalam dua bahasa.

Penjelasan beliau untuk mengatasi hutang RM42 bilion 1MDB memang meyakinkan. Beliau yang fasih dalam Bahasa Melayu telah menghuraikan satu persatu apa yang akan dilaksanakan oleh 1MDB. Bukan sahaja beliau fasih dalam Bahasa Melayu malah beliau bercakap dalam loghat Kelantan apabila ditanya soalan oleh orang Kelantan.

Isu ini sebenarnya digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dan disambut oleh bekas PM, Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Najib Razak. Sebab itu Arul Kanda berani berdebat dengan Tony Pua apabila dicabar oleh ahli parlimen DAP itu. Tetapi oleh kerana Tony Pua lebih sayangi jawatannya dalam PAC maka debat itu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya DAP yang tiada telur memilih ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat dengan Arul.

Tony Pua yang cabar Arul Kanda, Rafizi yang nak berdebat maka buat apa Arul mahu layan Rafizi. Bukan Rafizi yang cabar Arul Kanda berdebat. Majlis itu dibuka kepada orang ramai untuk bertanya soalan tetapi mereka tidak bersedia dengan soalan yang kritikal dan mencabar. Sepatutnya mereka tanya soalan apa kaitan Jho Low dengan 1MDB, benarkah RM2.6 bilion itu duit 1MDB sebaliknya soalan yang ditanya kepada Arul memang soalan kacang.

Yang lucunya ada seorang wanita bertanya dapatkah saya minum kopi dengan anda Arul? Apa motif beliau bertanya soalan seperti itu di khalayak ramai. Secara spontan Arul menjawab nanti saya tanya isteri saya terlebih dahulu sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Ada juga yang berpendapat bahawa majlis penerangan seperti ini dibuka kepada pembangkang supaya mereka faham isu 1MDB. Arul menjawab beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja selepas selesai kes 1MDB disiasat oleh PAC.

Dalam majlis itu, Arul berkata penjualan Edra Global Energy Bhd tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

Menurut beliau, ini kerana bakal pembeli Edra Global Energy harus mengekalkan tarif seperti yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

"Tarif itu akan 'fixed' (tetap) untuk sepanjang hayat PPA itu. Jadi sesiapa yang beli, tidak boleh menaikkan tarif," katanya.

Penjualan Edra Global Energy adalah sebahagian daripada program rasionalisasi 1MDB yang bertujuan untuk mengurangkan hutang syarikat pelaburan strategik kerajaan berkenaan.

Tiga pembida iaitu dua pembida asing dan satu tempatan, telah disenarai pendek untuk menghantar bidaan mereka bagi membeli Edra Global Energy yang bernilai antara RM16 bilion hingga RM18 bilion.

Mengenai PPA milik 1MDB yang hampir tamat tempoh, beliau berkata hanya satu PPA dengan kapasiti 400 megawatt akan berakhir dalam tempoh terdekat iaitu Januari tahun depan, sementara PPA yang lain masih mempunyai tempoh perjanjian lama.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kapasiti penjanaan keseluruhan oleh Edra Global Energy yang berjumlah 5,550 megawatt.

Sementara itu, Arul Kanda berkata selepas proses rasionalisasi, 1MDB masih mempunyai aset bernilai antara RM10 bilion hingga RM12 bilion termasuk pegangan 100 peratus dalam Tun Razak Echange (TRX).

Aset-aset lain yang kekal dimiliki 1MDB ialah 40 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion, tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang (RM1 bilion) dan Pulau Indah (RM300 juta).

Ahad, November 15, 2015

100 HARI ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM


OLEH SHAHBUDIN EMBUN

Tarikh 28 Julai 2015 merupakan satu detik bersejarah bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi Zahid Hamidi sudah memikul tanggungjawab ini lebih daripada 100 hari.

Tentunya ada yang mempersoalkan perlantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Adakah beliau seorang pemimpin yang layak memikul jawatan yang pernah “mengorbankan” beberapa pemimpin sebelum ini? Bolehkah masa depan negara diletakkan pada anak kelahiran Perak ini? Bagaimana pula dengan gandingan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seti Najib Tun Razak? Dan bagaimana pula dengan kenyataan beliau yang selalu menimbulkan kontroversi ?Adakah ini akan memakan dirinya sendiri?

Terlalu banyak persoalan yang boleh diungkit dan dibincangkan apabila membicarakan tentang kewibawaan dan ketokohan Zahid Hamidi sebagai pemimpin.

Bagi saya, Zahid Hamidi sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri dan selepas memegang jawatan ini, masih merupakan Zahid Hamidi yang sama. Apa yang saya maksudkan ialah beliau tidak takut dengan cabaran dan masih bersuara lantang apabila membicarakan beberapa isu yang penting di negara kita.

 Dan disebabkan kelantangan dan keberanian beliau ini, maka kita tidak boleh menafikan yang Zahid Hamidi dan perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan.Terlalu banyak isu kontroversi yang dikaitkan dengan Zahid Hamidi.

Kenyataan beliau tentang sesuatu isu itu mungkin sukar diterima, namun ramai yang menganggap itulah ketegasan yang diperlukan untuk menangani sesuatu isu itu, walaupun apa yang dikatakannya itu tidak popular. Apa yang pasti Zahid Hamidi tidak mementingkan populariti diri dan sanggup berdepan dengan pelbagai kritikan dari semua pihak.Bagi Zahid Hamidi, lagi hebat lawannya, lagi kuat dia akan berlawan untuk membuktikan kata-kata dan tindakannya itu adalah betul. Itulah ketegasan yang diperlukan untuk menjadi pemimpin.

Itu sebabnya gandingan Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi  merupakan gandingan yang sesuai dan mantap, bak kata orang “ada chemistry”. Najib terkenal dengan sifat tenang dan tidak panik walaupun dikritik oleh musuh politiknya, manakala kelantangan Zahid Hamidi memberikan keseimbangan yang diperlukan dalam gandingan ini. Sebenarnya persefahaman ini sudah lama terbentuk iaitu ketika Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan, dan beliau telah melantik Zahid Hamidi sebagai setiausaha politiknya.

Najib bukan sahaja melantik seorang menteri yang penuh dengan kewibawaan  dan ketokohan sebagai seorang pemimpin, tetapi telah memilih seorang kawan yang akan berjuang disisinya, dalam keadaan senang dan juga susah. Dalam hal ini, Zahid Hamidi pernah memenegaskan,“Budaya Umno tidak pernah mencampakkan nakhoda kapal itu ke laut.Kita mesti bersama-sama dengan nakhoda kapal itu supaya kapal boleh terus belayar. Semangat inilah yang harus ada pada kepimpinan dan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi dan peringkat nasional.”

Apa yang dikatakan oleh Zahid Hamidi  perlu dijadikan iktibar oleh ahli-ahli Umno yang lain. Zahid Hamidi juga pernah menjelaskan yang dia tidak mahu budaya sate iaitu “mencucuk, membakar dan mengipas” wujud dalam Umno.Jika budaya ini dapat disingkirkan, maka perpaduan dalam Umno akan lebih mantap.

Apa yang diperjuangkan oleh Zahid Hamidi begitu penting dalam memastikan Umno terus relevan di kalangan rakyat Malaysia. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk kepimpinan akan memastikan perjalanan atau pelayaran perjuangan itu sampai ke destinasinya. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, kemelut politik yang berlaku hari ini merupakan antara yang paling serius dalam sejarah negara.

Namun Zahid Hamidi tetap yakin, apa pun kemelut yang melanda, semuanya boleh diatasi jika kepimpinan yang ada pada hari ini dipertahankan . Dalam hal ini, Zahid Hamidi telah berjanji akan mempertahankan kerajaan hari ini, sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi yang sah.  

"Kita diajar untuk taat kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan sokong pemimpin yang baharu, bukan cara Umno tikam dari belakang...setiap krisis kita perlu atasi bersama, bukan ketika senang sahaja kita bersama, semasa susah juga kita perlu bersama," katanya lagi.

Setelah lebih daripada 100 hari menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid sebenarnya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Bagi mereka yang mengenali Zahid , tentunya tahu yang nama Zahid Hamidi bukanlah nama asing dalam kancah politik negara. Beliau telah melalui susah senang dan perjalanan politiknya telah melalui duri ranjau yang telah memberikan kematangan dan pengalaman yang amat berharga pada diri beliau.

Sebagai seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab yang berat, rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan Zahid yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam menangani sesuatu isu itu. Itulah trademark kepimpinan Zahid dan beliau telah membuktikan bahawa beliau tidak gentar dengan apa pun cabaran yang ada di depannya.

Kira-kira lebih dari 100 hari yang lalu, iaitu ketika beliau  mula memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid  berjanji akan membantu Perdana menteri memberikan perkhidmatan terbaik dengan segala keupayaan dan pengalaman yang beliau miliki. Beliau telah menepati janjinya itu dan terus memegang amanah tersebut dengan melaksanakan tanggungjawab dengan begitu berkesan sekali.

Zahid sedar bertapa penting dan beratnya tanggungjawab yang dipikul ini dan daripada apa yang ditunjukkan, Zahid berada di landasan yang betul untuk bersama-sama dengan Najib mengembalikan semula keyakinan dan imej Umno dan kerajaan, dan seterusnya membawa kejayaan yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.






Sabtu, November 14, 2015

4088 ORANG SUDAH BACA POSTING ADNAN SATEM

Terima kasih kepada pembaca blog ini terutamanya yang membaca posting http://www.catatanzabidi.blogspot.my/2015/11/nak-tarik-undi-cina-pun-jangan-kata-kl.html yang mana pada 12.58 pagi ini sudah mencapai 4,088 orang. Ia adalah rating tertinggi dalam sejarah blog ini. Terima kasih kepada semua rakan dari Sarawak yang menghentam saya dalam Facebook mereka menyebabkan pembaca posting ini naik mendadak sampai 4,088 orang.

Jumaat, November 13, 2015

BUKANKAH SPRM SUDAH BERSIHKAN ISU DERMA RM2.6 BILLION?

Kita puji kesediaan PM kita, Najib Razak memberi kerjasama kepada SPRM isu derma RM2.6 b
illion. Yang peliknya dahulu SPRM sudah bersihkan nama PM mengenai isu derma RM2.6 billion itu dengan mengesahkan bahawa ia adalah derma dari putera Arab. Kenapa pula SPRM mahu memanggil semula PM sedangkan SPRM berkata ia sudah melihat surat dari penderma tersebut.

PM berkata beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata Peguam Negara,  Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan bahawa beliau diminta memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

"Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut.

"Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya sememangnya menjadi hasrat beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes itu memandangkan ia telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Sementara itu SPRM  akan mengambil keterangan daripada PM dalam masa terdekat berhubung siasatan mengenai SRC International dan dana RM2.6 bilion yang diterima beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM,  Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk diambil keterangan.

"SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Najib) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan siasatan," katanya.



Abu Kassim berkata SPRM menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat badan itu boleh mengakses kepada dua pengarah SRC International iaitu saksi penting yang masih berada di luar negara dan diambil keterangan mereka.

"Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Najib untuk diambil keterangan," kata Abu Kassim.

Menurutnya SPRM menjalankan siasatan merangkumi kesemua aspek dan pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh masa yang disasarkan.

Mengenai siasatan dana RM2.6 bilion, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara dan ini memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA), kata beliau.

"SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjsama beberapa pihak di luar negara," kata Abu Kassim.

Beliau berkata sementara SPRM berhasrat menyelesaikan siasatan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan segera, namun badan itu tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi penting.

SPRM akan memaklumkan status siasatan dari masa ke semasa kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, katanya.

Beliau seterusnya berkata sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober.

"SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009," katanya.

Khamis, November 12, 2015

TIBA TIBA TAWFIK MENJADI POPULAR

Siapa Tawfik bin Tun Dr Ismail? Tiada siapa yang mengenalinya sehingga beliau membuat kenyataan bahawa Dr Mahathir Mohamad pernah menemui G25 yang mana Tawfik salah seorang ahlinya yang mahu G25 menyokong bekas PM itu menjatuhkan Najib Razak.

Dengan meletakkan nama ayahnya Tun Dr Ismail orang mengenali beliau sebagai anak TPM di zaman Tun Razak (1970-1973) tetapi kenyataan Tawfik menyanggah Dr Mahathir tidak terserlah sebaliknya kenyataannya mahu kerajaan mahu memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menimbulkan kontroversi.

Beliau memang tidak ngam dengan Dr Mahathir yang tidak melantiknya dalam kabinet beliau sama ada sebagai setiausaha parlimen atau timbalan menteri sedangkan beliau adalah anak bekas TPM. Macam mana Dr Mahathir mahu melantiknya sebagai setiausaha parlimen atau timbalan menteri sedangkan beliau tidak pernah berucap ketika menjadi back bencher.

 Sebagai calon payong terjun di Sungai Benut, beliau tiada grass root dan sebab itu beliau hanya menjadi ahli parlimen sepenggal sahaja. Masa itu peluang untuk membodek Dr Mahathir sudah ada dengan mempertahankan Dr Mahathir yang sedang dicabar oleh bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan Presiden Umno pada tahun 1987. Sepatutnya beliau menyokong Dr Mahathir dan mungkin diberi jawatan timbalan menteri sebaliknya dua ahli parlimen Johor yang menyokong kuat Dr Mahathir dilantik menteri penuh iaitu Mohamed Rahmat dan Mustafa Mohamed.

Kenyataan beliau tentang Dr Mahathir tidak menonjol sebaliknya kenyataan beliau tentang JAKIM yang membuatkan beliau popular.


Katanya, Dr Mahathir yang menubuhkan JAKIM sehingga mencampuri peribadi orang Islam. Tawfik sebagai bekas ahli parlimen Sungai Benut (1986-1990) tidak memahami sejarah penubuhan JAKIM. Sebagai bekas ahli parlimen BN, mungkin beliau tidak pernah mendengar timbalan menteri berkenaan, Dr Yusof Noor ketika itu menggulung perbahasan bagi pihak JAKIM di parlimen.

Beliau tidak dengar atau jahil tentang peranan JAKIM yang ditubuhkan mengikut perlembagaan negara menyelaras aktiviti agama Islam di seluruh Malaysia.

Dr Mahathir ketika mengulas cadangan Tawfik itu berkata, sebuah negara demokrasi harus dibenarkan menubuhkan atau membubarkan mana-mana jabatan kerajaan yang mereka mahu.
"Jika orang mahu menyingkirkan Jakim, mereka boleh melakukannya. Kerana, ini negara demokrasi, mereka boleh berhenti menyokong kerajaan. Itu saja," kata Dr Mahathir pada sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
 Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Tawfik Ismail mengenai perkara itu, sambil menambah kenyataan anak sulung bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu merupakan pendapat peribadinya.
"Saya tidak bersetuju dengan dia, sebenarnya, sesiapa yang ada 'a little bit off his mind' (otak sedikit tidak betul) akan bersetuju dengan Tawfik," kata bekas perdana menteri yang menubuhkan JAKIM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom  berkata, Jakim diwujudkan berdasarkan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Katanya, kewujudannya selaras dengan kedudukan Islam dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong yang memelihara Islam setiap masa, serta kuasa agama Islam di bawah Raja-raja Melayu.
 Jamil berkata, Islam merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan negara selama ini, sambil menyifatkan sumbangan Jakim tidak hanya terhad kepada masyarakat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam.
“Saya beri contoh dalam industri halal, 72% yang mendapat sijil halal adalah masyarakat bukan Islam, dan hanya 28% masyarakat Islam.
"Jakim memberi ruang kepada setiap orang termasuk bukan Islam.
"Pandangan supaya Jakim dimansuhkan tidak menepati kehendak Perlembagaan. Sewajarnya, Perlembagaan perlu dihormati semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, Jakim melaksanakan tugas yang terkanun dalam Perlembagaan bagi menyelaraskan aktiviti dan program berkaitan agama Islam serta menjaga keharmonian negara.
Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak mewakili suara majoriti sebaliknya hanya pandangan sebilangan individu yang tidak memahami kerangka sejarah perkembangan Islam di negara ini.
"Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada zaman di mana kita boleh sewenangnya berfoya dengan perkara yang jelas diharamkan dalam Islam," tambahnya.
Beliau sebelum ini turut dilaporkan sebagai berkata tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Asyraf berkata untuk itu kewujudan Jakim tidak sepatutnya dipersoalkan lagi kerana ia berperanan menyelaras hal ehwal agama Islam dan berfungsi sebagai benteng bagi menangani sebarang agenda menggugat kedudukan Islam di negara ini.
Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub mahu anak Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu memohon maaf kepada rakyat Islam kerana beliau tidak sepatutnya menyerlahkan kejahilannya dalam agama dengan membuat kenyataan sebegitu.
Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai "tidak Islamik" dan tidak bermaruah, Mustapha menyuarakan kebimbangan beliau, mendakwa Tawfik cuba menjadi jurucakap kepada gerakan anti Islam.
“Kenyataan Tawfik yang mahu kerajaan menghapuskan Jakim adalah kenyataan 'unIslamic' orang Islam. Tidak ada sebab perlu dimansuhkan, kecuali Tawfik menjadi ejen kepada bukan Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim.
“Adakah Tawfik cuba menjadi jurucakap kepada gerakan anti Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim seperti dakwaan yang mengatakan Jakim menyebar dakyah melalui khutbah Jumaat?” soalnya.
Beliau turut mengkritik kenyataan Tawfik tersebut dengan menggelarkan kumpulan G25 yang dianggotainya sebagai sebuah kumpulan liberal yang cuba mengembalikan negara ini ke zaman jahiliah.
“Tawfik juga tidak faham struktur pentadbiran agama di negara ini yang berada di bawah kuasa negeri dan sultan. 
"Walaupun setiap negeri mempunyai mufti yang berkuasa mengeluarkan fatwa, tetapi segala fatwa akan dibincangkan dan diputuskan Majlis Fatwa yang diselaraskan Jakim.
“Begitu juga halnya dengan majlis agama Islam negeri yang juga diselaraskan Jakim. Jadi, apa logiknya kenyataan Tawfik yang mahu Jakim dimansuhkan?” soalnya.
Katanya, Jakim merupakan agensi yang sah dan berperanan menjadi pemantau dan penguatkuasa kepada sebarang kegiatan yang ada kaitan dengan perkembangan perundangan dan gerakan dakwah di negara ini.
“Ia berfungsi khusus menjaga kepentingan umat Islam tanpa menyentuh sensitiviti agama lain. Penubuhannya bersesuaian peruntukan Perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan atau agama rasmi negara,” katanya.
Semalam, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa Dr Amini Amir Abdullah memberi amaran kepada Tawfik, beliau berdepan kemungkinan menerima akibat buruk sekiranya enggan memohon maaf kerana menggesa Jakim dimansuhkan.
Apakah tindakan Tawfik selepas ini? Adakah beliau akan minta maaf? Kita tunggu dan lihat.

Rabu, November 11, 2015

LEBIH BEBAS BERCAKAP DI LUAR DARI BERCAKAP DALAM MAJLIS PEGUAM

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mendakwa tidak bebas bercakap dalam Majlis Peguam (Bar Council).
Katanya, di luar, Majlis Peguam memberitahu rakyat, kita mempunyai hak untuk bercakap, (tetapi) di sini, Majlis Peguam cuba menutup mulut beliau.
"Saya cuba bercakap dengan akhbar, anda beritahu saya tidak boleh buat begitu, perlu berhenti. Itu menyekat saya dari bercakap. Anda cuba tutup mulut saya. Jadi, saya meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Peguam pada 2001" kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Beliau selaku Bendahari Majlis Peguam selama 12 tahun kesal kerana penglibatannya dalam Umno yang lebih ditonjolkan dari penglibatannya dalam Majlis Peguam.
 "Untuk makluman, saya pernah menjadi ahli Umno. Tetapi semasa menjadi peguam, saya sangat aktif dalam Majlis Peguam. Dan untuk menjadi pemegang jawatan dalam Majlis Peguam, kita tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik. Jadi, saya meletak jawatan dari apa saja pertubuhan atau parti politik apabila saya terlibat dalam Majlis Peguam. Dan untuk makluman, saya berada dalam Majlis Peguam selama hampir 12 tahun (1991-2003), " tegasnya.
Dalam Umno, beliau jadi ahli selama sembilan tahun dari tahun 1982 hingga 1991. Beliau tidak pernah dilantik Bendahari Umno Kelantan sebaliknya beliau adalah Ketua Pemuda Umno Pengkalan Chepa.Beliau tidak pernah pegang jawatan di perhubungan Umno Kelantan kerana jawatan Bendahari Umno Kelantan disandang oleh Nik Husain Nik Abdul Rahman pemilik Malaysia Thai Development Berhad (MTD).

Katanya, beliau penasihat undang-undang Umno. Mereka menggelarnya penasihat undang-undang. Anda tahu mengapa? Anda ambil perlembagaan Umno. Tidak ada jawatan yang dikenali sebagai penasihat undang-undang. Tidak ada! 
"Anda tahu mengapa saya dipanggil penasihat undang-undang? Kerana saya ambil kes petisyen pilihan raya Umno. Saya buat banyak petisyen pilihan raya untuk Umno. Semua kes di Kelantan, dari 1982 dan seterusnya, apabila saya menjadi peguam. Saya buka firma guaman sendiri, jadi selepas pilihan raya umum pada 1982, saya ambil semua kes petisyen pilihan raya mereka," jelas beliau.
Dalam Umno, beliau hanya Ketua Pemuda bahagian, pemimpin kecil peringkat bahagian tetapi sebagai peguam beliau mengambil semua kes petisyen pilihanraya BN.
Beliau bukan Bendahari Umno Kelantan tetapi Bendahari Majlis Peguam sebanyak dua kali.
"Saya ingin tekankan sekali lagi. Bangunan itu, yang kini dimiliki Majlis Peguam, adalah idea saya ketika saya menjadi bendahari. Saya beritahu Majlis Peguam, 'Hei, kita menyewa premis di sana sini. Tiba masanya kita membeli satu. Saya bertanggungjawab dan saya dapatkan wang untuknya. Dan itulah, bangunannya. Ia patut dinamakan Bangunan Apandi," katanya.
Dan ketika beliau  dalam Majlis Peguam, kami menganjurkan Persidangan Undang-undang Komanwel yang paling berjaya pada 1999, Persidangan Komanwel ke-16. Dan kerana kami sangat berjaya, beliau menjadi bendahari dan kemudian, kami mengumpul banyak wang. Dengan itu, beliau dapat idea untuk membeli bangunan kami sendiri. Jadi, membandingkan kehidupan beliau sebagai ahli Umno dan ahli Majlis Peguam, beliau menghabiskan lebih banyak masa di Majlis Peguam daripada Umno.
"Tetapi jika anda bercakap tentang menjadi bendahari, saya bendahari Majlis Peguam dan saya salah seorang ahli yang memegang jawatan, 'the inner circle' (golongan dalaman). Anda tahu siapa golongan dalaman? Presiden, naib presiden, bendahari, setiausaha. Empat orang. Mereka ini golongan dalaman. Mereka semua boleh menjadi ahli Majlis Peguam, tetapi mereka tidak menyertai perbincangan dalaman. Saya adalah sebahagian daripadanya," hurai beliau.
Pertama kali beliau menjadi bendahari, beliau mula keluarkan buah fikiran beliau. Jadi, mereka semua cuba tutup mulutnya. Marahi beliau. Golongan dalaman ini. Orang seperti Tommy Thomas dan Sulaiman Abdullah.
"Mereka mahu kenakan saya kerana pada masa itu saya pengerusi Peguam Kelantan. Saya pengerusi Peguam Kelantan selama 7 tahun. Jadi sebagai pengerusi Peguam Kelantan, akhbar kadang-kadang datang dan bertanya saya macam-macam, jadi, saya berikan pandangan saya mengenai apa saja isu yang dibangkitkan," katanya.
"Sesetengah pandangan saya tidak disukai golongan dalaman Majlis Peguam. Jadi mereka mula menghentam saya dan sebagainya. Jadi, kami boleh dikatakan, menghentak meja. Saya dan Sulaiman. Dan kemudian saya lihat, semua orang memerhatikan apa yang saya katakan, mereka cuba untuk kenakan saya. Kita mempunyai hak untuk bercakap, bukan?" soalnya.

Jelasnya lagi, orang yang boleh mengesahkan hal ini ialah seorang yang sinonim dengan Majlis Peguam, Cik Catherine Eu. Dia masih hidup, ingatannya masih baik, pergi tanya dia. Dia boleh sahkan saja yang beliau beritahu.
"Bercakap mengenai Majlis Peguam, saya berada di Majlis Peguam sebelum orang seperti Ambiga (Datuk S Ambiga), Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru. Steven Thiru (presiden Majlis Peguam sekarang) masih merupakan seorang peguam muda apabila saya mengambil petisyen pilihan raya. Dia selalu ikut saya ke sana ke mari, bawa beg dan fail saya," katanya lagi.

Beliau menjadi mangsa persepsi yang salah. Itu apa yang ingin beliau katakan. Beliau menjadi mangsa persepsi yang salah kerana tempoh pendek beliau dalam Umno, di mana beliau tidak memegang apa-apa jawatan tinggi, digunakan untuk menyatakan beliau seorang ahli Umno dan sebagainya. 
"Tetapi dari sisi lain, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam dan saya beritahu anda, ada ketikanya kerajaan tidak bertindak betul, dan saya beritahu mereka mengenainya," dakwanya.
Pada tahun 1998 atau 1999, enam orang India ditembak di Pengkalan Chepa. Mereka dari Kerala. Dan salah seorang daripada mereka bekerja sebagai atendan hospital. Mereka ditembak. Semua dibunuh. Ditembak di kepala, ditembak di mata, di leher. 

"Dan anda tahu, saya dapati tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan penjenayah. Mereka (polis) bertindak atas maklumat salah. Ia adalah 'assassination', ia pembunuhan. Jadi saya membuat kecoh, kerana kes itu di negeri saya. Saya menulis memorandum dan pergi berjumpa dengan  Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri dan menteri dalam negeri. Memberinya memorandum. Semuanya saya sendiri, anda tahu? Ketika itu saya pengerusi Peguam Kelantan," katanya.
Dan kerana itu, mereka mengarahkan siasatan dijalankan. Beliau menghadiri siasatan itu. Siasatan itu diadakan di Tumpat. Pejabat beliau  di Kota Baru. Beliau pergi-balik, pergi-balik, (secara) pro bono. Beliau tidak mengambil apa-apa (upah guaman). Setelah semuanya berakhir, dapatannya ialah, mereka ini dibunuh dengan cara yang salah.
"Saya juga memberi taklimat kepada Majlis Peguam. Kami adakan EGM yang besar di mana saya menjelaskan segala-galanya, apa yang berlaku, bagaimana pihak polis bertindak dengan cara yang 'high-handed' (perbuatan menindas yang begitu angkuh). Dan saya katakan, mereka dibunuh (executed), kerana mustahil untuk menembak dalam gelap, betul-betul di kepala, dan mata dan telinga, semua 6 daripada mereka. Dan mereka membuang revolver berkarat dekat dengan mayat itu dan berkata, mereka melepaskan tembakan. Tidak ada langsung sebarang tanda ditembak pada kenderaan polis. Sebab itu saya begitu marah dengan pihak polis. Rekod semua ada di sana. Jadi, untuk mengatakan saya pro kerajaan tidak benar. Saya pro undang-undang," katanya.
Dan Karpal (Singh), mendiang Karpal, asyik berkata kepada beliau, 'Umno, Umno'. Beliau mengingatkan Karpal kejadian ini. Beliau katakan kepadanya, Encik Karpal, anda pasti akan ingat. Selepas beliau menghabiskan masa dan tenaga beliau membawanya kepada perhatian kerajaan, Karpal secara senyap-senyap pergi dan berjumpa keluarga itu, menyaman kerajaan, dan membuat duit. Kerajaan menyelesaikannya tanpa pergi ke mahkamah kerana mereka tahu mereka bersalah.

Menjelaskan penubuhan NRRET, ia adalah penjenamaan semula yang beliau lakukan atas pasukan petugas lama yang dibentuk pendahulu saya pada 2011. Oleh kerana ada begitu banyak pasukan petugas, semua orang keliru. Lupakan pasukan petugas. Buat penjenamaan baru. Pemulihan hasil adalah untuk mendapatkan kembali apa sahaja hasil kerajaan yang hilang akibat gagal mengisytiharkan cukai pendapatan yang betul, gagal mengisytiharkan duti eksais di bawah Kastam, dan gagal mengisytiharkan transaksi wang ke luar negara.
"Wang yang masuk adalah di bawah pengubahan wang haram. Jadi, ini perkara utama yang kami sedang siasat dan jejaki. Ia melibatkan banyak agensi. Polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam, Bank Negara... semua agensi yang terlibat. Kami juga lihat kepada kes pengubahan wang haram. Tahukah anda banyak wang dibawa keluar dari negara ini? Dibawa keluar secara haram. Kita ada contohnya dua juta pekerja Indonesia di sini," jelas beliau.
Katanya, sudah tentu mereka menghantar wang (pulang) hampir setiap bulan atau setiap minggu. Bagaimana mereka hantar? Ada yang mengikut undang-undang, ada yang mempunyai ejen. Ini adalah komisen yang patut pergi kepada kerajaan. Tetapi tidak, kerana mereka lakukannya di bawah tanah. Mereka ada ejen di sebuah bank di Indonesia, dan mereka juga ada satu lagi ejen di sini. Semua tidak berdaftar. Bagaimana mereka melakukannya? Dan ia sudah dilakukan. Kami gunakan ejen provokasi (ejen yang menyamar), kami berjaya mengesan semua mereka. Kami juga menghantar ejen provokasi ke Indonesia. 

Apandi menolak dakwaan NRRET mencari ikan bilis sahaja.
" Tidak, kami juga cari mereka yang besar-besar. Kerana ini tidak diketengahkan atau dilakukan secara terbuka. Kadang-kadang, apabila kami berdepan dengan mereka, kerana tidak membayar cukai contohnya, mereka beritahu kami, 'Okay, jangan bawa saya ke mahkamah, tidak baik untuk imej kami dan sebagainya. Kami sedia bayar apa yang perlu dibayar'. Dan mereka membayar secara senyap-senyap. Ia boleh diterima," katanya lagi.

Selasa, November 10, 2015

SELAMAT HARI DEEPAVALI

Saya ingin mengucapkan selamat Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu terutamanya rakan-rakan dalam Free Malaysia Today dahulu seperti Kabilan, Ratna, Ramani, Narinder, Nantha, Pragalath, Berita baik Deepavali semalam seramai 1,647 orang sudah membaca blog saya yang biasanya dikunjungi 400 orang setiap hari. Posting saya, Nak Tarik Undi Cina, Tak Payah Kata KL Bodoh sudah dikunjungi 3,286 orang merupakan rating tertinggi setakat ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sarawak yang mempromosi blog saya dalam Facebook mereka.

Isnin, November 09, 2015

RAMALAN KADIR BIAR BERASAS

Dalam posting blog terbaharu bekas Ketua Pengarang NST, Kadir Jasin, beliau meramalkan Najib Razak akan menangguhkan PRU pada tahun 2008 kerana takut hilang kuasa.

Nampak sangat beliau terlalu obses untuk menjatuhkan PM sehingga tergamak membuat ramalan yang tidak masuk akal. PRU diadakan setiap lima tahun. Pernah berlaku genap lima tahun PM tidak membubarkan parlimen tetapi mengikut perlembagaan PM ada masa enam bulan lagi untuk membubarkan parlimen.

Jadi soal menangguhkan PRU melebihi perlembagaan memanglah sesuatu yang tidak logik. Kalau ya pun mahu Najib berundur, janganlah meramalkan benda yang di luar perlembagaan seolah-olah memfitnah Najib akan membuat sesuatu yang di luar dugaaan.

Najib tidak takut menghadapi PRU akan datang kerana bila tiba masanya beliau akan menyerahkan mandatnya kepada rakyat. Terpulang kepada rakyat sama ada mahu mengekalkan beliau sebagai BN atau memilih kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seperti mana kata aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin, BN akan menang PRU akan datang kerana rakyat tidak nampak calon PM yang boleh menggantikan Najib. Pada PRU tahun 2013, adalah kemuncak kepada rakyat sama ada mereka mahu Najib atau Anwar Ibrahim sebagai PM. Tetapi rakyat memilih Najib walaupun BN gagal memenangi majoriti dua pertiga.

Pada PRU akan datang, rakyat diberi pilihan sama ada mahu Najib atau Dr Wan Azizah sebagai PM. Adakah rakyat mahu PM boneka, Dr Wan Azizah yang diremote control oleh Lim Kit Siang? Justru itu rakyat tidak ada pilihan lain mengekalkan kerajaan BN walaupun ia menang dengan simple majoriti.

Oleh itu meramalkan Najib mahu menangguhkan PRU akan datang merupakan satu fitnah yang tidak berdasarkan perlembagaan dan penuh dengan niat jahat.

Ahad, November 08, 2015

KESEDIAAN UMNO TERENGGANU LETAK CALON WANITA SATU TRANSFORMASI

UMNO Terengganu sedia menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika calon berkenaan mampu meraih sokongan dan memenangi kerusi yang ditandinginya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, bagaimanapun berkata individu berkenaan perlulah berwibawa.

"Saya tiada masalah meletakkan calon wanita. Cuma apa yang saya mahukan calon boleh menang tidak kira siapa dia, walaupun calon itu veteran ataupun muda kerana kita mahu menang.

"Kalau katakan hari ini, semua memerlukan calon wanita, maka calon wanitalah akan disenaraikan tetapi kita perlu cari kemenangan sebab keadaan politik di negeri ini sekarang 17-15...majoriti mudah ini, kita tiada pilihan," katanya.

Kenyataan Razif ini  wajar disokong kerana ia adalah satu transformasi yang dibawanya. Pada tahun 1969, Perikatan pernah menonjolkan calon wanita di DUN Cukai dan menang iaitu Puan Teh kalau tak silap saya. Tetapi sejak Wan Mokhtar Ahmad menjadi MB Terengganu pada tahun 1974 beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu tidak pernah meletakkan calon wanita. Sebaliknya beliau memperuntukkan satu kerusi Senator dari DUN Terengganu untuk wanita yang biasanya disandang oleh Ketua Wanita Umno Terengganu.

Pada tahun 2004, Idris Jusoh selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pernah menawarkan kerusi DUN Ladang kepada Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie tetapi beliau menolak tawaran itu dan Idris menawarkan kerusi itu kepada Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham menang dan dilantik Exco.

Jika Nordiana menerima tawaran tersebut, beliau pasti menang dan menjadi Exco tetapi bukan rezeki beliau menjadi YB. Pada tahun 2008, beliau bertanding di kerusi hitam, Batu Burok memang susah mahu menang maka penonjolan calon wanita mengecewakan Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Pada PRU 2013, Umno Terengganu tidak meletakkan sebarang calon wanita tetapi jika benar Razif mahu meletakkan calon wanita, maka carilah kawasan yang selamat seperti DUN Air Putih yang diguraukan oleh Wan Mokhtar dalam ucapannya di konvesyen Umno Terengganu Jumaat lalu. Wan Mokhtar bergurau kerana DUN Air Putih adalah kerusi paling selamat walaupun kini disandang oleh anaknya Wan Hakim yang dikatakan lebih berminat bertanding kerusi parlimen pada PRU 2018.

DUN Air Putih memang selamat tetapi pengundi Air Putih mahu calon tempatan seperti Ustaz Zulkifli Sulong. Cukuplah orang luar jadi calon sejak tahun 1999, Dr Ramli Taib, Wan Ahmad Nizam dan Wan Hakim. Kali ini pengundi Air Putih mahu anak tempatan.

Kalau nak letak calon wanita di kerusi selamat di Kemaman letak sama ada di DUN Kijal atau di DUN Kemasik. Di Kijal, bekas MB, Ahmad Said dijangka tidak mahu bertanding lagi maka kerusi itu yang menjadi rebutan calon lelaki wajar diberi kepada Ketua Puteri Umno Kemaman, Shaheda Jusoh. 

Berkelulusan kejuruteraan kimia, meletakkan Shaheda boleh beri kemenangan  di DUN Kijal. Atau jika Shaheda tiada rezeki jadi calon, letak Asfalinda Anuar, Exco Puteri Umno Malaysia di DUN Kemasik. Beliau adalah aktivis belia sebagai Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Asfalinda mampu menang di DUN Kemasik menggantikan Ir Rosli yang sudah dua penggal menjadi ADUN Kemasik. Di bahagian lain calon wanita sukar menang tetapi kalau letak seorang calon wanita sama ada di DUN Kijal atau di DUN Kemasik, saya yakin calon wanita itu boleh menang dan mencatat sejarah sebagai ADUN wanita pertama selepas tahun 1969. Terpulang kepada Razif buat pilihan.