Ahad, Januari 08, 2017

DATUK BANDAR ANTI RUU355?



Walaupun PAS berharap untuk bertemu dengannya, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menegaskan Dataran Merdeka tidak akan dibenarkan sebagai tempat perhimpunan untuk menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali Akta 355.

"Tidak Dataran, tiada rundingan," katanya kepada Malaysiakini.

Amin sebaliknya berkata perhimpunan tersebut hanya perlu diadakan di Stadium Titiwangsa.

"Hanya ikut seperti perhimpunan Rohingya," katanya merujuk kepada perhimpunan yang diadakan pada 4 Disember tahun lalu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man terdahulu berkata penganjur perhimpunan itu akan membuat permohonan rasmi untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan berharap untuk bertemu Datuk Bandar.

"Kami berharap permohonan kami akan diterima," kata Tuan Ibrahim kepadaMalaysiakini.

Dalam satu sidang media pagi semalam, Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan tersebut yang mensasarkan kehadiran 300,000 orang, akan diadakan di pada 18 Februari.

Perhimpunan itu, katanya adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Beliau mendakwa mereka sedang menunggu kelulusan untuk perhimpunan tersebut diadakan di Dataran Merdeka.

Hadi sebelum ini membacakan usul rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta 355 pada hari terakhir Parlimen November lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian berkata kerajaan akan mengambil alih rang undang-undang berkenaan.

Hadi pada awalnya cuba menaikkan had hukuman yang boleh dilaksanakan oleh mahkamah syariah.

Ia menimbulkan kebimbangan yang pindaan itu akan membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang hudud.

Bagaimanapun , Hadi sejak itu telah menyemak pindaan tersebut untuk menaikkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen bulan Mac depan.

Ulasan saya, keengganan Datuk Bandar meluluskan permohonan PAS untuk mengadakan majlis penerangan RUU355 di Dataran Merdeka bukanlah bermakna Datuk Bandar anti RUU355. Sebaliknya beliau mahu perhimpunan itu diadakan di Stadium Titiwangsa seperti perhimpunan Rohingya yang lebih mudah dikawal.

Sebaliknya jika ia diadakan di Dataran Merdeka perhimpunan seperti ini tidak mudah dikawal serta merosakkan padang yang diselia oleh DBKL.