Saya dikecam oleh rakyat Sarawak melalui Facebook mereka apabila saya kata tindakan kerajaan Sarawak mahu menggunakan bahasa Inggeris di sekolah sebagai tindakan yang kembali ke zaman silam. dalam blog ini pada 6 November lalu baca http://catatanzabidi.blogspot.my/2015/11/nak-tarik-undi-cina-pun-jangan-kata-kl.html
Dalam soal ini saya sependapat dengan pendapat Dr Rais Yatim yang meminta Ketua menteri Sarawak, Adenan Satem mempertimbang kembali keputusan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri, demi perpaduan negara.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri
Dr Rais Yatim berkata langkah kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Bukankah ini disintergrasi ataupun mencetuskan keadaan kita akan berpecah. Jadi dari segi kenegaraan saya sangat musykil pendirian kerajaan negeri (Sarawak) sekiranya nak diteruskan perkara ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Album Simfoni Daerah Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Kelantan Zulkipli Salleh di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini, Isnin.
Rais mengulas isu penggunaan Bahasa Inggeris, selain Bahasa Malaysia, sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan Negeri Sarawak seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata perkara itu seharusnya dibahaskan oleh sebuah konsensus dengan teliti sebelum diumumkan oleh Adenan kerana ia turut melibatkan Perlembagaan Malaysia.
"Dalam keadaan negara sekarang mencari jalan lebih utuh dan lebih kuat, (takkanlah) kita nak lari dan tinggalkan perkara ini yang akan menyebabkan kita jatuh kepada perangkap yang nanti kita tidak boleh keluar daripadanya.
"Malaysia tidak akan kuat dengan langkah ini (menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi di Sarawak)," katanya.
Album Simfoni Daerah Kelantan memuatkan 10 lagu yang dinyanyikan oleh dua penyanyi tempatan iaitu Megat Nordin dan Irahayu Ibrahim akan berada di pasaran dalam masa terdekat.
Ia diterbitkan hasil kerjasama Yayasan Warisan Negara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Penyiaran Kelantan bagi menegakkan program budi di kalangan masyarakat dan membimbing masyarakat ke arah budaya bangsa.
-- BERNAMA
Memaparkan catatan dengan label semula. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label semula. Papar semua catatan
Selasa, November 24, 2015
Jumaat, Julai 12, 2013
KAJI SEMULA PERLANTIKAN PENGERUSI TABUNG HAJI
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula perlantikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abd. Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, perlantikan tersebut telah menimbulkan keresahan dan pertikaian masyarakat umum kerana kredibiliti dan intergriti Abdul Azeez dipersoalkan untuk menerajui TH sebagai sebuah institusi yang berkait dengan urusan ibadat umat Islam.
Katanya, Perdana Menteri sewajarnya memberi keutamaan untuk melantik mana-mana pegawai kanan kerajaan yang telah bersara atau individu yang mempunyai latar belakang agama serta kredibiliti mereka dihormati oleh masyarakat khususnya orang Islam.
“Tetapi, apabila Abdul Azeez dilantik sebagai Pengerusi TH, pelbagai persoalan timbul dan ada pihak yang mempertikaikan intergriti dan kredibiliti beliau untuk menerajui lembaga tersebut,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Agama UMNO Wilayah Persekutuan berkata, Perdana Menteri sepatutnya mengambilkira pandangan dan teguran umum yang berpendapat adalah tidak munasabah melantik Ahli Parlimen Baling itu sebagai Pengerusi TH.
Katanya, TH merupakan sebuah badan yang mengurus dan mengawal selia ibadat haji disamping terbabit dalam pelbagai kegiatan ekonomi yang disegani dan dihormati oleh dunia Islam.
Oleh sebab itu katanya, lembaga tersebut sepatutnya diterajui oleh mereka yang mempunyai latar belakang ilmu agama atau profesion yang berkaitan bagi memastikan arah tuju TH tidak tersasar daripada matlamat asalnya.
“Kita bukan ketandusan pemimpin yang berwibawa, kita ada tokoh atau mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama seperti mufti dan ilmuan, maka golongan seperti ini yang sepatutnya diberikan keutamaan bagi menjamin kewibawaan TH terus dihormati,” tambahnya.
Pandangan itu kata beliau, bukan bermakna menidakkan kebolehan Abdul Azeez tetapi ramai yang berpendapat adalah tidak munasabah untuk beliau diberikan kepercayaan menerajui TH, sebuah lembaga yang bertanggungjawab terhadap urusan ibadat haji umat Islam di negara ini.
Syed Mehdhar berharap Perdana Menteri akan berpegang kepada kata-kata ‘pencapaian diutamakan rakyat didahulukan’ dalam melihat semula kewajaran Abdul Azeez dilantik sebagai Pengerusi TH.
“Sekarang ini rakyat di pelbagai peringkat keliru dan hairan, atas kriteria apa Najib boleh melantik Abdul Azeez sebagai Pengerusi TH sedangkan ramai lagi tokoh yang lebih berwibawa dan mempunyai kelayakan termasuk bekas-bekas pegawai kanan kerajaan,” tegasnya.
Beliau bimbang akibat daripada perlantikan Abdul Azez akan mencetuskan persepsi kurang baik rakyat terhadap pentadbiran Najib dan UMNO khususnya yang seolah-olah perlantikan individu tertentu sebagai pengerusi atau lembaga pengarah dibuat secara ‘tangkap muat’ dan hanya menjuruskan kepada kepentingan politik.
Sepatutnya kata beliau, perlantikan tersebut perlu mengambil kira latar belakang ilmu atau profesion serta kelayakan seseorang itu bersesuaian dengan badan yang akan mereka pengerusikan bagi memastikan perlantikan tersebut tidak menjadi pertikaian orang ramai.
“Apabila rakyat mempertikaikan perlantikan tersebut, mereka akan marahkan kepada Perdana Menteri dan UMNO menjadi sasarannya, ini yang menyebabkan mengapa rakyat menjauhkan diri daripada UMNO,” tegasnya.
Sehubungan itu tegas Syed Mehdhar, selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras dan Pengerusi Biro Agama UMNO Wilayah Persekutuan, beliau menolak sekeras-kerasnya perlantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi TH kerana tidak memiliki intergriti dan kredibiliti.
“Sekarang rakyat menuntut slogan ‘rakyat didahulukan’, maka saya mohon Perdana Menteri kaji semula kewajaran perlantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi TH,” ujarnya lagi.

Jumaat, November 05, 2010
GOLONGAN MUDA DAN KAUM CINA MENYOKONG SEMULA BN

Kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas memberi petanda bahawa golongan muda dan kaum Cina sudah mula memberikan sokongan semula kepada kerajaan.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak pernah percaya isu sentimen walaupun semasa pilihan raya umum ke-12, kaum Cina sudah tidak lagi menyokong kerajaan.
"Di Batu Sapi yang mempunyai majoriti Cina, kita telah 'double up' kita punya majoriti dan ini adalah satu yang di luar dugaan. Kita nampak jelas sekali manifestasi pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina telah memberikan kemenangan yang amat besar di Batu Sapi dan juga di Galas," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Deepavali Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang Datuk V.S. Mogan di Rantau.
Kemenangan ini juga membuktikan pengundi muda sudah kembali kepada kerajaan kerana mereka ini hanya akan menyokong pihak yang benar dan yang mampu membela nasib mereka.
Beliau juga melihat rakyat sudah mula menolak politik ekstrem dan ganas yang sering dimainkan oleh parti pembangkang.
Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kemenangan BN pada kedua-dua pilihan raya itu semalam menunjukkan kematangan rakyat dalam membuat pilihan.
Ahmad berkata walaupun mempunyai pilihan, nyata rakyat khususnya pengundi di situ tidak terpengaruh dengan hasutan dan permainan politik sempit bersifat peribadi yang boleh menghancurkan negara, yang diamalkan sesetengah pihak.
"Ia membuktikan mereka (rakyat) ingin bersama-sama nikmati kemajuan dalam suasana aman dan harmoni yang telah dikecapi selama ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata kemenangan itu juga sebagai tanda sokongan rakyat di kedua-dua kawasan itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sabtu, Oktober 30, 2010
SAPP GUNA ISU KITAR SEMULA

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kempen Sabah untuk Orang Sabah oleh Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan isu lama yang tidak perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata penduduk Sabah hendaklah pandang ke depan memandangkan sudah terdapat ramai dari kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan mahupun swasta.
"Di Kementerian Pelajaran ramai kakitangan pengurusan tertinggi berasal dari Sabah. Ini bermakna orang Sabah mempunyai kemahiran dan mereka sekarang berkhidmat di seluruh Malaysia," katanya dalam ucapan di majlis pemimpin bersama rakyat dengan masyarakat Cina di Kompleks Sukan Sandakan di sini Jumaat malam.
Beliau juga berkata tindakan SAPP melalui Presidennya Datuk Yong Teck Lee yang membangkitkan isu itu semata-mata untuk memancing undi pada hal kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang "Mean Business".
"Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang penting kepada Malaysia tetapi juga merupakan sebuah negeri yang penting dari segi pembangunan ekonomi kepada negara," katanya.
Menyentuh mengenai pilihan raya kecil Batu Sapi, Muhyiddin mahu seluruh jentera pilihan raya BN berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Parlimen itu.
Beliau berkata walaupun tidak ada siapa menyangka pilihan raya kecil itu akan diadakan namun terdapat hikmah di sebaliknya, memandangkan BN dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai pembohongan parti pembangkang.
"Ramai pemimpin parti pembangkang terutamanya PKR telah meninggalkan parti itu kerana mereka tidak percaya dengan kepimpinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Khamis, Oktober 28, 2010
KU LI MUNCUL SEMULA DALAM UTUSAN MALAYSIA

Sebelum 24 April 1987, nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sering mendapat tempat di dada akhbar tempatan kerana beliau adalah Menteri Kewangan (1976-1984) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987).
Ketika beliau melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada tahun 2009, akhbar WATAN yang diterajui oleh saya yang sentiasa menyiarkan wawancara eksklusif beliau.Ketika itu Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak pernah menyiarkan wawancara penuh beliau.
Selepas dilantik sebagai pengarah pilihanraya kecil Galas, nama Ku Li disanjung semula dan setelah sekian lama Utusan tidak menyiarkan wawancara ekslusif dengan beliau, hari ini Utusan menyiarkan wawancara penuh dengannya seperti mana berikut:-
UTUSAN: Awal lagi Yang Berhormat (YB) sudah 'diserang' apabila ada yang mentafsirkan YB tidak ada persefahaman dengan pemimpin UMNO lain hingga menyebabkan YB tidak mengiringi calon BN ke pusat penamaan, apa komen YB?
TENGKU RAZALEIGH: Itu tidak benar. Pada hari penamaan calon saya tidak mengiringi calon kerana saya mahu bersama dengan ahli-ahli parti yang turut sama berarak mengiringi calon. Tindakan saya ini bukannya luar biasa kerana saya sebelum ini pun hanya menghantar pencadang dan penyokong membawa borang penamaan calon. Saya tidak penting kerana yang penting adalah penyokong dan pencadang. Saya biarkan Abdul Aziz Yusoff (calon BN) diiringi oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.
Bagaimana pula tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan YB berlainan pendapat dengan calon?
Mengapa saya dituduh sedemikian sedangkan pemilihan Abdul Aziz dibuat secara majoriti oleh jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang. Abdul Aziz menerima undi terbanyak. Tambahan pula dia merupakan setiausaha saya dan saya tahu kemampuannya untuk menjadi calon pilihan raya kecil ini.
Adakah pemilihan ini juga menunjukkan Abdul Aziz merupakan calon terbaik dan mempunyai banyak kelebihan?
Masing-masing ada kelebihan tetapi Abdul Aziz jenis yang tidak tahu menonjol diri. Dia juga bukan jenis seorang yang terlalu bercita-cita tinggi. Sebelum dilantik sebagai setiausaha bahagian, saya lantiknya sebagai bendahari. Saya kemudian lihat dia seorang yang boleh diharapkan. Apabila dilantik sebagai setiausaha, saya nampak potensinya sebagai pemimpin. Dia selau mewakili saya untuk hadir pelbagai mesyuarat sama ada parti atau pun melibatkan Kerajaan Pusat dan negeri. Dalam mesyuarat, dia mampu melontarkan idea-idea yang bernas. Dari segi peribadi Abdul Aziz bukan seorang sombong tetapi agak sedikit pendiam.
Apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Galas, BN memilih calon baru dan bukan calon lama seperti mana Pas.
Apabila berlaku kekosongan selepas kematian penyandangnya Allahyarham Chek Sulaima Hashim saya berunding dengan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon BN. Apa yang saya lakukan ini sejajar dengan Perlembagaan parti. Menurut Perlembagaan, untuk mencari calo,n Perdana Menteri hendaklah berunding dengan bahagian. Selepas saya pulang dari luar negara saya kumpulkan semua jawatankuasa dan saya kemudian keluarkan kertas untuk memilih siapakah calon tersebut. Akhirnya Abdul Aziz terpilih setelah dia mendapat undi terbanyak berbanding calon lain. Kemudian saya membawa nama ini kepada Perdana Menteri dan kebetulan Perdana Menteri juga mempunyai sumber-sumbernya bahawa Abdul Aziz adalah calon paling layak.
Pokoknya, kita memilih Abdul Aziz secara demokratik. Perdana Menteri turut mempunyai sumber-sumber dia dan kemudian bersetuju dengan pilihan jawatankuasa bahagian. Kita memilih calon atas dasar demokratik. Pemilihan Abdul Aziz tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan ia harus dihormati.
YB menyatakan masing-masing ada kelebihan tetapi saya pasti Abdul Aziz ada keistimewaan tersendiri. Mungkin disebabkan pengalamannya sebagai bekas pengurus operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)?
Memang saya tidak nafikan potensi yang ada pada Abdul Aziz yang bagi saya elok diketengahkan. Dia telah melalui pelbagai ujian dan cubaan dalam politik. Saya dapati Abdul Aziz dapat menghadapinya dengan baik. Boleh beri markah tinggi. Abdul Aziz juga seorang yang ada integriti. Semasa dia menjadi setiausaha bahagian saya lihat minit mesyuarat yang dibuat tersusun dan bersistematik. Abdul Aziz mempunyai kualiti kepimpinan yang amat diperlukan oleh rakyat. Dia juga tidak pernah datang berjumpa saya untuk melobi sebagai calon. Sepatah pun dia tidak pernah lobi.
Selasa, September 28, 2010
KU LI KENA RAMPAS SEMULA DUN GALAS

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang ini.
Pegawai Khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak lima hari lalu selepas mengikuti rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
"Chek Hashim telah dibawa ke Kuala Lumpur pada hari raya kelima lalu, bagaimanapun keadaannya bertambah kritikal sebelum meninggal dunia hari ini.
"Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum dibawa pulang ke Kampung Kerinting, Galas, Gua Musang untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Allahyarham Chek Hashim meninggalkan dua isteri iaitu Che Bongsu Junuh dan Aida Zakaria, 49, serta 12 anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.
Chek Hashim disahkan menghidap penyakit barah paru-paru sejak Mei tahun lalu pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Allahyarham pernah cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 36 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 21 Mac 2008.
Turut cedera parah dalam kemalangan tersebut ialah isterinya, Aida Zakaria dan anaknya, Amasha, 2 tahun.
Chek Hashim menjadi ADUN Galas pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.
Anak kelahiran Kuala Betis, Gua Musang itu mula menceburkan diri dalam bidang politik sejak di bangku sekolah apabila menjadi pemimpin pelajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Tarbiah Mardziah, Panchor, Pengkalan Chepa.
Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang agama ke Pakistan dan Afghanistan sebelum pulang dan menyertai Pas.
Chek Hashim juga pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri dan kini memegang jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang.
Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika ditemui selepas selesai melaksanakan solat jenazah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka reda dengan ketentuan tersebut.
Sementara itu, Isteri pertamanya, Che Bongsu, 49, pula berkata, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepadanya agar menjaga anak-anak dengan baik.
Pilihanraya kecil DUN Galas tidak dapat dielakkan dalam masa satu bulan ini. Ketua Bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah kena rampas semula kerusi DUN Galas. Oleh itu beliau perlu mengemukakan nama baru sebagai calon BN kerana Saufi Deraman telah ditolak oleh rakyat.
BN mampu menang semula di Galas jika calonnya boleh diterima oleh semua pihak. Oleh itu tanggungjawab Ku Li amat berat kali ini kecuali para pemimpin UMNO mahu mensabotajnya supaya BN kalah di DUN Galas.
Khamis, Oktober 30, 2008
PENGUNDIAN SEMULA DI KEMAMAN

Pada 22 Oktober lalu saya telah menulis dalam blog ini,”Persidangan UMNO Kemaman tak sah?”. Akhirnya Perhubungan UMNO Terengganu mengarahkan supaya mengadakan pengundian semula pada hari Jumaat, 7 November ini pada jam 3 petang. Peristiwa yang berlaku ini amat memalukan para perwakilan. Nama baik Menteri Besar, Ahmad Said selaku ketua bahagian telah tercemar.
Ini bermakna memang ada bukti kertas undi melebihi para perwakilan. Justru itu dalang atau orang yang terlibat dalam perkara ini perlu dihukum supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli UMNO.
Pada hari tersebut hanya pengundian semula yang akan diadakan bagi semua jawatan kecuali naib ketua bahagian dan perwakilan G7. Siapa di antara 20 pemenang ahli jawatankuasa bahagian akan kalah pada 7 November nanti? Sudah tentu pemenang ini akan berdebar-debar sama ada mereka dikekalkan semula atau tidak.
Pemenang ahli jawatan kuasa bahagian yang menang pada 18 Oktober lalu ialah Mohamad Awang Tera, Wan Hisham Wan Hamid, Rosli Ahmad, Harun Hassan, Tuan Kechil Tuan Tengh, Shahul Hamid, Bahari Abdullah, Yahya Mamat, Nazri Salleh, Ahmad Mizani, Che Ku Maznah, Rajik Sidek, Haji Ngah Ismail, Hassan Ali, Esah Osman, YB Rosli Othman, Razilah Wahab, Kamarizam Harun, Wan Nordin dan Haji Mustafa Abdul Rahman.
Ini bermakna memang ada bukti kertas undi melebihi para perwakilan. Justru itu dalang atau orang yang terlibat dalam perkara ini perlu dihukum supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli UMNO.
Pada hari tersebut hanya pengundian semula yang akan diadakan bagi semua jawatan kecuali naib ketua bahagian dan perwakilan G7. Siapa di antara 20 pemenang ahli jawatankuasa bahagian akan kalah pada 7 November nanti? Sudah tentu pemenang ini akan berdebar-debar sama ada mereka dikekalkan semula atau tidak.
Pemenang ahli jawatan kuasa bahagian yang menang pada 18 Oktober lalu ialah Mohamad Awang Tera, Wan Hisham Wan Hamid, Rosli Ahmad, Harun Hassan, Tuan Kechil Tuan Tengh, Shahul Hamid, Bahari Abdullah, Yahya Mamat, Nazri Salleh, Ahmad Mizani, Che Ku Maznah, Rajik Sidek, Haji Ngah Ismail, Hassan Ali, Esah Osman, YB Rosli Othman, Razilah Wahab, Kamarizam Harun, Wan Nordin dan Haji Mustafa Abdul Rahman.
Langgan:
Catatan (Atom)