Selasa, Oktober 29, 2013

SAYA HANYA TAKUT PADA ALLAH- DATUK ISMAIL YAHYA

Kuala Terengganu: “Saya tidak takut kerana saya menegakkan kebenaran mengikut hukum syarak. Saya hanya takut pada Allah. Maruah saya cuba dijatuhkan kerana menegakkan kebenaran. Tunggu sajalah, kes pun baru berjalan dan belum diputuskan bersalah atau tidak,” kata bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Ismail Yahya, 57, yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam. Ismail yang juga bekas Mufti Negeri berdepan dua pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan mempertikai arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula MAIDAM tahun lalu. Bagaimanapun, Ismail yang didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail. Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa bertindak secara bertulis menghina MAIDAM melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 29 Oktober 2012 di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, di sini. Beliau didakwa melakukan penghinaan itu dengan kata-kata “Oleh yang demikian jelas kelihatan usaha MAIDAM mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat. Adalah menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang bertanggungjawab supaya tidak memberi sokongan ke atas usaha sedemikian.” Bagi pertuduhan kedua pula, Ismail pada tarikh dan tempat sama didakwa mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam yang mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institut Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu dengan kata-kata “Soalnya adakah hasrat MAIDAM pada masa ini yang mahukan pentadbiran Mahkamah Syariah diletakkan sebagai sebuah jabatan di bawah MAIDAM dibuat secara musyawarah atau mengikut kehendak seseorang tertentu? “Jika hasrat itu diputuskan atas pandangan seseorang, apakah MAIDAM meninggalkan ajaran Islam sebagai mana kehendak firman Allah dalam ayat 38 atau sebahagiannya dari Surah Al-Syura itu? Jika musyawarah diadakan, berapa ramaikah ahli yang berkepakaran dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah khususnya dijemput sama? “Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan MAIDAM itu bermaksud mahu mencampur adukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? Seterusnya timbul pula persoalan apakah hukumnya mengikut hukum syarak mencampur adukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? “Soalnya, adakah tindakan MAIDAM yang sedang berusaha bersungguh-sungguh mahu meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya itu, bererti tidak mahu mengikuti hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara kita baik pada peringkat negara mahupun pada peringkat negeri”.  Kamalruazmi kemudian membenarkan Ismail diikat jamin RM800 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang Ismail melantik peguam.