Sabtu, Januari 10, 2015

TUN RAHMAN YAKUB DALAM KENANGAN

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu Sarawak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Anchi dan Sekolah St. Joseph, Kuching hingga tingkatan 5. Beliau telah lulus Sijil Seberang Laut Cambridge dan menyambung pengajian ke peringkat Universiti pada tahun 1954 hingga 1959 di Southampton University, England dan mendapat pendidikan dari School of International Law, Hague, Holland, beliau juga mempunyai kelulusan Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn, London. Beliau telah memulakan kerjayanya pada tahun 1948 sebagai Pegawai Percubaan (kadet) Bumiputera Sarawak. Beliau menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sehingga dinaikkan pangkat menjadi Magistrate. Dari tahun 1959 hingga 1963, beliau dilantik sebagai Pegawai Perundangan Sarawak, di samping bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Crown Council dan Stipendiary Magistrate. Beliau adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia. Beliau antara tokoh politik paling berjasa memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Malaysia. Putera Kenyalang ini tidak pernah berputus asa meredah kampung-kampung untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sarawak. Dalam bidang politik Sarawak, Abdul Rahman berjaya membentuk kerajaan campuran dengan menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB). Semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga, beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang berjaya memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat yang turut melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman. Pada tahun 1963, Tun dilantik menjadi Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan. Seterusnya pada tahun 1964, beliau dilantik pula menjadi menteri Muda Kementerian Kehakiman sebelum bertukar portfolio sebagai Menteri Tanah dan Galian Persekutuan hingga 1969. Tun juga pernah bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun (1968-1971). Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran Persekutuan dari tahun 1969 hingga 1970. Beliau kemudiannya memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun bermula 1970 hingga 1981. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Sementara di Muslim College, Earling London dari tahun 1986 hingga 1990. Tun juga merupakan Yang Di Pertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan sehingga kini masih menjadi Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI (Muslim World leugue, Makkah) selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi Pakistan. Semenjak tahun 1970 sehingga ke hari ini, Tun masih lagi aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama Islam dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching Sarawak. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri pelajaran pada tahun 1970 dan apabila beliau dipanggil balik mengetuai pentadbiran Sarawak, para mahasiswa universiti menangis kerana beliau adalah menteri pelajaran yang tegas memperjuangkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ayahnya Haji Yakub dikatakan berasal dari Kelantan dan berhijrah ke Sarawak dan menikahi perempuan tempatan. Bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merupakan anak saudara Tun Rahman. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al fatihah.