Jumaat, Mac 06, 2009

LAJIM GANTI TEMPAT SHAFIE AFDAL


Dengan bertandingnya Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal bagi jawatan Naib Presiden UMNO, maka ahli majlis tertinggi UMNO dari Sabah hanya tinggal Ketua Menteri seorang, Datuk Seri Musa Aman.

Oleh itu perwakilan UMNO Sabah sedang mencari seorang calon untuk mengisi kekosongan kerusi itu. Yang paling layak mengisinya sudah tentu Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajik Haji Okin.

Penulis mengenalinya sejak bekerja di Sabah lagi pada tahun 1989. Ketika itu beliau adalah ADUN dilantik dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang menjaga hal ehwal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Dua tahun kemudian, beliau menang kerusi DUN Klias dan dilantik menteri penuh dalam kabinet Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Pada tahun 1994, beliau mengejutkan rakyat Sabah apabila meninggalkan PBS dan menyertai UMNO.

Bersama Datuk Rubin Balang dan Datuk Haji Zaini, maka tindakan mereka bertiga menyebabkan kerajaan PBS tumbang di Sabah. Oleh itu jasa Lajim dalam membentuk kerajaan BN Sabah amat besar. Tanpa tindakan Lajim ini sudah tentu kerajaan PBS tidak tumbang lagi ketika itu.

Lajim pernah dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah dan pernah menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO buat kali pertama pada tahun 2000. Tetapi beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada tahun 2004. Kali ini beliau bertanding lagi atas kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau pernah juga disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Sabah setelah Tan Sri Chong Kah Kiat menamatkan tugasnya sebagai Ketua Menteri. Beliau tidak bernasib baik kerana jawatan itu diserahkan kepada Datuk Seri Musa Aman. Bagaimanapun Lajim dikekalkan sebagai menteri dalam kabinet Musa Aman.

Ramai bekas timbalan menteri pengangkutan menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO seperti Tan Sri Zaleha Ismail, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Datuk Seri Ali Rustam. Dapatkah Lajim mengikut jejak-langkah mereka? Hanya perwakilan yang tahu menjawabnya pada 25 Mac nanti.

Dengan 63 pencalonan dan ranking di tangga 28, beliau mampu menang. Kelebihan Lajim ialah beliau seorang timbalan menteri yang dapat menjelajah ke seluruh negara tanpa had sedangkan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dulu beliau tidak dapat menjelajah seorang negara begitu bebas kerana jawatannya hanya untuk rakyat Sabah. dalam pada itu beliau tetap menang kerusi majlis tertinggi pada tahun 2000.

Oleh itu peluang Lajim untuk menang sebagai wakil dari Sabah amat cerah. Semoga anak Bisaya ini dapat kembali semula ke majlis tertinggi UMNO. Insya Allah.

KHAIRY JAWAB ECM-LIBRA

Khairy Jamaluddin menjadi sasaran kecaman dari setiap penjuru sejak beliau melangkah masuk ke gelanggang politik lima tahun lalu. Khairy menjadi sasaran pelbagai tuduhan - termasuk pembabitan beliau dalam bank pelaburan ECM-Libra.

Salah seorang daripada 'kaki pukul' tersebut ialah penulis blog kontroversial, Raja Petra Kamarudin - yang tidak pernah ditemuinya walau sekali pun.

Khairy berkata, semuanya adalah mengenai Khairy Jamaluddin yang
'anda benci' dan Raja Petra yang 'anda sukai'.

Dalam bahagian ketiga daripada lima siri wawancara Khairy dengan Malaysiakini, menantu perdana menteri itu ditanya mengenai tuduhan yang dilempar terhadapnya - termasuk dakwaan cuba menyertai syarikat-syarikat terkemuka kerajaan seperti Khazanah Holdings, minatnya untuk menyertai kabinet dan tuduhan bahawa beliau dapat habuan daripada rebat petrol.

khairy jamaluddin interview 030309 sequenceDitanya mengenai imejnya yang tercalar dengan pelbagai tuduhan itu, Khairy berkata, sehingga ini tiada pihak yang dapat membuktikan bahawa semua dakwaan tersebut adalah benar.

Ditanya mengenai pegangannya sebelum ini dalam ECM Libra, sebelum menjual pegangannya itu kemudiannya, Khairy berkata: "Apa yang salahnya?"

Khairy menjelaskan bahawa beliau menyertai syarikat tersebut sebagai anggota pengurusan kanannya, yang turut ditawarkan opsyen saham dalam syarikat tersebut.

Katanya, beliau menerima tawaran opsyen saham tersebut "dan semua anggota pengurusan kanan ditawarkan opsyen saham yang sama, berserta dengan pinjaman dari orang yang menawarkan saham berkenaan".

Jelasnya, bercanggah dengan apa yang orang sangka, syarikat berkenaan tidak memberi pinjaman kepadanya untuk membeli saham tersebut kerana ia adalah salah.

"Orang yang menjual saham dan memberi pinjaman itu (kepada saya) adalah pemegang saham pengasas syarikat tersebut - Kali (Kalimullah Hassan), David Chua, Lim Kian Ong. Mereka yang memberi saya pinjaman...," jelasnya.

Khairy berkata, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk menjual saham tersebut apabila menyedari beliau menjadi sasaran kecaman dan pihak syarikat turut terjejas kerananya.

"Kerana itu, lebih baik saya tarik diri daripada membiarkan syarikat berkenaan terjejas kerana pemegang sahamnya ramai. Itulah yang sebenarnya berlaku.

"Jika pun saya dianggap bersalah, kesalahan itu ialah kerana (saya) ditawarkan peluang seumpama itu pada tahap usia yang muda. Tetapi niatnya adalah untuk membina syarikat untuk jangka masa panjang, membesarkan syarikat dan memastikan ia berjaya menjadi sebuah institusi perkhidmatan kewangan," katanya.

(dipetik dari malaysiakini.com)