Memaparkan catatan dengan label kemaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kemaman. Papar semua catatan

Ahad, Jun 24, 2018

10 RIBU HADIRI MAJLIS MB DI KEMAMAN



KEMAMAN: Kira-kira 10, 000 pengunjung membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena lawatan Rasmi Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Kemaman, hari ini.

Sambutan yang dianjurkan Pejabat Daerah Kemaman yang diadakan di tempat letak kereta Astaka, Kemaman itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah,


Lebih 10 agensi kerajaan dan syarikat korporat menyediakan pelbagai aneka juadah raya masing-masing kepada pengunjung seperti nasi minyak, kambing golek, sate, nasi himpit, ketupat dan lain- lain lagi.


Antara yang mendapat sambutan hangat adalah gerai Petronas apabila 1,000 batang Lemang Kijal habis dalam tempoh tiga jam sebaik majlis bermula.

Selain itu, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah turut menerima duit raya yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Di majlis itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan salam aidilfitri kepada semua warga Kemaman dan para pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan berkenaan serta berharap majlis itu dapat merapatkan tali silaturahim sesama kita.

Jumaat, Januari 16, 2015

PENGURUSAN BANJIR KEMAMAN WAJAR DICONTOHI

Oleh Erda Khursyiah Basir KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Saya orang Kemaman, terlibat sama sebagai mangsa banjir, kebetulan balik waktu cuti tahunan, terpaksa berpindah di tempat pemindahan di dewan MPK (Majlis Perbandaran Kemaman), dalam keadaan ini saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama kepimpinan politik yang banyak memainkan peranannya. "SOP (Prosedur Operasi Standard) yang terbaik, ada makanan yang mencukupi, ada sleeping bag, ada sumbangan yang lain, anak-anak dilayan secara yang baik. Saya ingin bagi 5 star (bintang) kepada semua agensi kerajaan yang sentiasa beri semangat kepada kami semua." Demikian status seorang mangsa banjir yang dikenali sebagai Kamariah Ismail di akaun Facebook miliknya pada 29 Dis lepas ketika daerah Kemaman dilanda banjir besar akhir tahun lepas dan minggu pertama bulan ini. PENGURUSAN LEBIH BAIK Bagi seorang suri rumah Noor Hayati Hassan, 46, beliau turut mengakui bahawa bencana banjir baru-baru ini tidaklah seburuk yang pernah melanda daerah itu pada 2013. "Tahun 2013, air naik tinggi dan ia memang suatu keadaan yang kami tidak sangka sama sekali. Tapi banjir baru-baru ini, Alhamdulillah awal-awal lagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dah beri amaran dan notis mengenai air pasang dan hujan. "Jadi persediaan memang kami dah buat awal-awal. Ada jiran yang buat para tinggi, ada yang guna perancah... sampaikan ada yang awal-awal lagi segala barang dah simpan dekat porch kereta, atas perancah penuh set-set sofa, tapi syukur banjir tak teruk kali ini," katanya kepada Bernama. Noor Hayati, yang menetap di Chukai, berkata beliau 'tidak berkesempatan' melihat longgokan sisa-sisa banjir seperti yang berlaku sebelum ini ekoran tindakan segera Majlis Perbandaran Kemaman mengurus dan membersihkan sisa-sisa tersebut. Suzana Ghazali, 42, yang menetap di Taman Fikri pula terpaksa berpindah ke rumah ibu mertuanya dekat Gong Pauh selama lima hari ekoran air yang naik sehingga ke paras pinggang. "Namun saya lihat banjir 2013 lebih teruk berbanding kali ini kerana pada masa itu saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Geliga. "Banjir kali ini, Alhamdulillah sebab kita penduduk dah bersedia dari awal terutama mengemas barang apa yang patut. Pengurusan banjir kali ini pun saya rasa lebih baik sebab kita sudah diberitahu awal termasuk persediaan yang diatur oleh kerajaan negeri dan pihak lain yang terlibat," katanya. PENGURUSAN BENCANA BANJIR Apakah kelebihan dan keunikan persiapan pengurusan bencana banjir di daerah Kemaman sehingga dinilai mencapai tanda aras piawaian emas (Gold Standard)? Pada 31 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendengar Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014 turut mengumumkan pelan pengurusan banjir di Kemaman akan menjadi model kepada SOP banjir di kawasan terjejas pada masa akan datang. Merujuk 'Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014' berkenaan, gerak kerja dilakukan seawal April 2014 dengan 69 pusat pemindahan dikenal pasti dan penubuhan jawatankuasa bencana banjir yang unik turut membantu keberkesanan pengurusan banjir pada kali ini. Berdasarkan kepada gambaran senario paling buruk, metodologi pra banjir, semasa banjir dan pasca banjir dipraktikkan bagi menghadapi bah. PRA BANJIR Antara metodologi pra banjir termasuklah program kesedaran banjir oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merangkumi maklumat asas menghadapi banjir, kit banjir untuk mangsa berserta maklumat pusat pemindahan semasa banjir. Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) turut dijadikan markas taktikal (Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Medic Team dan sokongan logistik), penempatan, tempat memasak dan tempat penyimpanan barangan sumbangan daripada pihak luar. Di samping itu, terdapat dua kawasan untuk landasan helikopter atau 'helipad' serta padang yang boleh digunakan untuk penghantaran barang-barang keperluan mangsa banjir. Proses simulasi banjir antaranya termasuklah persediaan urusetia, penerimaan barang keperluan, pendaftaran mangsa, pengagihan barangan kepada mangsa, penginapan mangsa serta pengurusan makanan untuk mangsa. Selain itu, persediaan infra menghadapi banjir, stor, tandas, 'helipad', substesyen janakuasa bergerak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mini depoh seperti di Pasir Gajah, Batu 14 Kuala Tayor, Air Putih dan Felda Seberang Tayor. Jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd, DiGi.Com dan Telekom Malaysia Bhd bagi meninggikan kabinet peralatan di tapak pemancar komunikasi yang dilakukan di Bukit Mentok dan Chukai turut membantu keberkesanan sistem komunikasi semasa banjir. Kemudahan set generator bergerak dan kekal, pemancar selular bergerak (COW), walkie-talkie beserta penambahan peralatan logistik dengan 34 bot daripada kerajaan negeri dan 17 bot daripada Parlimen Kemaman turut membantu memudahkan perjalanan pengurusan banjir. Seterusnya, perkongsian maklumat antara pihak terlibat terutama melalui aplikasi Whatsapps dan Telegram berhubung bencana banjir dan maklumat terkini keadaan banjir menyumbang kepada kejayaan pengurusan banjir di daerah Kemaman. SEMASA BANJIR Selain mengadakan mesyuarat koordinasi setiap hari pada pukul 8.30 malam, bekalan makanan dan minuman untuk tempoh tujuh hari turut dihantar ke setiap pusat pemindahan banjir. Usaha menyelamat mangsa banjir menjadi keutamaan di samping kelengkapan pusat pemindahan seperti tikar, selimut, kain pelikat, tong gas, 'power bank' dan sejumlah 12,000 set bag tidur disediakan. Berhubung aspek kesihatan, klinik statik yang merawat minimum 500 mangsa, kawalan vektor bagi mengelakkan penyakit dan hospital yang dibantu oleh Pasukan Medik ATM dan doktor sukarelawan antara kemudahan yang disediakan bagi membantu mangsa banjir. Selain itu, pertubuhan dan agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, KEMAS, Jabatan Penerangan, Majlis Belia Daerah Kemaman serta parti politik turut menyumbang bantuan dan khidmat kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan. PASCA BANJIR Selepas banjir surut, penilaian kerosakan seperti harta benda awam yang melibatkan jambatan, bangunan dan jalan serta harta benda persendirian yang melibatkan rumah dan kereta antara perkara utama yang diberi perhatian dalam tempoh pasca banjir. Justeru, pengurusan sumbangan dan bantuan seperti barangan keperluan harian giat dijalankan secara berpusat di pejabat daerah. 'Post-mortem' turut dijalankan seminggu selepas pusat pemindahan terakhir ditutup selain pembentangan cadangan penambahbaikan. Kesimpulannya, banjir yang berlaku di daerah Kemaman pada 2014 adalah dalam kawalan. Daripada 69 pusat pemindahan yang disediakan hanya 67 yang dibuka dengan mangsa seramai 32,963 berbanding kapasiti 40,000 orang. Berdasarkan pengalaman dan bencana banjir yang melanda Kemaman, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah menyegerakan tebatan banjir dan sistem perparitan, bantuan membaiki jalan rosak, menaik taraf kemudahan pusat pemindahan seperti tangki air, surau, stor, bilik air dan tandas. -- BERNAMA

Isnin, Julai 29, 2013

KEMAMAN: RAHIM LAWAN WAN AHMAD NIZAM?

CHUKAI: Pertandingan Umno Bahagian Kemaman pada 5 Oktober ini nampaknya hanya bertumpu kepada perebutan jawatan Naib Ketua Umno Bahagian sahaja. Jawatan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek nampaknya tidak akan ditentang. Pada tahun 2008, bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian, Mat Dalam Awang pernah berhasrat untuk menentang Ahmad Shabery tetapi Mat Dalam tidak dapat pencalon yang cukup. Beliau memerlukan 15 pencalonan tetapi hanya dapat lapan pencalonan sahaja. Justru itu Ahmad Shabery menang tanpa bertanding pada tahun tersebut. Kali ini Mat Dalam sudah tidak berminat lagi untuk mencabar kedudukan Ahmad Shabery. Kecuali beliau dapat jadi calon BN di DUN Air Putih pada 5 Mei lalu, mungkin dia berubah fikiran. Ahmad Shabery adalah satu-satunya menteri Umno di negara ini yang tidak pegang jawatan Ketua Bahagian.Beliau senasib dengan bekas Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Othman yang tidak pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu. Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abu Bakar Daud tidak pernah memberi laluan kepada Manan untuk mengetuai Umno Bahagian Kuala Terengganu. Kecuali Ahmad Said tidak jadi Menteri Besar, barulah Ahmad Shabery selaku menteri pusat berani merebut kerusi nombor satu itu. Sebaliknya bila Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar, maka Ahmad Shabery tidak berani memcabar Ahmad Said. Pertandingan Naib Ketua Umno Bahagian mungkin menjadi pertandingan pusingan kedua di antara Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan Datuk Md Rahim Husin (gambar). Pada tahun 2000, Rahim menangi jawatan tersebut mengalahkan Shahbudin Maidin. Pada tahun 2004, beliau menang tanpa bertanding buat penggal kedua. Pada tahun 2008, Rahim dicabar oleh Wan Ahmad Nizam yang baru habis jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman. Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menang dengan majoriti yang kecil. Kononnya ada penipuan dalam pengiraan undi apabila banyak kertas undi yang memangkah Rahim ditemui di luar pusat mengira undi. Majlis Tertinggu Umno dikatakan mengarahkan Umno Bahagian Kemaman bersidang semula tetapi Badan Perhubungan Umno dikatakan tidak setuju pemilihan diadakan semula. Maka Wan Ahmad Nizam disahkan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman yang baru. Pada pilihanraya umum 5 Mei lalu, Wan Ahmad Nizam yang dipilih sebagai calon BN di DUN Chukai tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala Wan Ahmad Nizam mendapat 10,011 undi. Wan Ahmad Nizam yang pernah menjadi ADUN Air Putih selama sepenggal (2004-2008) dikatakan lebih berminat bertanding di DUN Air Putih tetapi ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar enggan berpindah ke DUN Chukai walaupun DUN Chukai pernah diwakili ayahnya, Wan Mokhtar Wan Ahmad selama 25 tahun (1974-1999). Wan Hakim bijak berpolitik. Jika dia bertanding di DUN Chukai sudah tentu dia akan tewas seperti Wan Ahmad Nizam. Wan Ahmad Nizam jadi mangsa dan beliau kalah teruk di kerusi tersebut. Goyang Kekalahan ini menyebabkan kerusi Naib Ketua Umno Bahagian yang disandangnya goyang. Menurut sumber, Rahim akan merebut semula kerusi itu dengan hujah bahawa rakyat sudah menolak Wan Ahmad Nizam sebagai calon BN di Chukai maka sudah sampai masanya bagi beliau menarik diri dari jawatan Naib Ketua Bahagian. Wan Ahmad Nizam tidak semudah itu untuk berundur. Maka pertandingan pusingan kedua di antara Wan Ahmad Nizam-Rahim mungkin tidak dapat dielakkan. Rahim yang juga seorang ahli perniagaan adalah seorang pemimpin yang pemurah dan beliau mempunyai ramai pengikut yang setia. Walaupun beliau bukan seorang wakil rakyat, beliau menjadi tempat mengadu ahli Umno Kemaman yang datang ke Kuala Lumpur. Maka orang seperti beliau perlu mendapat tempat dalam Umno Bahagian Kemaman. Beliau pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kemaman pada tahun 1993 menentang ADUN Kijal, Ahmad Said tetapi dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini, sudah tentu Rahim tidak berani bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian. Maka jawatan yang paling sesuai buat beliau ialah Naib Ketua Bahagian. Terpulanglah kepada para perwakilan Umno Bahagian Kemaman untuk memilih sama ada Wan Ahmad Nizam atau Rahim.

Khamis, Jun 09, 2011

KEMAMAN CORNER DI THE MALL


Tanpa disedari setiap petang ramai orang Kemaman lepak di The Mall. Kebetulan petang kelmarin bekas ADUN Kemasik, Datuk Haji Abu Bakar Ali menyertai kami seramai enam orang.

Saya, bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman bersama bekas Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Haji Rahim Husin; bekas pengerusi tetap, Tok Mulu Dalam.Orang luar ialah Fakrul Azman Abu Bakar bekas Ketua Pemuda Keadilan terengganu dan bekas Setiausaha Kerja UMNO malaysia, Datuk Mustafa Mat Yasin dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Abang Abdullah.

Datuk Bakar bukan orang baru dalam politik. Beliau lima penggal menjadi ADUN Kemasik dari tahun 1986,1990,1995,1999 dan 2004. Ketika tsunami melanggar Terengganu pada tahun 1999, beliau menang di Kemasik bersama tiga ADUN lain, Datuk rashid Ngah (Seberang Takir), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Telemong) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil).

Itulah kehebatan Datuk Bakar yang tak pernah kalah. Tapi Datuk Bakar tidak dihargai oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang menjadi MB dari tahun 2004-2008. Sepatutnya Idris lantiklah beliau sebagai Exco sebaliknya beliau dikekalkan sebagai ADUN.Datuk Bakar adalah pemangku ketua umno bahagian tetapi beliau tewas kepada naib ketua, Datuk Ahmad said dalam perebutan ketua UMNO Bahagian kemaman.

Kini timbul spekulasi siapa bakal menggantikan Ir. Rosli yang ada kes dengan SPRM di Kemasik pada pilihanraya umum akan datang. Tok Mulu Dalam kata Datuk Bakar layak lagi dicalonkan kerana UMNO mahu menang. Katanya, kalau letak YDP Majlis Perbandaran kemaman, Mustaphar Khalid belum tentu menang.

Tok Mulu Dalam menambah jika Datuk Bakar tidak berminat, apa salahnya letakkan anaknya, Fizi. Dia ada kelulusan tapi kalah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman pada pemilihan 2008. Dia buat bisnes sendiri dan beliau kecil hati dengan Menteri belia dan sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga ahli parlimen Kemaman.

Fizi berani menegur menteri yang berasal dari kemasik itu. Fizi mohon projek di bawah kementeriannya pada pilihanraya umum Sarawak baru-baru ini. Sebaliknya Shabery tidak menolong anak Kemaman sebaliknya menolong penyanyi Hattan yang buat projek itu yang mendapat penajaan sampai RM60 juta.

Ramai yang bersungut dengan kelemahan Shabery yang tidak menolong rakyat Kemaman. Baru-baru ini ada kawan lama saya beritahu saya, shabery tanya kenapa saya banyak mengkritiknya dalam blog saya. Yang hairan kenapa dia tak panggil saya. kenapa perlu hantar orang tengah.

Shabery semakin tidak popular maka beliau cadangkan penubuhan Persatuan Anak Kemaman Di rantauan (PAKAR). Shabery arah Haji Mustafa, timbalan ketua cawangan Gong chengal dan juga ahli jawatankuasa UMNO bahagian kemaman melaksanakan PAKAR.

Maka pertemuan pertama PAKAR diadakan di pejabat Shabery pada 24 Mei lalu. menurut sumber, orang Kemaman yang datang seramai 25 orang sahaja daripada ratusan yang hadir. Kenapa majlis ini gagal? Adakah kerana orang kemaman sudah bosan dengan Shabery? Lebih memalukan Shabery bergaul dengan orang kaya yang datang dengan kereta mewah berbanding dengan orang biasa. Adakah kerana orang kaya sahaja yang mengundi Shabery di Kemaman?

Datuk Rahimlah yang bertanggungjawab membawa pulang Shabery ke Kemaman pada tahun 2000 untuk menentang Nazri salleh. Pada tahun 1998, Shabery kalah bertanding jawatan ketua pemuda kepada ahli parlimen Kemaman, Dr. Ramli taib. Ketika itu saya berkempen untuk Shabery, tetapi apa yang saya dapat daripadanya?

Dalam pertandingan berakit ini Datuk Bakar -vs- Datuk Ahmad said, Shabery menentang Nazri Salleh dari pasukan Datuk Bakar bagi jawatan timbalan ketua manakala Datuk Rahim melawan Haji Shabudin Maidin dari pasukan Datuk Bakar bagi jawatan naib ketua bahagian. Rakit Ahmad Said menang. Dua penggal berada di kerusi naib ketua, akhirnya Datuk rahim disingkirkan oleh Wan Ahmad Nizam, setiausaha politik Ahmad Said pada tahun 2008.

Mengulas mengenai Ahmad sabery ini, Tok Mulu Dalam yang tak cukup pencalonan untuk mencabar Shabery pada tahun 2008, berkata Ahmad shabery ada pun tak ada makna. Dia tak ada pun tak ada makna. Tak ada kesan langsung. Oleh itu pucuk pimpinan patut menggantikan calon parlimen Kemaman jika mahu melihat Kemaman maju. Yang maju bukan Kemaman tetapi Shabery yang maju dari setiausaha parlimen kementerian luar terus menjadi menteri penerangan tanpa menjadi timbalan menteri. Hanya satu sahaja manusia yang dapat keistimewaan ini iaitu Shabery.

Shabery jarang balik kawasan. sebab itu Ahmad said menyindir ada wakil rakyat yang jarang balik pengkalan dalam ucapan perasmian UMNO Bahagian Kemaman pada tahun lepas. Mampukah Shabery bertahan? beliau yang menyokong Datuk Seri Ali rustam dalam pertandingan timbalan presiden UMNO kini sudah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.Hanya Najib dan Muhyiddin yang tahu nasib Shabery pada pilihanraya umum akan datang.

Selasa, Mac 29, 2011

RAFIZI RAMLI CALON PKR KEMAMAN?






Nampaknya pilihanraya umum semakin hampir. Ke mana sahaja kita pergi, orang ramai bercakap tentang pilihanraya umum. Ramai yang berpendapat bahawa jika BN menang cemerlang dalam pilihanraya umum negeri Sarawak pada April ini, parlimen akan dibubar pada bulan Julai ini.

Di sana sini orang yang melobi jadi calon sedang memasang pelbagai strategi untuk dipilih sebagai calon. Saya hari ini berada di Kuala Terengganu menemui beberapa rakan yang mahu jadi calon. Kebetulan saya sempat menemui Setiausaha PKR Terengganu, Fazli Haji Endut yang merupakan orang Bukit Tumboh, Kuala Terengganu.

Dia meramalkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di parlimen Kemaman menentang calon BN, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Baru-baru ini Rafizi menunjukkan kemampuannya berhujah di RTM1 dengan ahli parlimen BN Hulu Selangor, Kamalanathan dan ternyata beliau seorang yang hebat mematahkan hujah lawan. Saya tak sangka dia orang Kemaman. Manakala di Dungun pula, ahli parlimen Indera Mahkota, YB Azam yang kini Pengerusi PKR Terengganu akan bertanding di situ.

Oleh kerana PKR sudah menyenaraikan siapa calon yang akan bertanding di Kemaman maka saya ingin fokus sedikit calon BN di empat DUN di Kemaman. Di DUN Kijal sudah tentu Mneteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kekal bertanding di situ. Walaupun ada yang berkata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek akan bertukar kerusi dengan Ahmad Said, tetapi tidak mungkin akan berlaku. Dari dahulu pernah Tan Sri Wan Mokhtar menawarkan Ahmad Said bertanding kerusi parlimen, tetapi Ahmad lebih selesa bertanding di kerusi DUN Kijal.

Di DUN Chukai, jika Datuk Mohamed Awang Tera tidak bertanding, dia bakal diganti oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid atau seorang peguam Ahmad Shahul Hamid atau Mat Bawal yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Di DUN Air Putih, jika Wan Hakim Wan Mokhtar yang dikatakan orang Datuk Seri Idris Jusoh digugurkan sebagai calon, maka dua nama amat popular di sini sama ada Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad atau Tuan Kecil Tuan Tengah, seorang ahli jawatankuasa bahagian yang paling lama.

Nama Wan Ahmad Nizam yang pernah jadi ADUN Air Putih turut disebut-sebut sebagai calon. Memang nasib orang Air Putih yang selalu mendapat orang luar menjadi calon kerana semua anak tempatan tak layak sedangkan anak bekas YB Harun Hassan yang merupakan pengurus kanan Amanah Raya Berhad, Khairuddin Harun boleh ditonjolkan sebagai calon di sini.

Di DUN kemasik, nama IR Rosli Othman yang terlibat dengan kes SPRM sudah pasti digugurkan sebagai calon. Dua nama yang popular di sini ialah ahli jawatankuasa bahagian, Haji Mustafa Abdul rahman atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustapha Khalid.


Di parlimen pula, jika Ahmad Shabery yang jarang balik kawasan digugurkan sebagai calon kemungkinan besar Wan Hakim yang akan bertanding di parlimen kemaman. Ramai yang kecewa dengan Shabery yang tidak menolong orang kemaman. Bila orang Kemaman minta tolong dia dengan tender KBS, dia jawab dia tak campur urusan tender sedangkan sebagai menteri dia boleh arah KSU beri tender itu kepada orang kemaman jika harganya bersesuaian. Nampak sangat ada juga menteri yang tak tolong pengundinya.

Dalam perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman tahun lepas, Ahmad said selaku Ketua Bahagian telah menyelar sikap wakil rakyat yang tidak balik kawasan yang hanya nampak muka menjelang pilihanraya. ramai yang menafsirkan ucapan Menteri Besar itu ditujukan kepada Ahmad Shabery Cheek.

Jumaat, September 03, 2010

PAWAGAM AKHIRNYA KE KEMAMAN


Selepas berdekad lamanya negeri ini tidak mempunyai panggung wayang, akhirnya ia akan diwujudkan di Mesra Mall di sini, Oktober depan.

Cinepleks TGV Cinema itu akan membolehkan para peminat filem di negeri ini menonton dalam suasana cukup selesa tanpa perlu lagi ke Kuantan, Pahang.

Pengurus Besar Pengurusan Pusat Mesra Mall, Michael Vong berkata, ketika ini, kemudahan dan struktur panggung wayang berkenaan sudah siap dan kini menunggu kelulusan lesen yang dijangka diterima dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, ia akan mempunyai tiga skrin layar dengan setiap ruang mampu memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa tayangan.

"Sebelum ini, penduduk Terengganu dan Kelantan terpaksa pergi ke Kuantan yang mengambil masa perjalanan beberapa jam untuk menonton wayang kegemaran mereka.

"Melalui pembukaan panggung wayang ini, mereka tidak perlu lagi pergi sejauh itu dan hanya ke Mesra Mall," katanya baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaini Sulaiman.

Beliau berkata, Mesra Mall menerima kira-kira dua juta pengunjung dalam tempoh setahun sejak ia mula dibuka pada Oktober 2008.

"Kita menyasarkan kira-kira 3.6 juta pengunjung setahun ke Mesra Mall dan untuk itu pihak pengurusan perlu menganjurkan promosi dan acara yang mampu menarik pengunjung," katanya.

Selain menawarkan pelbagai jualan peruncitan berjenama, tambahnya, Mesra Mall turut menawarkan aktiviti rekreasi untuk hiburan sekeluarga seperti gelanggang futsal, permainan video, pusat karaoke dan boling.

Sebagai peminat menonton wayang, saya menyokong penuh pembukaan pawagam di Mesra Mall, Kemasik ini. Maknanya saya tak perlu pergi ke Kuantan lagi apabila mahu menonton wayang.

Saya minat menonton wayang sejak kecil lagi. Saya masih ingat ketika tinggal di pekan Dungun pada tahun 1966, datuk saya, aruah Penghulu Abdullah Omar yang merupakan Penghulu Mukim Pasir Raja apabila balik ke rumah di pekan Dungun akan mengajak saya tengok wayang di sebuah pawagam di Bukit Chatak. Kini tapak pawagam itu dijadikan padang bola. Malah kami juga menonton filem di pawagam yang terletak di stesen bas Dungun kini.

Ketika belajar di Seremban dari tahun 1972-1976, kegilaan menonton wayang tetap ada. Setiap minggu saya turun ke pekan Seremban menonton wayang tidak kira filem Melayu, Inggeris, China dan Hindustan. Pernah saya tengok tiga filem sekali gus satu hari dari jam 1 tengahari, kemudiannya jam 3 petang dan kemudiannya jam 7 malam di pawagam yang berasingan.

Saya pernah tulis berapa buah filem yang saya tonton setiap tahun dari tahun 1972 hingga 1976 yang mana puratanya sebanyak 50 buah filem setahun. Pada hari minggu saya pernah naik bas ke Kuala Lumpur (ketika itu belum ada lebuhraya Seremban- Kuala Lumpur) menonton wayang Hindustan di Pawagam Central di tepi sungai Jalan Ampang. Kalau nak kira filem Hindustan seperti Bobby, Yaadon Ki Baarat, Deewaar, Sholay akan saya tonton berulang kali kerana memang tak puas menonton filem Hindustan.

Ketika berada dalam tingkatan enam di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan Maktab Adabi Terengganu, saya masih menonton filem di panggung Rex dan Cathay di Kuala terengganu. Akhirnya pawagam di Kuala Terengganu dan seluruh Terengganu berkubur.

Ketika itu orang ramai gila menonton video, cd dan dvd. Bila balik Kemaman pada tahun 1980, sudah tidak dapat lagi menonton wayang di Rex dan Cathay, Chukai, maka kami pergi ke Kuanatn biasanya menonton di Berjaya Megamall. Oleh itu pembukaan semula pawagam di Mesra Mall sudah tentu menarik semua golongan umur untuk menontonnya.

Khamis, Oktober 30, 2008

PENGUNDIAN SEMULA DI KEMAMAN


Pada 22 Oktober lalu saya telah menulis dalam blog ini,”Persidangan UMNO Kemaman tak sah?”. Akhirnya Perhubungan UMNO Terengganu mengarahkan supaya mengadakan pengundian semula pada hari Jumaat, 7 November ini pada jam 3 petang. Peristiwa yang berlaku ini amat memalukan para perwakilan. Nama baik Menteri Besar, Ahmad Said selaku ketua bahagian telah tercemar.

Ini bermakna memang ada bukti kertas undi melebihi para perwakilan. Justru itu dalang atau orang yang terlibat dalam perkara ini perlu dihukum supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli UMNO.

Pada hari tersebut hanya pengundian semula yang akan diadakan bagi semua jawatan kecuali naib ketua bahagian dan perwakilan G7. Siapa di antara 20 pemenang ahli jawatankuasa bahagian akan kalah pada 7 November nanti? Sudah tentu pemenang ini akan berdebar-debar sama ada mereka dikekalkan semula atau tidak.

Pemenang ahli jawatan kuasa bahagian yang menang pada 18 Oktober lalu ialah Mohamad Awang Tera, Wan Hisham Wan Hamid, Rosli Ahmad, Harun Hassan, Tuan Kechil Tuan Tengh, Shahul Hamid, Bahari Abdullah, Yahya Mamat, Nazri Salleh, Ahmad Mizani, Che Ku Maznah, Rajik Sidek, Haji Ngah Ismail, Hassan Ali, Esah Osman, YB Rosli Othman, Razilah Wahab, Kamarizam Harun, Wan Nordin dan Haji Mustafa Abdul Rahman.

Sabtu, Oktober 18, 2008

BERITA TERKINI

UMNO Bahagian Kemaman yang sedang bersidang sekarang mencalonkan Najib untuk jawatan Presiden UMNO dan Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Manakala untuk tiga jawatan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin, Shafie Afdal dan Syed Hamid Albar dicalonkan.

Para perwakilan kini sedang membahaskan ucapan penangguhan sementara menunggu keputusan pertandingan Naib Ketua UMNO Bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian yang dijangka diketahui pada jam 5 petang ini.